Followers

Monday 29 December 2014

Misi Bantuan Mangsa Banjir Bersama NGO ROYALTI Kelantan

Hari ini bergerak bersama aktivis Royalti Kelantan bagi mengagihkan barang keperluan kepada mangsa banjir.

Lokasi dipilih adalah lokasi sekitar Kuala Krai yang tempatnya terjejas teruk akibat banjir. Dengan berbekalkan 3 buah kenderaan hilux dan sebuah lori, kami para aktivis menuju ke destinasi dalam jam 12 tengah hari begitu.



Dalam perjalanan, ada juga berbelas kenderaan yang juga turut sama menuju ke destinasi yang kami tuju dengan membawa bekalan bantuan masing-masing, kelihatan lambang yang tertera adalah daripada NGO Mercy, Jabatan Penerangan Negeri Kelantan dan ahli PAS Pusat.

Perjalanan kami bukan mudah, hujan yang turun adalah cabaran pertama yang terpaksa dilalui kerana rata-ratanya para aktivis berada di belakang kenderaan menjaga bekalan.

Permandangan kami dihiasi dengan melihat kerosakan-kerosakan yang teruk di sepanjang jalan, kereta semua rosak, kedai-kedai tak berfungsi, rumah-rumah ada yang roboh dirempuh air banjir, tiang elektrik yang patah dan mungkin lambat untuk dibaiki, jalan yang rosak, sungai yang terhakis teruk, sekolah dijadikan sebagai tempat pemindahan,








raut wajah insan-insan yang ditimpa musibah sungguh menyedihkan apabila melihat kenderaan-kenderaan yang membawa bekalan bantuan seolah-olah berharap mereka mendapat bekalan bantuan, namun perjalanan kami masih panjang, rasa kasihan dan simpati kepada mereka, tapi kami hanya menjalankan tugas dan amanah yang diberi agar menghantar bekalan makanan ke tempat yang sepatutnya,

perkara lain yang menyedihkan apabila saat kami mengagihkan barang-barang bantuan kepada sekitar tempat Kuala Krai, mereka mengerumuni kenderaan kami lalu meminta bekalan yang ada, kerana bekalan juga terpaksa diagihkan ke tempat lain, kami terpaksa menyimpan sebahagian bekalan, dan mereka yang masih tidak dapat bekalan di tempat tersebut terpaksa kami hentikan agihan,

rayuan mereka terpaksa dihiraukan, dalam hati terasa sedih melihat situasi tersebut, tidak sanggup, tapi begitulah yang terpaksa dilakukan agar bekalan dapat diagihkan adil kepada tempat yang telah ditetapkan, hampir semua tempat yang kami singgah begitulah situasinya, hanya dapat menahan rasa simpati sahaja,

dalam perjalanan, hujan turun berkala menambahkan sedikit kesukaran kepada aktiviti yang dilakukan, para aktivis terpaksa mengharungi hujan disambil menjalankan tugas, sejuk yang teramat dapat dirasai, pucat lesu anggota badan beberapa aktivis,

selepas isyak begitu, aktiviti dihentikan, semua para aktivitis pun pulang, dalam keadaan kesejukan dan pucat yang terpaksa dirasai, mungkin begitulah rasanya mereka yang ditimpa musibah banjir ini, rumah yang dihanyutkan air, rosak segala peralatan rumah, tidak ada tempat berteduh,

jika meletakkan diri sebentar dan cuba merasai sekejap apa yang dirasai oleh mangsa banjir, mungkin sedikit rasa syukur itu timbul, kerana masih dikurnia kudrat dan keadaan yang baik-baik saja,

insyaAllah esok para aktivis R akan meneruskan aktiviti lagi, lokasi mungkin di tempat yang sama atau sebaliknya, bergantung kepada keputusan,

walaupun air banjir dah banyak yang surut, namun masalah yang lain pula akan menyusul, kerosakan rumah, elektrik, ubat-ubatan, bekalan makanan juga masih diperlukan dengan segera,

Info untuk bantuan boleh layari link tersebut :

https://www.facebook.com/NGO.Royalti/photos/a.539363902775046.1073741826.412096725501765/894133280631438/?type=1&theater

---

Berilah bantuan sekadar semampu anda,

barulah merasa nikmat suatu perkara setelah Allah tarik nikmat tersebut yang sebelumnya tak pernah pun terfikir untuk kita mensyukurinya.

Moga banjir di Kelantan semakin baik.

Doakan.

---

Azree,
Aktivis,
291214,
2343.

Wednesday 17 December 2014

ISC G 8.0

Assalamualaikum.

   Kali ini ingin aku berkongsi apa yang aku dapat daripada program ISC G 8.0 yang baru-baru ini diadakan di Permai D’Valley, Ratau, Kg.Tebobon, Menggatal, Sabah.

   ISC iaitu akronim kepada Islamic Summer Camp juga antara program tahunan bagi Persatuan Siswazah Sabah atau dikenali sebagai PSS.



   Lihat saja dari namanya, dapat diketahui ISC kali ini sudah pun berada pada generasi yang ke-8. Sudah lapan kali program ini diadakan bagi mencapai matlamat dan objektif program yang telah digariskan.

   Begitulah programnya ISC, peserta dan ajk dikumpulkan dari setiap cawangan kawasan PSS seluruh Sabah. Ada mereka yang datang dari Semporna, Beluran, Kota Belud, Kota Marudu, Weston, Beaufort dan lain-lain lagi cawangan yang rata-ratanya bukanlah jarak antara setiap cawangan ini dekat, malahan ada yang jauh jaraknya berbatu-batu, mengambil masa antara 8-9 jam perjalanan untuk berkumpul dalam program ISC ini.

   Lebih mengkagumkan, mereka-mereka yang datang ke program ISC tidak ditaja pun untuk pengangkutan masing-masing. Semua menggunakan wang saku sendiri. Ada yang pemurah sanggup untuk menyumbangkan wang dan kenderaan bagi memudahkan mereka yang lain, mana yang tidak punya wang juga tidak ketinggalan untuk menyumbangkan tenaga, daya usaha, buah fikiran, kenderaan dan bermacam cara yang ada semata-mata untuk mengambil bahagian di dalam program ini bagi menjayakan matlamat program ISC khususnya.

   Kali ini aku telah terpilih sebagai fasilitator dalam program ini. Namun, aku datang lewat pada waktu program. T.O.T yang sepatutnya dibuat pada 9 pagi pada 12 Disember juga tidakaku hadiri. Bukan aku saja-saja, tapi akibat kesihatan yang tidak mengizinkan, dengan kondisi ayah yang dimasukkan ke wad bagi menjalani pembedahan kepalanya juga berada pada tarikh yang sama, maka aku mengambil keputusan untuk hadir lewat ke tapak program. Tapi yang penting aku datang ke program bagi meraihkan dan memberi ilmu yang sedikit ada pada aku ini.


PESERTA

   Mengikut pengetahuan aku, para peserta yang hadir adalah mereka yang terpilih daripada cawangan masing-masing. Mereka adalah peserta yang memang sudah berjinak dan aktif mengikuti program-program anjuran PSS. Bahkan ada dari mereka ini yang sudah berpengalaman dalam memegang jawatan-jawatan penting dalam program, mereka sudah tahu menjalankan dan melancarkan suatu program, membina hubungan, mencari dana, berjumpa masyarakat, mereka hampir memenuhi kriteria-kriteria yang diperlukan sebagai seorang peserta ISC.

   Dengan melihat para peserta di bawah jagaan aku, cara mereka, kepimpinan mereka, gaya bahasa dan budi serta akhlak yang mereka tunjukkan sudah membuktikan bahawa para peserta yang hadir kali ini sememangnya layak terpilih untuk menghadiri program ISC kali ini. Aku menganggap mereka adalah orang yang hebat, orang yang perlu dibimbing dengan baik, mungkin dengan menyentuh sahaja bahu mereka dan berikan reaksi wajah yang baik, mungkin mereka sudah dapat memahami apa kehendak para fasilitator kepada mereka. Begitulah tanggapan aku kepada para peserta ISC yang hadir. Mereka peserta yang bukan biasa-biasa.

   Kali ini aku memegang satu kumpulan muslimin ditemani seorang fasi daripada PSS Semporna bagi membantu antara satu sama lain bagi menjayakan matlamat ISC yang ada. Memandangkan kali ini kesihatan aku tidak begitu mengizinkan untuk aku bergerak dan berkata dengan bebas, maka aku hanya menyerahkan sepenuh tugas untuk mengendalikan ahli kumpulan kepada rakan fasi aku iaitu Awang Radzi dari PSS Semporna. Namun dalam masa yang sama aku juga masih berusaha untuk berada bersama ahli kumpulan mengikut kemampuan aku.

   Dzul, Zul, Dany, Irfan, Shukri, Izam, Mojahidin, & Fikri. Kumpulan 4 dengan nama kumpulan Abu Bakar, merekalah kumpulan muslimin kali ini yang berada di bawah jagaan aku dan Awang Radzi. Dalam sesi ta’ruf sahaja, kebolehan mereka masing-masing sudah terserlah. Tidak perlu diterangkan begitu banyak kepada mereka apa itu Usrah, sebab mereka juga semua pernah mengikuti usrah. Rukun usrah sudah mereka hadam dengan baik. Perbincangan dalam LDK juga begitu mudah bagi kami fasilitator laksanakan kerana tidak perlu begitu banyak kami perkongsikan kerana kebolehan mereka masing-masing mengolah, memberi pendapat, mengulas isu, membicarakan tajuk yang diberi, mereka dapat olah dengan baik.

   Begitulah, dengan satu kumpulan kecil muslimin ini sahaja kebolehan para peserta dapat dilihat, apatah lagi dengan peserta kumpulan yang lain, tentu mereka juga sama hebatnya, ramailah mereka ini yang masih muda jiwanya dan suka niatnya kepada dakwah islamiah, ramailah pemuda hebat yang dapat dikader yang mungkin jika diasah dengan baik lagi maka istiqamah mereka kepada perjuangan menegakkan kebenaran yang dibawa Islam itu mungkin lebih baik. InsyaAllah.

   Jika terus diasah bakat dan diasuh jiwa mereka-mereka ini, sudah tentu mereka juga bisa menggantikan para fasilitator yang ada, mungkin lebih baik. Begitulah apa yang dapat aku lihat kepada para peserta ini. Semoga adik-adik semua terus istiqamah dan bisa menjadi muslim yang cemerlang dunia dan akhirat. Aamiin.


ORANG-ORANG HEBAT

   Suatu perkara yang mengkagumkan aku kali ini adalah aku dapat bertemu dengan ahli-ahli PSS seluruh kawasan yang ada. Bertemu mereka dan mengenali mereka yang membuatkan aku kagum. Ada yang memang aku sudah kagumi sebahagian mereka dengan hanya melihat aktiviti mereka dari alam maya, ada yang aku pernah kenali mereka semasa berada di negara jiran dan bila bertemu itulah yang membuatkan aku rasa senang saja.

   Mereka insan-insan biasa, tapi jiwa dan semangat mereka itu yang luar biasa. Bakat dan usaha mereka, semuanya aku kagumi. Sama ada mereka ini ahli fasilitator mahupun ahli ajk program, hampir separuh daripada mereka aku pernah bekerjasama di dalam program yang lain dan pernah aku kenali sifat dan cara kepimpinan mereka.

   Memegang jawatan yang hebat-hebat itu mungkin perkara biasa bagi mereka semua yang aku kenal, tapi itulah yang membuatkan mereka hebat. Perkara yang aku suka lagi, mereka semua boleh bekerjasama dengan baik walau berbeza cara dan kaedah, berbincang dengan baik, masih boleh tersenyum, tidak berwajah ketat setiap masa, riang-riang, tapi bila melakukan suatu pekerjaan mereka buat dengan sungguh-sungguh.

   Berjumpa dan bersama insan-insan hebat hanya membuatkan aku berdiam saja. Begitulah sifat aku. Aku berdiam bila aku marah, juga aku berdiam bila bersama orang yang lebih baik dari aku. Aku lebih senang memerhatikan setiap langkah dan gerak geri mereka, tingkah laku mereka, akhlak dan adab mereka, aku contohi setiap yang baik dari mereka. Begitulah cara pembelajaran dan pengajaran yang aku ambil jika bersama orang yang lebih baik dari aku.

   Aku tidak memuji berlebihan, tapi inilah yang aku rasa dan ingin luahkan. Berada di dalam organisasi yang matlamatnya Islam, sudah tentu orang-orang yang bersamanya adalah orang-orang yang hebat. Duduk bersama mereka sahaja sudah terasa kehebatan itu, maka terdoronglah juga diri untuk terus melakukan kebaikan. Semoga diri ini dan kita semua terus berada dalam satu jemaah.


SUATU KERUGIAN

   Suatu kerugian buat aku kali ini dalam program ISC kerana kesihatan yang tidak begitu baik membuatkan pergerakan dan lisanku terbatas. Terbatas untuk lebih berkenalan dengan para peserta dan para ahli ajk dan fasi dari setiap kawasan.

   Suatu kerugian juga buat aku bilamana aku tidak dapat berkongsi banyak kepada para peserta ahli kumpulan di bawah jagaan aku. Banyak benda nak kongsi, tapi tak terdaya nak bicara. Mungkin inilah kafarrah dosa yang aku dapat. Mungkin niat aku kurang baik. Sebab itu Allah beri aku sakit agar aku ingat semula kepada Dia agar sentiasalah merendah diri dan beringat batas diri berada di mana.

   Yang penting aku tetap bersyukur dapat menghadiri program ISC kali ini. Banyak benda aku belajar walau penglibatan aku bersama rakan-rakan ajk dan fasi tidak begitu banyak.


KELEBIHAN

   Apa kelebihan yang boleh diambil dalam program-program macam ni? Pernah tak dengar kata-kata dari kawan-kawan, guru-guru ke, ibu ayah ke yang kata macam ni,

“kau ikut program-program macam ni apa kau dapat? Dapat duit tak?”

“baik kau tumpu pelajaran daripada kau join program-program macam ni.”

“mak tengok kau ni asyik keluar pagi dan malam je, kau betul ke ni join program atau kau pergi tempat lain?”

“kalau program ni kalau boleh bawa duit takpa juga”

Dan pelbagai lain perkataan-perkataan atau sindiran yang kita dengar hanya kerana kita join program-program semacam ni. Takpa, mari kita clearify perkara ni.

Sebenarnya program macam ni banyak kelebihan yang boleh kita ambil dan manfaatkan.

SELAMAT

   Aku akui aku kurang memberikan kerjasama yang banyak dalam program kali ini. Aku turut serta dalam program kali ini pun kerana kebetulan aku sedang mengambil cuti belajar selama 2 minggu di Sabah. Maka aku ambil kesempatan ini bagi menyumbang tenaga dan kudrat yang ada bagi membantu gerakan kebaikan dan mencegah kemungkaran khususnya membantu para remaja kini agar menjadi insan yang baik dan berguna buat masyarakat dan keluarga.

   Aku tidak mengatakan yang para ajk dan fasi seterusnya mereka yang menganjurkan program ini adalah insan-insan yang maksum dan sempurna dari setiap sudut, tidak. aku dan kami semua juga ingin menjadi baik dan terus berusaha menjadi insan yang baik dengan cara mengajak orang lain membuat kebaikan dan tinggalkan keburukan yang boleh merosakkan amalan seharian.

   Ucapan selamat dari aku buat para peserta, ajk dan fasi yang aku kenali mahupun yang tidak aku kenali. Selamat menjalankan tugas dengan baik walau di mana saja kita berada, selamat menjadi insan yang terus melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran walau di mana saja kita di letakkan, selamat berusaha dan semoga selamat dalam menjalani kehidupan seharian kita semua.

   Selamat bertemu kembali wahai rakan-rakan yang aku sanjungi. Di atas jalan agama ini menyatukan jiwa dan raga kita. Semoga kita semua tetap bersaudara.

Selamat bertemu dan selamat berpisah semua. :)




Sunday 2 November 2014

Kenapa Masih Tetap Sama ?

Assalamualaikum.


Hari ini terasa pula untuk menulis mengenai sebab atau kenapa diri kita ini yang selalu mengikuti program-program Islamik, banyak mengikuti forum-forum, ceramah, seminar agama, kuliah, pernah menjadi naqib atau naqibah, murabbi, murabbiah, dan sebagainya.

Kita pernah lalui itu semua, tapi kenapa diri masih terasa sama ?
Masih terasa diri tidak mempuyai perubahan yang banyak walaupun segala perkara di atas kita sudah mengetahui.

Mungkin bagi mereka yang tidak merasai perkara ini, mungkin kerana anda masih berada di awal permulaan jalan dakwah ini, ataupun anda masih mempunyai semangat yang kental dan azam yang tekad untuk berada di jalan dakwah ini, ataupun anda mempunyai rahsia-rahsia tersendiri untuk mengekalkan momentum anda untuk terus berada dalam jalan dakwah walau pelbagai rintangan yang melanda.

Bagi mereka ini, saya ucapkan tahniah dan semoga teruskan dan kekalkan cara anda sedemikian. Semoga tetap thabat dalam jalan dakwah dan terus memberi manfaat kepada manusia sejagat.

Bagi mereka yang sudah merasa lelah dalam jalan dakwah, terasa 'kering' tarbiyah, terasa sudah tidak bermaya, bosan untuk meneruskan perjuangan, jangan berputus asa terlebih dahulu. Mari lihat apakah simptom yang menyebabkan kita menjadi seperti sedemikian.

Mungkin beberapa simptom yang saya senaraikan ini menyebabkan kita terasa sudah tidak bermaya lagi untuk meneruskan perjuangan di dalam jalan dakwah ini, ataupun diri masih tetap sama, tidak membawa perubahan pada diri.


1. Niat

Niat adalah perkara sinonim dalam hidup kita sebelum memulakan sesuatu perkara dalam kehidupan. Di mana-mana sahaja kita hendak pergi, hendak melakukan, hendak itu hendak ini, kita pasti akan berniat di dalam hati. Perkara yang kita niatkan itu sudah tentulah itu yang kita akan dapat. Pagi ini kita berniat hendak makan nasi ayam, makanya kita bangun pagi dan pergi ke restoran yang berdekatan dan kita pun meminta nasi ayam kerana itu yang kita niatkan ingin makan pada awal pagi ini.

Tapi tidak selalunya perkara yang kita niatkan akan kita dapat. Contoh kita ingin menderma hari ini di masjid sebanyak RM 5. Sampai sahaja di masjid, tetiba kita melihat wang yang ada di dalam saku hanya mempunyai RM 4 dan teruslah kita mendermakan duit RM 4 itu kepada masjid kerana duit tidak mencukupi. Walaupun niat kita ingin menderma sebanyak RM 5 tapi bukan selalu perkara yang kita niatkan kita akan dapat.

Begitulah dalam jalan dakwah ini, apa yang kita niatkan sebenarnya ?

Semasa baru mula kenal dakwah dan mula menjejakkan kaki di dalam jalan dakwah, apa yang kita niatkan ?

Apakah kita ingin merasa terkenal dengan berdakwah ?
Apakah ingin orang memuji kita kerana keilmuan agama kita ?
Apakah kita ingin mendapat gelaran dan pujian ?
Apakah itu yang kita niatkan ?

Jika itulah yang kita niatkan mahupun niat lain yang berkaitan di atas iaitu bukan niat selain berdakwah di jalan agama atau ingin mendapat keredhaan Allah semata-mata, maka ubahlah niat anda sekarang.

Ya,
Sekarang.

Tidak ada masa untuk menangguhkan niat yang salah. Risau belum sempat kita mengubah niat kita, nyawa kita sudah diambil Allah ataupun segala amalan baik kita sebelum ini tidak diterima Allah.

Rugi dan sia-sia segalanya jika niat tidak bersih.

Niat salah, maka amalan pun tidak diterima. Kerana kita berniat atas makhluk bukan kerana Al-Khaliq.

Akibat niat yang salah inilah diri kita akan cepat merasa bosan kepada jalan dakwah.

Walaupun banyak program Islamik yang telah kita ikuti, banyak bagi usrah dan sebagainya, lama-kelamaan diri merasa bosan dengan semuanya.

Ini kerana niat yang tidak ikhlas dan selalu ingin mendapat pujaan dan dambaan dari manusia. Jika manusia sudah tidak memandang kehebatan dan kemuliaan diri kita, mulalah kita pun merasa lemah dan dengan perlahan-lahan cuba untuk tidak melibatkan diri dalam jalan dakwah.

Adakah anda pernah merasa begini ?

Jika ya, silahlah ubah niat anda sekarang iaitu berdakwah di jalan Allah ataupun menimba ilmu hanyalah kerana Allah semata-mata bukan kerana manusia.


2. Rasa Hebat

Perasaan ini pasti akan hadir bagi mereka yang selalu aktif berpersatuan, kendalikan program, usrah, mukhayyam, ceramah, seminar, forum dan sebagainya. 'Hebat' apabila berada di hadapan khalayak ramai. Nama selalu dijulang kerana selalu menjadi orang yang aktif dan tidak pernah tidak hadir dalam mana-mana aktiviti.

Ya,
Perasaan ini pasti akan hadir.
Dan, apakah salahnya jika perasaan ini hadir ?

Tidak ada salahnya bagi saya,
Perasaan tetap perasaan, kita berhak merasa sedemikian, tapi merasa diri sudah hebat adalah senjata terbaik bagi syaitan mencucuk jarumnya untuk menimbulkan rasa riak dan takbur dalam diri.

Risau apabila syaitan sudah menang mencucuk jarum 'manisnya' kepada kita, maka timbullah sifat takbur dan riak dalam diri kita. Semoga kita dijauhkan dari sikap sedemikian.

Menurut firman Allah SWT dalam surah al-'A'raaf, ayat 40 :


Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.

Begitulah amaran keras daripada Allah untuk menegur kita supaya tidak merasa hebat dan takbur kepada diri sendiri. Yang merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Semoga kita tidak termasuk dalam kalangan mereka yang takbur.

Kita kena ingat, walaupun kita sudah banyak mengendalikan program atau usrah, itu bukanlah menunjukkan diri kita ini sudah sempurna atau lebih hebat dari orang lain. Itu adalah salah satu pencapaian perubahan dalam hidup kita.

Bersyukurlah kerana diberi peluang sedemikian, dapat merubah hidup memberi sumbangan di jalan dakwah dengan banyak mengendalikan program ataupun mengikuti program-program Islamik dan sebagainya.

Gunakanlah kemampuan yang ada ataupun bakat yang terserlah di dalam jalan dakwah dengan baik. Gunakanlah ia dengan memberi sumbangan yang bermanfaat kepada masyarakat, keluarga dan negara.

Bukan dengan kita merasa kita hebat, kita sudah ikut itu ikut ini, orang lain yang baru mengenal dakwah kita perlekehkan, pandangan orang lain yang berbeza dari kita terus dicantas tanpa perlu ada sesi soal jawab, menginginkan jawatan yang tinggi sahaja di dalam organisasi kerana merasa diri tidak layak memegang jawatan yang remeh seperti AJK Masakan atau AJK Jemputan di dalam program atau organisasi.

Inilah akibatnya apabila kita merasa kita adalah 'orang hebat'.

Akhirnya, apabila kita diletakkan di dalam ajk yang tidak kita senangi, tidak diterima pandangan kita, tidak didengar nasihat kita, tidak dilihat usaha kita, maka bermulalah pemberontakan secara senyap dalam diri, mulalah futur dalam jalan dakwah.

Kita mula merasa lemah, tidak bermaya, tidak banyak perubahan dalam diri kita. Diri tetiba menjadi malas dan mula memberi alasan dalam jalan dakwah.

Dan, elakkan merasa 'hebat' berlebihan. Jangankan perasaan tersebut memakan diri sendiri. Elakkan perasaan merasa diri hebat menenggalamkan niat yang suci dalam diri.

Berdakwahlah kerana Allah.

Jangan meminta selain itu.


3. Kurang Disiplin Diri

Kurang disiplin diri dalam dakwah dan study dapat menjejaskan prestasi diri kita. Kesilapan pendakwah sekarang, mereka terlalu mementingkan dakwah berlebihan dan ditinggalkan pelajaran kemudian. Mereka menganggap turun ke medan lapangan untuk berdakwah adalah segala-galanya.

Ini adalah kesilapan bagi para pendakwah masa kini. Jangan terlalu gopoh untuk mencurahkan segala apa yang kita baru pelajari.

Persoalannya,
Dan apa yang kita nak curahkan kepada masyarakat sekiranya kita tak study ?
Ilmu apa yang kita nak beri jika pelajaran pun lintang pukang ?
Bagaimana kita nak disiplin diri dalam dakwah sedangkan disiplin dalam study pun tak terjaga ?

Begitulah,
Dakwah dan study bukanlah dua perkara yang berbeza. Jangan bezakan dua perkara ini, jangan tinggalkan antara satu dari dua perkara ini.

Jika dakwah seimbang, maka study juga perlu seimbang.

Jangan terlalu gopoh, Pelajaran di dalam kelas adalah pelajaran yang perlu kita sampaikan kepada masyarakat di luar sana. Maknanya pelajaran di dalam kelas juga adalah salah satu dakwah yang perlu kita tunaikan. Tingkatkan ilmu di dalam kelas di dalam masa yang sama jangan lupa memberi apa yang kita sudah pelajari. Sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit, Biar perlahan yang penting niat benar dan ikhlas.

Akibat kurang disiplin diri ini juga dapat menjejaskan prestasi kita.

Disiplin dalam dakwah harus juga kita penuhi.
Dalam usrah kita menyuruh adik-adik usrah agar membaca al-Quran satu lembar satu hari, tapi kita sendiri pun tidak membaca al-Quran, Sepatutnya sebagai seorang naqib/bah kita perlu membaca lebih dari satu lembar ataupun membaca satu juzuk al-Quran sehari.

Bagaimana kita hendak mendisiplinkan diri jika diri sendiri tidak melaksanakan perkara yang kita katakan ?

Lupakah kita pada firman Allah SWT, dalam surah as-Saff, ayat 2-3 :


Maksudnya : "Wahai orang-orang beriman mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan."

Kita hebat berbicara di hadapan khalayak ramai, dakwah itu dakwah ini, program sana sini kita ikuti, 2 hari, 3 hari hatta seminggu pun kita masih bersemangat dan sanggup untuk berprogram. Tapi bila pulang program, diri tetiba menjadi malas, berjumpa dengan assignment terasa berat dan beban untuk membuatnya, tidak aktif dalam mengulangkaji, lambat datang kelas, kadang merasa berat untuk pergi kuliah dan sebagainya.

Bagaimana untuk kita memberi qudwah yang baik kepada masyarakat ? Adik-adik usrah ? Kawan-kawan ? Keluarga ? Guru-guru ?

Jika study pun tidak berapa memuaskan, tapi sibuk dengan program-program Islamik.

Risaukan kita hanya membawa sebahagian daripada fitnah kepada agama Islam.

Masyarakat sekarang tidak melihat bagaimana kita hebat dalam berdakwah dan sebagainya, mereka melihat prestasi study kita terlebih dahulu, Jika pelajaran kita baik, maka mereka akan mempercayai setiap kata-kata kita.

Pentingnya di sini, dakwah dan study kena seimbang. Tingkatkan prestasi disiplin diri mengenai dua perkara ini. InsyaAllah diri kita akan lebih terbimbing dan layaklah kita menjadi qudwah hasanah kepada orang lain dengan cara kita memperbaiki terlebih dahulu diri kita.

---

Kita sangka kita sudah tahu apa itu tarbiyah, kita rasa kita sudah mengetahui segalanya.
Kita sangka dengan banyaknya program Islamik yang kita ikuti mahupun program yang pernah kita kendalikan sendiri, kita sangka kita sudah sempurna dan hebat.

Sedangkan itu hanyalah pencapaian buat memperbaiki diri kita seadanya, menjadi manusia yang lebih berguna serta mengeluarkan kebolehan dan kelebihan yang ada pada diri kita untuk disumbangkan kembali kepada manusia lain.

Rasanya, tiga simptom di atas terlebih dahulu yang ingin saya jelaskan.

Yang lain mungkin akan saya tulis kemudian.

Tiga simptom di atas adalah perkara yang saya pernah saya rasa sendiri. Dan tiga perkara ini pun sudah cukup untuk menjatuhkan semangat juang yang hadir dalam diri kita sebagai pendakwah. Jika kita lalai dan terus tenggelam oleh 3 simptom di atas, boleh jadi kita akan tenggelam dalam dunia sendiri, yang aku panggil 'SS' iaitu 'syok sendiri'. Asyik mencari populariti dalam dakwah, dan bila ditinggalkan manusia, mulalah mundur dan tak bermaya.

Elakkan diri daripada termasuk dalam sifat-sifat orang munafik, iaitu salah satu ciri daripadanya ialah merasa malas untuk beribadah bila berseorangan, merasa semangat beribadah bila berada di khalayak ramai. Semoga kita tidak tergolong dalam ciri-ciri ini.

---

Dan, itu sahajalah yang ingin saya kongsikan bersama. Moga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita semua, terutamanya kepada diri saya sendiri.

Orang yang menulis serupa seperti orang yang bercakap, kerana mereka mengajak kepada kebaikan. Maka saya juga tidak terlepas daripada amaran Allah dalam surah as-saff ayat 2-3 di atas.

Semoga dengan perkongsian ini saya dan anda semua yang membaca mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

Jika tidak dapat semua, cukup sedikit tapi berkesan dan menyentuh di hati itu sudah memadai.

Itu menandakan bahawa hati kita masih hidup dan masih mempunyai api iman di dalam hati.

Tidaklah saya menulis jika bukan kerana ingin mendapat redha Allah semata-mata.

Allah juga berpesan di dalam surah adz-Zariyat, ayat 55.


Dan dengan sebab itu saya menulis kerana ingin menunaikan rasa tanggungjawab ini serta berkongsi perasaan dan rasa kepada semua kawan-kawan sepanjang pengalaman saya di dalam medan dakwah hingga kini.

InsyaAllah selepas ini saya akan terus menulis mengenai kisah-kisah yang boleh saya kongsikan buat rakan-rakan semua.

Pesanan terakhir,



Azree.



Thursday 30 October 2014

Aku Terleka Dibuai Dunia

Assalamualaikum.

Setelah sekian lama tidak mengupdate tulisan blog, malam ini jari jemariku tergerak untuk menulis semula. Membaca blog dari kawan-kawan membuatkan aku terasa untuk menulis juga, menulis semula. Setiap blog mereka mempunyai isi dan rasa yang dapat mereka lantunkan buat pembaca, kerana mereka menulis dari hati dan jiwa mereka, apa yang tersirat di dalam hati mereka, apa yang lisan tidak boleh wakilkan jadi mereka curahkan ia di blog sebagai wakil bicara mereka.

Ya,
Aku terkesan.
Aku tahu, menulis itu bukan kerana engkau perlu bergelar seorang penulis terlebih dahulu, engkau bisa sahaja menulis ikut apa yang engkau mahu, ikut apa yang hatimu mahu, ikut apa yang engkau mahu orang lain baca dan rasa apa yang engkau rasa.

Kini,
Aku menulis semula untuk melontarkan rasa apa yang terpendam dalam hatiku segala.
Rasa sunyi, jauh dari matlamat dan cita, terasa keseorangan ibarat tidak ada peranan.

Dan aku menulis, kenapa aku merasa sedemikian.

Aku merasa terumbang-ambing, entah, seolah aku melihat aku ini tidak punya apa-apa. Aku bukan aku yang dahulu. Aku bukan seperti apa yang aku mahu.

Kadang aku merasa segan untuk berjumpa kawan-kawan aku.

Hanya aku tahu siapa aku.




Aku berusaha untuk menghindarkan rasa ini, tapi aku tetap terbuai leka oleh dunia. Aku tetap terus tenggelam dihanyut mainan dan tipu dunia.

Haaa,

Hampir saja aku menyerah kalah. Tidak mahu membuat semua perkara, hanya aku ingin duduk diam sahaja.

Tapi, bila memikirkan perkara itu semula, aku silap. Ini bukan aku. Ini bukan apa yang aku mahu.
Aku ada tanggungjawab yang tak terlaksana. Aku pernah ada hasrat dan cita yang ingin digapai. Aku ada impian buat masa hadapan.

Terpinga-pinga aku mencari, di mana 'mereka' semua ?

Aduh, apakah 'mereka' melupakan aku atau aku yang melupakan 'mereka' ?

Ya, ternyata aku yang melupakan 'mereka'.

Aku berhasrat merantau jauh keluar dari tempat tinggal aku di Sabah adalah hanya untuk menimba ilmu pengetahuan semata. Menambah ilmu agama di dada, melihat suasana baru di luar serta kembali pulang bisa membawa manfaat buat keluarga, masyarakat dan negara.

Kini aku terlupa itu semua.

Selama 2 tahun setengah aku belajar di Kelantan, aku sedar yang aku masih tidak mempunyai perubahan sepertimana yang aku mahu.

Kembali aku merenung perjalanan hidup ini, apakah aku bisa meneruskan apa yang aku mahu ? Atau aku hanya perlu merubah dan merancang yang baru dan bermula semula ? Tinggalkan apa yang telah aku buat ini ?

Dan aku hanya kembali kepada titik pertembungan yang membuat aku runsing saja.

Dan inilah yang membuatkan aku merasa seakan-akan berada di awang-awangan. Seperti layang-layang putus talinya.

Aku sedar, aku terleka dibuai dunia.
Segala hasrat, cita dan impian aku masih menunggu setia.
Hanya aku yang tidak setia pada mereka,
Seringkali aku mendustai apa yang perlu untuk mencapai 'mereka'.

Aku terleka dibuai dunia,
Dosa semakin hari semakin bertambah,
Tidak berkurang aku rasa walau sudah aku berdoa lama,
Hati aku masih tidak tenteram dari dunia,

Dan aku semakin terleka dibuai dunia,
Aku menganggap dengan aku menetap dan belajar di negeri yang digelar Serambi Mekah,
Dengan ramainya ulama-ulama terkemuka,
Dengan banyaknya pondok-pondok agama,
Itu bisa membuat aku menjadi orang yang bijaksana,

Dan aku silap, itu semua bukanlah sebabnya.

Ia bermula dari diri sendiri semua.

Ya,
Ia bermula dari aku.

Aku yang terleka dibuai dunia.

Apakah kau masih mahu terus terleka dibuai dunia ?

'Wahai hati, kembalilah kembali. Kembali menghadap Tuhan yang suci, hadapkanlah hati kepada Dia yang Esa, memintalah kepadaNya agar disucikan hati. Wahai Tuhan yang Mendengar lagi Maha Mengetahui perkara yang ghaib, dengarlah akan raungan dan sesalan dari hati insan ini, semoga Engkau tunjukkan dia jalan yang benar, jalan yang dapat menyelamatkan dia dari kerosakan dunia. Wahai Tuhan yang Maha Besar, hanyalah kepada Engkau kami meminta dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'

Azree.



Wednesday 29 October 2014

PUISI : Cinta Ilahi





Kata-kata kembali pada cinta,

Yang setia mendengarkan nyanyian jiwa,

Demikian pula bunga-bunga, 

Yang menemani renungan,

Biarkan berangkat menempuh keyakinan,



Fikiran-fikiran kita padatkan,

Hingga berbentuk dalam mata,

Menjadi sajak atau jejak rindu,

Mungkin lebih bermakna daripada batu,



Biarkan suara-suara jiwa terlahir,

Dari dalam hidup yang selalu mengalir,

Melangkahkan air mata yang fakir,

Sudah berapa lama keterasingan,



Dikembangkan menjadi perjalanan batin,

Menempuh tafsir hati yang paling sunyi,

Menuju hari-hari yang pasti,

Carilah cinta yang hakiki,


Itulah ia Cinta Ilahi.


Puisi oleh : Azree /19 Dis 2013/02.59 p.m

Monday 27 October 2014

PUISI : Khayal Hingga Lupa Tuhan

BERKHAYAL HINGGA LUPA TUHAN

Engkau puja bunga di taman,
Engkau terpesona dengan keindahannya
Engkau tulis di dalam sajak-sajakmu,
Hingga engkau lupa akan Tuhan,
Bukankah bunga akan layu kemudian jatuh ke bumi,
dan ia tidak berguna lagi.

Engkau puja perempuan,
engkau ukir dengan kata-kata,
Hingga lalai dengan Tuhan,
Bukankah satu masa nanti dia akan tua,
atau adakalanya dia tidak setia,
yang akan mengecewakan hati dan jiwa,
maka tidak bergunalah engkau di matanya.

Engkau kagum dan puja awan,
yang berarak dan beralih melawan,
Engkau gambarkan dengan bahasa yang sopan,
Hingga lupa kewajipan kepada Tuhan,
Padahal awan boleh hilang,
dan tidak selamanya ia menawan.

Engkau berkhayal dengan gunung-ganang,
Engkau ungkap di dalam syair-syairmu,
Padahal kalau engkau dekat dengannya,
Ia adakalanya menakutkan,
menjemukan dan memayahkan.

Entah apa lagi yang engkau berkhayal,
dengan hal yang ada di dunia,
Hingga engkau berfoya-foya,
dan menghabiskan masa,
Lupa Tuhan, lupa agama,
lupa Hari Pembalasan.

Sedangkan semua itu akan binasa,
Padahal kalau mata hatimu hidup, 
jiwamu celik,
lalu engkau puja Tuhan, 
engkau besarkan Dia,
seterusnya engkau cintakan Dia,
dan engkau jadikan Dia sebagai sandaran,

Tuhan adalah kekal, 
Ia adalah pembela,
Dia adalah sumber segala-galanya,
Inilah yang lebih menguntungkan engkau,
membawa rahmat untuk dunia dan akhirat,
Kerja engkau tidak akan sia-sia,
Untung engkau hingga ke SyurgaNya.




Puisi oleh Azree.



Wednesday 26 February 2014

[Kerja Kursus Tasawuf & Akhlak] IKHLAS : Menurut Al-Quran & Hadis



Pendahuluan
           
            Islam adalah agama yang benar di sisi Allah. Segala amal ibadat yang kita lakukan hendaklah sesuai seperti yang telah ditetapkan syarak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah agar segala amal ibadat kita diterima oleh Allah S.W.T..

            Namun, dalam setiap amal ibadat yang kita lakukan, pasti kita tidak akan terlepas daripada segala penyakit hati yang dapat merosakkan segala amal ibadat kita lantas amalan kita hanyalah sia-sia di sisi Allah S.W.T..

Penyakit hati yang selalu bersarang di hati-hati manusia iaitu sifat riak. Sifat riak adalah sifat yang kadang kita tidak perasan kita melakukannya. Sifat ini sering kali merosakkan amal ibadat kita. Kita sangkakan kita sedang berbuat amal ibadat kerana Allah, tapi hakikatnya kita sedang melakukan amal ibadat tersebut kerana ingin mendapatkan pujian di mata manusia.

Justeru, bukan hanya sifat riak yang dapat merosakkan amalan kita, sifat ‘ujub, takbur, dengki dan lain-lain penyakit hati yang bersangkutan dengannya juga dapat merosakkan segala amal baik kita.

Maka, cara untuk kita mengelakkan daripada penyakit hati tersebut, kita hendaklah mencari erti keikhlasan di dalam amal ibadat kita. Ikhlas adalah suatu sifat yang kita lakukan hanyalah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah dan tidak mengharapkan pandangan dan pujian dari manusia. Sifat ikhlas dapat menjaga segala amal ibadat kita agar tidak terjerumus ke dalam tipu daya syaitan.

Namun, untuk mencapai taraf ikhlas itu juga perlukan suatu usaha yang berterusan. Sifat ikhlas ini perlulah dipupuk dengan mendekatkan hati kita semata-mata untuk berdamping kepada Allah. Maka, tajuk yang saya ingin bentangkan juga adalah berkaitan dengan ikhlas yang dimana diterangkan apa itu ikhlas, tanda-tanda ikhlas dan lain-lain yang berkaitan.
           

Pengertian Ikhlas

Pokok atau unsur yang penting dari setiap niat ialah ikhlas. Adapun makna ikhlas itu ialah suci dan murni, tidak bercampur dengan yang lain. Menurut istilah Syariah Islam, yang dimaksudkan dengan makna ikhlas itu ialah mengerjakan ibadah atau kebajikan kerana Allah semata-mata dan mengharapkan keredhaanNya.[1]

Sayid Sabiq merumuskan definisi ikhlas itu sebagai berikut:

“Bahawa menyengaja manusia dengan perkataannya kerana Allah semata-mata dan kerana mengharapkan keredhaanNya. Bukan kerana mengharapkan harta, pujian, gelaran (sebutan), kemasyhuran dan kemajuan. Amalnya terangkat dari kekurangan-kekurangan dan dari akhlak yang tercela, dan dengan demikian ia menemukan kesukaan Allah.”[2]

Abu Ali Ad-Daqqaq rahi berkata: "Ikhlas ialah menjauhkan daripada pandangan makhluk. Orang yang ikhlas tidak mempunyai sifat riya.'

Di dalam AI-Quran, Tuhan mengibaratkan ikhlas itu laksana susu yang bersih murni, yang enak rasanya apabila diminum, bahkan yang dapat menyihatkan dan menyegarkan badan manusia.
Tuhan berfirman:

“Dan sesungguhnya tentang kehidupan binatang-ternak itu menjadi pelajaran bagi kamu. Kami beri minum kamu dengan apa yang ada dalam perutnya; di antara tahi dan darah (didapati) susu yang bersih-murni (ikhlas), mudah dan sedap ditelan oleh orang-orang yang meminumnya.”[3]

Pada ayat tersebut Tuhan memberikan contoh tentang ikhlas itu laksana susu murni binatang ternak. Sebelum menjadi susu murni, iaitu tatkala masih berada dalam perut binatang, susu itu terdiri dari dua zat yang kotor dan tidak memberikan faedah iaitu najis dan darah. Setelah melalui proses, maka terjadilah susu yang bersih murni, tidak bercampur dengan kotoran dan zat-zat lainnya. Tuhan mengibaratkan bahawa sesuatu amal yang ikhlas tidak ubahnya laksana susu murni itu.

Sifat ikhlas itu ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah S.W.T dan diqasadkan (niat) untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riak, ‘ujub  atau inginkan pujian manusia.[4]         

Sesetengah ulama berkata, ikhlas ialah bahawa engkau dengan Allah sahaja mengetahui amalanmu.[5]
            Abu Ali al-Diqaq berkata: Ikhlas itu ialah memelihara diri daripada perhatian makhluk, dan benar itu ialah bersih daripada perhatian nafsu. Maka orang ikhlas itu tidak ada riak baginya dan orang yang benar itu tidak ada ‘ujub baginya.

Di dalam al-Quran juga, Allah menyebut mengenai sifat ikhlas itu bagaimana seperti di dalam firman Allah yang menyebut:

“Dan mereka tidaklah disuruh melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dan mengikhlaskan agama kepada-Nya.”[6]

Selain itu di dalam surah yang lain iaitu firman Allah:


“Apakah tidak bagi Allah itu agama yang ikhlas?”[7]

Sesetengah ulama pula berkata: Yang khalis (bersih) daripada amal itu ialah yang bersih daripada kecelakaannya. Yang dimaksudkan kecelakaannya itu adalah yang membinasakannya, seperti riak dan ‘ujub, dan cercaan, dan menyakiti orang dengan amal itu, dan tamak pada harta benda. Demikianlah menurut ahli tahqiq.


Tempat Terbitnya Ikhlas[8]

            Tempat terbitnya ikhlas itu ialah keinginan dan ketakutan. Al-Harith al-Muhasibi berkata: Amal soleh itu ada umbinya dalam hati, tertutup daripada makhluk. Apabila seseorang itu sejahtera daripada campuran riak dan syirik khafi (syirik tersembunyi), dan bersih amal, dan bersih ia daripada dakinya nescaya melakukannya membuahkan pahala. Dan apabila dia nyatakan amalnya kepada makhluk, dia dimasuki oleh riak dan ‘ujub, dan suka dipuji, dan batallah pahalanya.

            Hal itu umpama kayu yang apabila akarnya keluar, tidak dapat minum, layu dahannya, kering daunnya, dan putus buahnya. Tetapi jika akarnya masuk ke dalam tanah, tidak dilihat oleh orang, jadi banyak ia minum, meresap air dalam dahannya, jadi menghijau daunnya, masak ranum buahnya.


Tanda Ikhlas[9]

            Antara tanda seseorang itu ikhlas adalah sebagaimana jika dia dipuji atau dicerca oleh orang ramai, dan melupakan pandangan orang ramai terhadap amalnya, dan meninggalkan dasar beramal kerana pahala di akhirat.
            Sahal ketika ditanya: Manakah amal yang amat berat pada nafsu? Beliau menjawab: Ikhlas, kerana tidak ada habuan nafsu di dalamnya.
            Sesetengah ulama berkata: Alangkah banyaknya orang yang bercakap, tetapi alangkah sedikit orang yang mengamalkannya. Dan alangkah banyaknya orang yang beramal, tetapi alangkah sedikitnya orang yang ikhlas.
            Ahli Tahqiq berkata: Tanda ikhlas itu ialah suka berkhalwat untuk munajat kepada Allah, dan sedikit berkenalan dengan makhluk dalam beramal kepada Allah.
            
Sesetengahnya pula berkata: Alamat ikhlas itu ada tiga perkara:
  1. Seseorang itu takut akan pujian orang supaya jangan sampai batal amalnya dan jadi sia-sia umurnya dalam amal yang buruk.
  2. Dia tidak takut akan cercaan manusia, kerana bagi orang yang takut akan cercaan manusia, dia meninggalkan banyak amal kebaikan dan meninggalkan berkata benar.
  3. Dia tidak suka mencari-cari alasan kerana orang yang mencari-cari alasan itu adalah tidak ikhlas.

Syeikh Ahmad Ibnu ‘Ataillah as-Sakandari berkata dalam kitab Syarah Al-Hikam Al-‘Ataiyyah, “Amal perbuatan itu sebagai kerangka yang tegak, sedang ruh (jiwa) nya adalah tempat terdapatnya rahsia ikhlas (ketulusan) dalam amal perbuatan”.
  1. Tanda orang yang memiliki keikhlasan diantaranya:
  2.  Hidupnya jarang sekali merasa kecewa.
  3. Tidak bergantung atau berharap pada makhluk.
  4. Tidak pernah membezakan antara amalan besar dan amalan kecil.
  5. Banyak amal kebaikan yang dirahsiakan.
  6. Tidak membezakan antara bendera, golongan, bangsa atau organisasi.


Nilai Keikhlasan.[10]

            Keikhlasan dan niat yang murni dan bersih dapat menghantar orang ke tingkat yang tinggi, tingkat hamba-hamba Allah yang soleh dan tergolong ke dalam golongan “Abraar”. Bersabda Rasulullah S.A.W. :

“Berbahagialah orang-orang yang ikhlas dalam amalnya, iaitu mereka yang bila nampak tidak dikenal dan bila tiada, tidak dicari orang. Mereka adalah pelita penunjuk yang menyapu bersih segala fitnah yang gelap.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi dari Thauban)

            Sifat tulus ikhlas yang dimiliki seseorang akan memberinya keuntungan dunia dan akhirat. Dan jika suatu kelompok masyarakat anggota-anggotanya terdiri atas orang-orang dan peribadi-peribadi yang memiliki sifat tulus ikhlas, nescaya akan diliputi oleh suasana kedamaian cinta, kasih sayang dan aman tenteram.

            Dengan memiliki sifat-sifat tulus ikhlaslah para sahabat Rasulullah berhasil membersihkan jiwa dan hati mereka dari sifat-sifat riak, munafik dan kebiasaan berdusta dan berhasil mencapai tujuan-tujuan mereka menegakkan kebenaran dan keadilan, sehingga pada akhirnya dapatlah mereka menjadi khalifah Allah di atas muka bumi, memimpin dunia dan umat manusia.

            Unsur-unsur yang kadang kala menghalangi seseorang untuk melakukan amal ibadah yang biasa ia lakukan, sekali-kali tidak akan mengurangi pahala dan kedudukannya di sisi Allah selama ia berlaku jujur dan ikhlas dalam niatnya.


Darjat Percampuran & Bahaya Pengkotoran Ikhlas[11]

            Ketahuilah bahawa bahaya yang terdapat didalam percampuran keikhlasan itu. Sebahagiannya jelas, sebahagiannya tersembunyi, sebahagiannya lemah serta jelas dan sebahagiannya kuat serta tersembunyi. Perbezaaan-perbezaan tersebut tidak dapat difahami melainkan dengan contoh.

            Perkara yang paling menonjol yang dapat mengganggu keikhlasan ialah sifat riak. Contoh bagi darjat pertama iaitu syaitan memasukkan bahaya kepada orang yang mengerjakan solat. Bagaimanapun ia ikhlas pada solatnya. Kemudian datangnya suatu jemaah memandang kepada orang yang solat itu, lalu berkata syaitan kepada orang yang solat itu: “Baguskanlah solat engkau! Sehingga orang yang hadir ini melihat kepada engkau dengan mata kemuliaan. Ia tidak memandang hina kepada engkau dan ia tidak mengumpati engkau.” Maka, khusyuklah anggota-anggota badan orang yang solat tersebut, tenanglah sendi-sendinya dan baguslah solatnya. Ini adalah riak yang terang.

            Darjat kedua,  iaitu seseorang yang sudah memahami bahaya ini dan dia mengambil langkah untuk berhati-hati agar tidak terpedaya dengan godaan syaitan tersebut. Maka dapatlah dia mengerjakan solat daripada mengikuti kata-kata syaitan seperti pada contoh darjat pertama tadi. Maka datanglah syaitan kepadanya dan mengemukakan kebajikan. Syaitan itu berkata: “Engkau adalah orang yang diikuti. Orang menuruti engkau dan memandang kepada engkau. Dan apa yang engkau perbuat, membekas dari engkau. Dan engkau diikuti oleh orang lain. Maka adalah bagi engkau pahala amal perbuatan mereka, jika engkau berbuat baik. Dan atas engkau dosa, jika engkau berbuat dosa. Maka baguskanlah amal engkau dihadapannya. Mudah-mudahan ia mengikuti engkau pada kekhusyukan dan pembagusan ibadah.”
Ini lebih tersembunyi daripada yang pertama tadi. Kadang-kadang ramai yang tertipu dengan ini daripada tertipu dengan yang pertama tadi. Itu juga adalah riak yang dapat membatalkan keikhlasan.

            Darjat ketiga iaitu lebih halus dari yang sebelumnya, iaitu seorang hamba yang tahu mengenai perkara yang diatas dan berjaga-jaga daripada tipuan syaitan. Dan dia tahu bahawa perbezaan di antara tempat sepi (al-khilwah) dan di tempat awam. Dan dia tahu bahawa ikhlas dengan solat di tempat sepi itu sama seperti solat di tempat orang ramai. Dia malu kepada dirinya dan kepada Tuhan, bahawa jika ia berbuat khusyuk hanya semata kerana disaksikan oleh  makhluk. Maka dia menghadapkan dirinya di tempat yang sepi dan dia memperbetulkan solatnya di atas cara yang disenanginya di depan orang ramai. Dia mengerjakan solat pula di hadapan orang ramai dengan cara yang sedemikian. Maka ini juga termasuk riak yang tidak jelas kerana ia memperbetulkan solatnya di tempat sepi  supaya ia bagus di hadapan orang ramai.

            Darjat keempat iaitu lebih halus dan lebih tersembunyi, bahawa manusia memandang kepadanya dan dia berada di dalam solatnya. Maka lemahlah syaitan daripada mengatakan kepadanya: “Khusyuklah kerana mereka!” Bahawa syaitan itu sudah tahu, bahawa orang itu telah cerdik untuk perkara demikian. Maka syaitan mengatakan kepadanya: “Bertafakurlah tentang kebesaran Allah dan keagunganNya! Dan siapa engkau yang berdiri di hadapanNya. Dan malulah bahawa Allah memandang kepada hati engkau dan engkau lalai daripadaNya.” Maka khusyuklah hatinya dan anggota-anggota badannya. Ia menyangka bahawa yang demikian itulah ikhlas yang sebenarnya. Padahal itu adalah tipu daya syaitan.
           


Kesimpulan

Kesimpulannya adalah kita sebagai umat Islam perlulah meletakkan dasar keikhlasan di dalam setiap perkara yang kita lakukan sama ada di dalam perkara ibadah mahupun amalan seharian kita. Dasar keikhlasan tidak akan dapat kita capai melainkan dengan benar-benar bertaqarrub kepada Allah S.W.T. mengikut cara dan konsep yang telah digariskan.

Ikhlas itu terletak pada niat hati. Orang-orang yang tidak pernah memperhatikan niat yang ada di dalam hatinya, bersiaplah untuk membuang waktu, tenaga, dan harta dengan tidak punya erti. Keikhlasan seseorang benar-benar menjadi amat penting dan akan membuat hidup ini sangat mudah, indah, dan jauh lebih bermakna.

Berusahalah untuk mendapatkan martabat ikhlas. Walaupun tidak dapat mencapai seperti mana para sahabat mendapatkan martabat ikhlas tersebut, sekurang-kurangnya kita terus berusaha untuk mencapai martabat ikhlas dengan cara yang telah ditetapkan melalui al-Quran, as-Sunnah dan kata-kata dari para sahabat.

Sepertimana di dalam firman Allah S.W.T:

“..maka siapa yang mengharap akan menemui Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan pekerjaan yang baik dan janganlah mempersekutukan dalam menyembah Tuhannya (peribadatan) dengan siapa pun.”[12]

Ayat ini turun mengenai orang yang beramal kerana Allah dan ingin mendapatkan kepujian dari orang lain.
Firman Allah lagi,

“Kecuali orang-orang yang kembali (taubat), mengadakan perbaikan, berpegang erat kepada Allah dan tulus ikhlas kerana Allah semata-mata dalam agamanya..”[13]

Nabi S.A.W bersabda:

“Ikhlaskanlah amal itu, nescaya mencukupilah bagi engkau oleh sedikit daripadanya.”[14]

Jelaslah ayat Allah yang menyuruh kita sebagai hambaNya agar tidak mencari kepujian ataupun kemasyhuran di dalam melakukan amal ibadat sebaliknya hendaklah kita melakukan ia dengan penuh ikhlas dan hanyalah semata-mata keranaNya. Baginda S.A.W juga menyarankan kepada kita perkara yang sama agar kita sentiasa ikhlas dalam melakukan apa jua amal ibadah.

Namun, tidak dinafikan bahawa godaan syaitan itu sentiasa ada dan tidak ada seorang manusia pun yang akan terlepas daripadanya. Maka, hendaklah kita sentiasa bermunajat memohon pertolongan dan perlindungan daripada Allah sentiasa agar kita dilindungi daripada tipu daya syaitan yang licik dan agar segala amal ibadat yang kita lakukan bukanlah berunsur daripada segala perkara yang keji dan dengki kerana hasutan syaitan.

Moga-moga kita semua dilindungi Allah daripada terjerumus ke dalam lembah fitnah yang dicipta oleh syaitan. Semoga kita semua dapat mencapai taraf ikhlas yang sebenarnya agar segala amalan kita diterima oleh Allah kelak dan rugilah kita jika segala amalan yang kita lakukan hanya sia-sia jika kita tidak ikhlas dalam melakukannya.

-----

Rujukan
1.      Imadu al-Din Muhammad bin al-Husain, Kehidupan Hati, cetakan ke-I, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd, tahun 2005.
2.      Ibnu ‘Ataillah As-Sakandari, Syarah Al-Hikam Al-‘Ataiyyah, cetakan ke-I, Selangor, Berlian Publication Sdn Bhd, tahun 2008.
3.      Abdul Aziz Ismail, Jika Allah Mencintai Hambanya, Tahukah Kita Membalasnya, cetakan ke-I, Selangor, Pustaka Ilmuwan, tahun 2010.
4.      Mohd Sulaiman Haji Yasin, Mengenal Ilmu Tasawwuf, cetakan ke-I, Kuala Lumpur, Bahagian Hal Ehwal Islam, tahun 1984.
5.      Sayyid Sabiq, Islamuna, cetakan ke-I, Dar al-Kutub al-Islamiyah, Beirut, tahun 1982.
6.      Al-Imam an-Nawawi, Syarah Matan Al-Arba’in an-Nawawiyah, Indonesia, Haq Jakarta, tahun 2006.
7.      Al-Imam al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin, cetakan ke-VII, Singapura, Pustaka Nasional Pte Ltd, tahun 2013.




[1] Syarah Matan Al-Arba’in an-Nawawiyah, hlm 9.
[2] Sayid Sabiq: “Islamuna”, hlm 36.
[3] Surah An-Nahl, ayat 66.
[4] Mengenal Ilmu Tasawwuf, Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin.
[5] Kehidupan Hati, Imadu al-Din Muhammad bin al-Husain, hlm 294.
[6] Surah Al-Bayyinah, ayat 5.
[7] Surah Az-Zumar, ayat 3.
[8] Kehidupan Hati, Imadu al-Din Muhammad bin al-Husain, hlm 295.
[9] Kehidupan Hati, Imadu al-Din Muhammad bin al-Husain, hlm 296.
[10] Jika Allah Mencintai Hambanya, Tahukah Kita Membalasnya, hlm 40.
[11] Ihya’ Ulumuddin, hlm 657.
[12] Surah Al-Kahfi, ayat 110.
[13] Surah An-Nisa’, ayat 146.
[14] Dirawikan Abu Mansur Ad-Dailami dari Mu’adz, hadith putus sanadnya.