Dalam dunia ini kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri. Tetapi dalam kita bersendirian, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan keiklasan dan kejujuran seorang sahabat, begitulah juga dia. Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerangkan keadaannya. Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.
Kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita beri beribu alasan memaksa dia terima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita perasaannya? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa. Tetapi kita sering terlupa. Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa memahami, yang selalu berada disisi pada waktu kita memerlukannya.
Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan. Harapan dan impian juga kita luahkan.. Dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kita terlalu asyik menceritakan tentang diri kita hingga kadang-kadang kita terlupa sahabat kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita.
Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya sepertimana dia meniup semangat setiap kali kita rasa kecewa dan menyerah kalah?
Dapatkah kita yakinkan dia yang kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia bersandar harapan? Sesekali jadilah sahabat yang mendengar dari yang hanya bercerita.
Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat kerana dia juga seorang manusia. Dia juga ada rasa takut, ada rasa bimbang, sedih dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan memerlukan seorang sahabat sebagai kekuatan. Jadilah kita sahabatnya itu.
Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangkakan. Di sebalik senyumannya mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan. Di sebalik kesenangannya mungkin tersimpan seribu kekalutan. Kita tidak tahu. Tetapi jika kita cuba jadi sahabat sepertinya, mungkin kita akan tahu.
Bukankah telah disebut di dalam al-Quran bahawa:
$yJ¯RÎ) tbqãZÏB÷sßJø9$# ×ouq÷zÎ) (#qßsÎ=ô¹r'sù tû÷üt/ ö/ä3÷uqyzr& 4 (#qà)¨?$#ur ©!$# ÷/ä3ª=yès9 tbqçHxqöè? ÇÊÉÈ
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara..” (Al-Hujurat 49 : 10)
Di dalam hadis pula telah menyebut bahawa:
Dari Abu Musa r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya seorang mukmin dengan mukmin yang lain bagaikan satu bangunan yang saling mengukuhkan satu sama lain.” (Riwayat Bukhari)
Andai kalam al-Quran dan kalam hadis sudah menyebutkan, maka peringkat nilai persaudaraan itu sudah dijamin Allah S.W.T. bahawa ia mempunyai nilai yang amat suci sekali di sisi Allah andai ia berlandaskan iman dan taqwa semata-mata kerana Allah S.W.T.
Nilai persahabatan itu hanya akan terungkap jika hati dan hati sudah berbicara, jika jiwa dan jiwa sudah mengenal lama, jika persahabatan itu disandarkan atas iman dan taqwa.
Lalu aku menulis sedikit kata-kata hikmah buat sahabat-sahabat aku, yang kadang aku terlupa mendengar coretan dan ceritamu, kadang aku terlupa kehadiran dan kehilanganmu, kadang aku lebih mementingkan aku dari kamu. Semoga kata hikmah ini sentiasa menjadi pedoman dan garis hidupku sepanjang bersahabat bersama kamu agar kali ini tidak lagi aku ulangi kesilapan yang sama dahulu.
“Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.”
“Sahabat yang baik adalah orang yang bercakap benar, dan bukannya hanya membenarkan kata-kata.”
“Jika anda bermusuhan dengan sahabat anda, maka bersiaplah untuk mengalah demi nilai persahabatan anda tersebut.”
“Selemah-lemah manusia ialah orang yang tidak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari.” ( Saidina Ali)
Semoga coretan dan nukilanku ini, menjadi landasan dan jalan untuk aku memperbaiki diri aku sepanjang bersahabat bersama kamu. Semoga juga aku bisa mengubati hati sahabat-sahabat aku yang terluka saat bersama aku. Semoga juga kamu membaca tulisan aku ini. Semoga nilai persahabatan kita bermakna buat selamanya berlandaskan atas dasar iman dan taqwa. Insya-Allah.
Azree | 15.8.2013 | 1.54 a.m
mabruk azree teruskan menulis ya sahabat.... :)
ReplyDeletesyukran Mulyati :)
Deletebest ^_^ Alhamdulillah....
ReplyDeletealhamdulillah :)
Delete