Followers

Tuesday, 1 March 2011

Hidup Mengenal Diri ~


Hidup ini tidak sentiasa ceria dan bahagia. Adakalanya duka dan hiba menyelubungi kita kerana pelbagai masalah dan musibah yang melanda. Hadapilah setiap permasalahan dengan fikiran yang positif dan berbaik sangka bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang sangat bernilai untuk kita. Pasti hati kita menjadi tenang dan terhindar dari salah sangka dan fitnah yang boleh memporak perandakan hidup kita.

Jadilah orang yang pemaaf dan mudah meminta maaf jika menyedari kita telah melakukan kesilapan. Sikap bermaaf-maafan menjadikan diri kita sentiasa tenang kerana ia menghapuskan perasaan dendam yang boleh mendatangkan akibat yang buruk jika tidak dapat dikawal. Bermaaf-maafanlah tanpa menunggu masa yang tertentu kerana sebagai manusia biasa sudah pasti kita tidak pernah terlepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan.

Lazimilah kehidupan seharian kita dengan bersilaturrahim. Sayangi dan hormatilahlah orang-orang yang berada di sekeliling kita tanpa mengira darjat dan pangkat. Bersilaturrahimlah dengan jiran tetangga, sahabat handai dan sebagainya. Jadikan diri kita seorang yang mudah didekati oleh orang lain. Perbaiki cara kita bersosial dan berkawanlah dengan ramai orang. Kawan yang baik yang boleh menceriakan hidup kita semasa kita dalam kebuntuan.

Luahkan apa yang mengganggu pemikiran kita dengan cara menulis dan berbincang dengan orang yang kita percayai. Dengan menulis umpamanya diari, cerpen, puisi dan artikel, kita dapat menyalurkan keresahan, kesedihan, kekecewaan dan segala perasaan yang memberikan tekanan kepada kita mengikut cara kita sendiri. Jika kita tidak mahu menulis, kita boleh bercerita kepada orang yang kita percayai bahawa beliau boleh mendengar dan menyimpan segala apa yang kita luahkan. Dengan kedua-dua cara ini sebenamya kita berkongsi perasaan dan secara tidak langsung akan dapat melapangkan pemikiran kita dan hati akan semakin tenang.

Belajarlah menghargai diri dengan cara kita sendiri. Terimalah diri kita seadanya. Apabila kita mencapai sesuatu kejayaaan, walaupun kecil, berikan ganjaran untuk diri sendiri. Umpamanya kita telah berjaya menyiapkan sesuatu tugasan, hadiahkan untuk diri kita sesuatu yang kita sukai seperti makan di restoran yang kita gemari dan sebagainya. Selain itu, sentiasalah memotivasikan diri dengan kata-kata yang boleh menguatkan semangat hidup. Contohnya katakan kepada diri sendiri, "Yakinlah saya boleh, saya pasti boleh!"

Bersikap 'Asertif iaitu berani untuk berkata tidak, jika kita merasakan tidak mampu untuk melakukan sesuatu apabila diminta untuk melakukannya. Jika kita menerima sesuatu tanggung-jawab yang kita pasti tidak dapat melakukannya, sebenarnya kita cuba menggalas beban yang hanya akan memberatkan fikiran dan diri kita sendiri. Bebaskan diri untuk berkata apa yang kita ingini kerana ia akan mengelakkan diri kita dari perasaan tertekan.

Makan makanan yang halal, baik dan berzat. Sentiasa peka dengan apa yang kita makan terutamanya makanan segera dan yang telah diproses. Pastikan kandungannya halal. Makanan yang halal dan berzat amat penting untuk ketenangan hati dan menjamin tubuh badan yang sihat.

Bersenam secara teratur, rehat secukupnya. Ingatlah, "Badan Sihat, Otak Cergas". Gunakan peluang hari minggu untuk bersenam. Tidurlah secukupnya kerana rehat yang paling baik ialah tidur yang cukup.

Itulah di antara cara-cara yang baik untuk mewujudkan ketenangan hati. Semoga kita dapat menempuhi kehidupan yang penuh cabaran ini dengan tabah dan sentiasa di bawah bimbingan serta rahmat dari Ilahi.

Hadapilah hidup ini dengan tenang dan senyuman.

No comments:

Post a Comment