Assalamualaikum.
Setelah sekian lama tidak mengupdate tulisan blog, malam ini jari jemariku tergerak untuk menulis semula. Membaca blog dari kawan-kawan membuatkan aku terasa untuk menulis juga, menulis semula. Setiap blog mereka mempunyai isi dan rasa yang dapat mereka lantunkan buat pembaca, kerana mereka menulis dari hati dan jiwa mereka, apa yang tersirat di dalam hati mereka, apa yang lisan tidak boleh wakilkan jadi mereka curahkan ia di blog sebagai wakil bicara mereka.
Ya,
Aku terkesan.
Aku tahu, menulis itu bukan kerana engkau perlu bergelar seorang penulis terlebih dahulu, engkau bisa sahaja menulis ikut apa yang engkau mahu, ikut apa yang hatimu mahu, ikut apa yang engkau mahu orang lain baca dan rasa apa yang engkau rasa.
Kini,
Aku menulis semula untuk melontarkan rasa apa yang terpendam dalam hatiku segala.
Rasa sunyi, jauh dari matlamat dan cita, terasa keseorangan ibarat tidak ada peranan.
Dan aku menulis, kenapa aku merasa sedemikian.
Aku merasa terumbang-ambing, entah, seolah aku melihat aku ini tidak punya apa-apa. Aku bukan aku yang dahulu. Aku bukan seperti apa yang aku mahu.
Kadang aku merasa segan untuk berjumpa kawan-kawan aku.
Hanya aku tahu siapa aku.
Aku berusaha untuk menghindarkan rasa ini, tapi aku tetap terbuai leka oleh dunia. Aku tetap terus tenggelam dihanyut mainan dan tipu dunia.
Haaa,
Hampir saja aku menyerah kalah. Tidak mahu membuat semua perkara, hanya aku ingin duduk diam sahaja.
Tapi, bila memikirkan perkara itu semula, aku silap. Ini bukan aku. Ini bukan apa yang aku mahu.
Aku ada tanggungjawab yang tak terlaksana. Aku pernah ada hasrat dan cita yang ingin digapai. Aku ada impian buat masa hadapan.
Terpinga-pinga aku mencari, di mana 'mereka' semua ?
Aduh, apakah 'mereka' melupakan aku atau aku yang melupakan 'mereka' ?
Ya, ternyata aku yang melupakan 'mereka'.
Aku berhasrat merantau jauh keluar dari tempat tinggal aku di Sabah adalah hanya untuk menimba ilmu pengetahuan semata. Menambah ilmu agama di dada, melihat suasana baru di luar serta kembali pulang bisa membawa manfaat buat keluarga, masyarakat dan negara.
Kini aku terlupa itu semua.
Selama 2 tahun setengah aku belajar di Kelantan, aku sedar yang aku masih tidak mempunyai perubahan sepertimana yang aku mahu.
Kembali aku merenung perjalanan hidup ini, apakah aku bisa meneruskan apa yang aku mahu ? Atau aku hanya perlu merubah dan merancang yang baru dan bermula semula ? Tinggalkan apa yang telah aku buat ini ?
Dan aku hanya kembali kepada titik pertembungan yang membuat aku runsing saja.
Dan inilah yang membuatkan aku merasa seakan-akan berada di awang-awangan. Seperti layang-layang putus talinya.
Aku sedar, aku terleka dibuai dunia.
Segala hasrat, cita dan impian aku masih menunggu setia.
Hanya aku yang tidak setia pada mereka,
Seringkali aku mendustai apa yang perlu untuk mencapai 'mereka'.
Aku terleka dibuai dunia,
Dosa semakin hari semakin bertambah,
Tidak berkurang aku rasa walau sudah aku berdoa lama,
Hati aku masih tidak tenteram dari dunia,
Dan aku semakin terleka dibuai dunia,
Aku menganggap dengan aku menetap dan belajar di negeri yang digelar Serambi Mekah,
Dengan ramainya ulama-ulama terkemuka,
Dengan banyaknya pondok-pondok agama,
Itu bisa membuat aku menjadi orang yang bijaksana,
Dan aku silap, itu semua bukanlah sebabnya.
Ia bermula dari diri sendiri semua.
Ya,
Ia bermula dari aku.
Aku yang terleka dibuai dunia.
Apakah kau masih mahu terus terleka dibuai dunia ?
'Wahai hati, kembalilah kembali. Kembali menghadap Tuhan yang suci, hadapkanlah hati kepada Dia yang Esa, memintalah kepadaNya agar disucikan hati. Wahai Tuhan yang Mendengar lagi Maha Mengetahui perkara yang ghaib, dengarlah akan raungan dan sesalan dari hati insan ini, semoga Engkau tunjukkan dia jalan yang benar, jalan yang dapat menyelamatkan dia dari kerosakan dunia. Wahai Tuhan yang Maha Besar, hanyalah kepada Engkau kami meminta dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Azree.
Followers
Thursday, 30 October 2014
Wednesday, 29 October 2014
PUISI : Cinta Ilahi
Kata-kata kembali pada cinta,
Yang setia mendengarkan nyanyian jiwa,
Demikian pula bunga-bunga,
Yang menemani renungan,
Biarkan berangkat menempuh keyakinan,
Fikiran-fikiran kita padatkan,
Hingga berbentuk dalam mata,
Menjadi sajak atau jejak rindu,
Mungkin lebih bermakna daripada batu,
Biarkan suara-suara jiwa terlahir,
Dari dalam hidup yang selalu mengalir,
Melangkahkan air mata yang fakir,
Sudah berapa lama keterasingan,
Dikembangkan menjadi perjalanan batin,
Menempuh tafsir hati yang paling sunyi,
Menuju hari-hari yang pasti,
Carilah cinta yang hakiki,
Itulah ia Cinta Ilahi.
Puisi oleh : Azree /19 Dis 2013/02.59 p.m
Monday, 27 October 2014
PUISI : Khayal Hingga Lupa Tuhan
BERKHAYAL HINGGA LUPA TUHAN
Engkau puja bunga di taman,
Engkau terpesona dengan keindahannya
Engkau tulis di dalam sajak-sajakmu,
Hingga engkau lupa akan Tuhan,
Bukankah bunga akan layu kemudian jatuh ke bumi,
dan ia tidak berguna lagi.
Engkau puja perempuan,
engkau ukir dengan kata-kata,
Hingga lalai dengan Tuhan,
Bukankah satu masa nanti dia akan tua,
atau adakalanya dia tidak setia,
yang akan mengecewakan hati dan jiwa,
maka tidak bergunalah engkau di matanya.
Engkau kagum dan puja awan,
yang berarak dan beralih melawan,
Engkau gambarkan dengan bahasa yang sopan,
Hingga lupa kewajipan kepada Tuhan,
Padahal awan boleh hilang,
dan tidak selamanya ia menawan.
Engkau berkhayal dengan gunung-ganang,
Engkau ungkap di dalam syair-syairmu,
Padahal kalau engkau dekat dengannya,
Ia adakalanya menakutkan,
menjemukan dan memayahkan.
Entah apa lagi yang engkau berkhayal,
dengan hal yang ada di dunia,
Hingga engkau berfoya-foya,
dan menghabiskan masa,
Lupa Tuhan, lupa agama,
lupa Hari Pembalasan.
Sedangkan semua itu akan binasa,
Padahal kalau mata hatimu hidup,
jiwamu celik,
lalu engkau puja Tuhan,
engkau besarkan Dia,
seterusnya engkau cintakan Dia,
dan engkau jadikan Dia sebagai sandaran,
Tuhan adalah kekal,
Ia adalah pembela,
Dia adalah sumber segala-galanya,
Inilah yang lebih menguntungkan engkau,
membawa rahmat untuk dunia dan akhirat,
Kerja engkau tidak akan sia-sia,
Untung engkau hingga ke SyurgaNya.
Puisi oleh Azree.
Wednesday, 26 February 2014
[Kerja Kursus Tasawuf & Akhlak] IKHLAS : Menurut Al-Quran & Hadis
Pendahuluan
Islam adalah agama yang benar di sisi Allah. Segala amal ibadat yang kita lakukan hendaklah sesuai seperti yang telah ditetapkan syarak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah agar segala amal ibadat kita diterima oleh Allah S.W.T..
Islam adalah agama yang benar di sisi Allah. Segala amal ibadat yang kita lakukan hendaklah sesuai seperti yang telah ditetapkan syarak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah agar segala amal ibadat kita diterima oleh Allah S.W.T..
Namun,
dalam setiap amal ibadat yang kita lakukan, pasti kita tidak akan terlepas
daripada segala penyakit hati yang dapat merosakkan segala amal ibadat kita
lantas amalan kita hanyalah sia-sia di sisi Allah S.W.T..
Penyakit
hati yang selalu bersarang di hati-hati manusia iaitu sifat riak. Sifat riak
adalah sifat yang kadang kita tidak perasan kita melakukannya. Sifat ini sering
kali merosakkan amal ibadat kita. Kita sangkakan kita sedang berbuat amal
ibadat kerana Allah, tapi hakikatnya kita sedang melakukan amal ibadat tersebut
kerana ingin mendapatkan pujian di mata manusia.
Justeru,
bukan hanya sifat riak yang dapat merosakkan amalan kita, sifat ‘ujub, takbur,
dengki dan lain-lain penyakit hati yang bersangkutan dengannya juga dapat
merosakkan segala amal baik kita.
Maka, cara
untuk kita mengelakkan daripada penyakit hati tersebut, kita hendaklah mencari
erti keikhlasan di dalam amal ibadat kita. Ikhlas adalah suatu sifat yang kita
lakukan hanyalah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah dan tidak mengharapkan
pandangan dan pujian dari manusia. Sifat ikhlas dapat menjaga segala amal
ibadat kita agar tidak terjerumus ke dalam tipu daya syaitan.
Namun, untuk
mencapai taraf ikhlas itu juga perlukan suatu usaha yang berterusan. Sifat
ikhlas ini perlulah dipupuk dengan mendekatkan hati kita semata-mata untuk
berdamping kepada Allah. Maka, tajuk yang saya ingin bentangkan juga adalah
berkaitan dengan ikhlas yang dimana diterangkan apa itu ikhlas, tanda-tanda
ikhlas dan lain-lain yang berkaitan.
Pengertian Ikhlas
Pokok atau unsur yang penting dari setiap niat ialah ikhlas. Adapun
makna ikhlas itu ialah suci dan murni, tidak bercampur dengan yang lain.
Menurut istilah Syariah Islam, yang dimaksudkan dengan makna ikhlas itu ialah
mengerjakan ibadah atau kebajikan kerana Allah semata-mata dan mengharapkan
keredhaanNya.[1]
Sayid Sabiq merumuskan definisi ikhlas itu sebagai berikut:
“Bahawa menyengaja manusia dengan perkataannya kerana Allah
semata-mata dan kerana mengharapkan keredhaanNya. Bukan kerana mengharapkan
harta, pujian, gelaran (sebutan), kemasyhuran dan kemajuan. Amalnya terangkat
dari kekurangan-kekurangan dan dari akhlak yang tercela, dan dengan demikian ia
menemukan kesukaan Allah.”[2]
Abu Ali Ad-Daqqaq rahi berkata: "Ikhlas ialah menjauhkan daripada pandangan makhluk. Orang yang ikhlas tidak mempunyai sifat riya.'
Di dalam AI-Quran, Tuhan mengibaratkan ikhlas itu laksana susu yang
bersih murni, yang enak rasanya apabila diminum, bahkan yang dapat menyihatkan
dan menyegarkan badan manusia.
Tuhan berfirman:
“Dan sesungguhnya tentang kehidupan binatang-ternak itu menjadi
pelajaran bagi kamu. Kami beri minum kamu dengan apa yang ada dalam perutnya;
di antara tahi dan darah (didapati) susu yang bersih-murni (ikhlas), mudah dan
sedap ditelan oleh orang-orang yang meminumnya.”[3]
Pada ayat tersebut Tuhan memberikan contoh tentang ikhlas itu
laksana susu murni binatang ternak. Sebelum menjadi susu murni, iaitu tatkala
masih berada dalam perut binatang, susu itu terdiri dari dua zat yang kotor dan
tidak memberikan faedah iaitu najis dan darah. Setelah melalui proses, maka
terjadilah susu yang bersih murni, tidak bercampur dengan kotoran dan zat-zat
lainnya. Tuhan mengibaratkan bahawa sesuatu amal yang ikhlas tidak ubahnya
laksana susu murni itu.
Sifat ikhlas itu ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau
kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah S.W.T dan diqasadkan (niat) untuk
menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riak, ‘ujub
atau inginkan pujian manusia.[4]
Sesetengah ulama berkata, ikhlas ialah bahawa engkau dengan Allah
sahaja mengetahui amalanmu.[5]
Abu Ali al-Diqaq berkata: Ikhlas itu ialah memelihara diri daripada perhatian makhluk, dan benar
itu ialah bersih daripada perhatian nafsu. Maka orang ikhlas itu tidak ada riak
baginya dan orang yang benar itu tidak ada ‘ujub baginya.
Di dalam al-Quran juga, Allah menyebut
mengenai sifat ikhlas itu bagaimana seperti di dalam firman Allah yang menyebut:
“Dan mereka tidaklah disuruh melainkan
supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dan mengikhlaskan agama
kepada-Nya.”[6]
Selain itu di dalam surah yang lain iaitu firman
Allah:
Sesetengah
ulama pula berkata: Yang khalis (bersih) daripada amal itu ialah yang
bersih daripada kecelakaannya. Yang dimaksudkan kecelakaannya itu adalah yang
membinasakannya, seperti riak dan ‘ujub, dan cercaan, dan menyakiti
orang dengan amal itu, dan tamak pada harta benda. Demikianlah menurut ahli
tahqiq.
Tempat Terbitnya Ikhlas[8]
Tempat terbitnya ikhlas itu ialah
keinginan dan ketakutan. Al-Harith al-Muhasibi berkata: Amal soleh itu ada
umbinya dalam hati, tertutup daripada makhluk. Apabila seseorang itu sejahtera
daripada campuran riak dan syirik khafi (syirik tersembunyi), dan bersih
amal, dan bersih ia daripada dakinya nescaya melakukannya membuahkan pahala.
Dan apabila dia nyatakan amalnya kepada makhluk, dia dimasuki oleh riak dan ‘ujub,
dan suka dipuji, dan batallah pahalanya.
Hal itu umpama kayu yang apabila
akarnya keluar, tidak dapat minum, layu dahannya, kering daunnya, dan putus
buahnya. Tetapi jika akarnya masuk ke dalam tanah, tidak dilihat oleh orang,
jadi banyak ia minum, meresap air dalam dahannya, jadi menghijau daunnya, masak
ranum buahnya.
Tanda Ikhlas[9]
Antara
tanda seseorang itu ikhlas adalah sebagaimana jika dia dipuji atau dicerca oleh
orang ramai, dan melupakan pandangan orang ramai terhadap amalnya, dan
meninggalkan dasar beramal kerana pahala di akhirat.
Sahal
ketika ditanya: Manakah amal yang amat berat pada nafsu? Beliau menjawab:
Ikhlas, kerana tidak ada habuan nafsu di dalamnya.
Sesetengah
ulama berkata: Alangkah banyaknya orang yang bercakap, tetapi alangkah sedikit
orang yang mengamalkannya. Dan alangkah banyaknya orang yang beramal, tetapi
alangkah sedikitnya orang yang ikhlas.
Ahli
Tahqiq berkata: Tanda ikhlas itu ialah suka berkhalwat untuk munajat kepada
Allah, dan sedikit berkenalan dengan makhluk dalam beramal kepada Allah.
Sesetengahnya pula berkata: Alamat ikhlas itu ada tiga perkara:
- Seseorang itu takut akan pujian orang supaya jangan sampai batal amalnya dan jadi sia-sia umurnya dalam amal yang buruk.
- Dia tidak takut akan cercaan manusia, kerana bagi orang yang takut akan cercaan manusia, dia meninggalkan banyak amal kebaikan dan meninggalkan berkata benar.
- Dia tidak suka mencari-cari alasan kerana orang yang mencari-cari alasan itu adalah tidak ikhlas.
Syeikh Ahmad Ibnu ‘Ataillah as-Sakandari berkata dalam kitab Syarah
Al-Hikam Al-‘Ataiyyah, “Amal perbuatan itu sebagai kerangka yang tegak,
sedang ruh (jiwa) nya adalah tempat terdapatnya rahsia ikhlas (ketulusan) dalam
amal perbuatan”.
- Tanda orang yang memiliki keikhlasan diantaranya:
- Hidupnya jarang sekali merasa kecewa.
- Tidak bergantung atau berharap pada makhluk.
- Tidak pernah membezakan antara amalan besar dan amalan kecil.
- Banyak amal kebaikan yang dirahsiakan.
- Tidak membezakan antara bendera, golongan, bangsa atau organisasi.
Nilai Keikhlasan.[10]
Keikhlasan dan
niat yang murni dan bersih dapat menghantar orang ke tingkat yang tinggi,
tingkat hamba-hamba Allah yang soleh dan tergolong ke dalam golongan “Abraar”.
Bersabda Rasulullah S.A.W. :
“Berbahagialah orang-orang yang ikhlas dalam amalnya, iaitu mereka
yang bila nampak tidak dikenal dan bila tiada, tidak dicari orang. Mereka
adalah pelita penunjuk yang menyapu bersih segala fitnah yang gelap.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi
dari Thauban)
Sifat tulus ikhlas
yang dimiliki seseorang akan memberinya keuntungan dunia dan akhirat. Dan jika
suatu kelompok masyarakat anggota-anggotanya terdiri atas orang-orang dan
peribadi-peribadi yang memiliki sifat tulus ikhlas, nescaya akan diliputi oleh
suasana kedamaian cinta, kasih sayang dan aman tenteram.
Dengan memiliki
sifat-sifat tulus ikhlaslah para sahabat Rasulullah berhasil membersihkan jiwa
dan hati mereka dari sifat-sifat riak, munafik dan kebiasaan berdusta dan
berhasil mencapai tujuan-tujuan mereka menegakkan kebenaran dan keadilan,
sehingga pada akhirnya dapatlah mereka menjadi khalifah Allah di atas muka
bumi, memimpin dunia dan umat manusia.
Unsur-unsur yang
kadang kala menghalangi seseorang untuk melakukan amal ibadah yang biasa ia
lakukan, sekali-kali tidak akan mengurangi pahala dan kedudukannya di sisi
Allah selama ia berlaku jujur dan ikhlas dalam niatnya.
Darjat Percampuran & Bahaya Pengkotoran Ikhlas[11]
Ketahuilah bahawa
bahaya yang terdapat didalam percampuran keikhlasan itu. Sebahagiannya jelas,
sebahagiannya tersembunyi, sebahagiannya lemah serta jelas dan sebahagiannya
kuat serta tersembunyi. Perbezaaan-perbezaan tersebut tidak dapat difahami
melainkan dengan contoh.
Perkara yang
paling menonjol yang dapat mengganggu keikhlasan ialah sifat riak. Contoh bagi
darjat pertama iaitu syaitan memasukkan bahaya kepada orang yang mengerjakan
solat. Bagaimanapun ia ikhlas pada solatnya. Kemudian datangnya suatu jemaah
memandang kepada orang yang solat itu, lalu berkata syaitan kepada orang yang
solat itu: “Baguskanlah solat engkau! Sehingga orang yang hadir ini melihat
kepada engkau dengan mata kemuliaan. Ia tidak memandang hina kepada engkau dan
ia tidak mengumpati engkau.” Maka, khusyuklah anggota-anggota badan orang yang
solat tersebut, tenanglah sendi-sendinya dan baguslah solatnya. Ini adalah riak
yang terang.
Darjat kedua, iaitu seseorang yang sudah memahami bahaya ini
dan dia mengambil langkah untuk berhati-hati agar tidak terpedaya dengan godaan
syaitan tersebut. Maka dapatlah dia mengerjakan solat daripada mengikuti
kata-kata syaitan seperti pada contoh darjat pertama tadi. Maka datanglah
syaitan kepadanya dan mengemukakan kebajikan. Syaitan itu berkata: “Engkau
adalah orang yang diikuti. Orang menuruti engkau dan memandang kepada engkau.
Dan apa yang engkau perbuat, membekas dari engkau. Dan engkau diikuti oleh
orang lain. Maka adalah bagi engkau pahala amal perbuatan mereka, jika engkau
berbuat baik. Dan atas engkau dosa, jika engkau berbuat dosa. Maka baguskanlah
amal engkau dihadapannya. Mudah-mudahan ia mengikuti engkau pada kekhusyukan
dan pembagusan ibadah.”
Ini lebih tersembunyi daripada yang pertama tadi. Kadang-kadang
ramai yang tertipu dengan ini daripada tertipu dengan yang pertama tadi. Itu
juga adalah riak yang dapat membatalkan keikhlasan.
Darjat ketiga
iaitu lebih halus dari yang sebelumnya, iaitu seorang hamba yang tahu mengenai
perkara yang diatas dan berjaga-jaga daripada tipuan syaitan. Dan dia tahu
bahawa perbezaan di antara tempat sepi (al-khilwah) dan di tempat awam. Dan dia
tahu bahawa ikhlas dengan solat di tempat sepi itu sama seperti solat di tempat
orang ramai. Dia malu kepada dirinya dan kepada Tuhan, bahawa jika ia berbuat
khusyuk hanya semata kerana disaksikan oleh makhluk. Maka dia menghadapkan dirinya di
tempat yang sepi dan dia memperbetulkan solatnya di atas cara yang disenanginya
di depan orang ramai. Dia mengerjakan solat pula di hadapan orang ramai dengan
cara yang sedemikian. Maka ini juga termasuk riak yang tidak jelas kerana ia
memperbetulkan solatnya di tempat sepi
supaya ia bagus di hadapan orang ramai.
Darjat keempat
iaitu lebih halus dan lebih tersembunyi, bahawa manusia memandang kepadanya dan
dia berada di dalam solatnya. Maka lemahlah syaitan daripada mengatakan
kepadanya: “Khusyuklah kerana mereka!” Bahawa syaitan itu sudah tahu, bahawa
orang itu telah cerdik untuk perkara demikian. Maka syaitan mengatakan
kepadanya: “Bertafakurlah tentang kebesaran Allah dan keagunganNya! Dan siapa
engkau yang berdiri di hadapanNya. Dan malulah bahawa Allah memandang kepada
hati engkau dan engkau lalai daripadaNya.” Maka khusyuklah hatinya dan anggota-anggota badannya. Ia menyangka
bahawa yang demikian itulah ikhlas yang sebenarnya. Padahal itu adalah tipu
daya syaitan.
Kesimpulan
Kesimpulannya adalah kita sebagai umat Islam perlulah meletakkan
dasar keikhlasan di dalam setiap perkara yang kita lakukan sama ada di dalam
perkara ibadah mahupun amalan seharian kita. Dasar keikhlasan tidak akan dapat
kita capai melainkan dengan benar-benar bertaqarrub kepada Allah S.W.T.
mengikut cara dan konsep yang telah digariskan.
Ikhlas itu terletak pada niat hati. Orang-orang yang tidak pernah
memperhatikan niat yang ada di dalam hatinya, bersiaplah untuk membuang waktu,
tenaga, dan harta dengan tidak punya erti. Keikhlasan seseorang benar-benar
menjadi amat penting dan akan membuat hidup ini sangat mudah, indah, dan jauh
lebih bermakna.
Berusahalah untuk mendapatkan martabat ikhlas. Walaupun tidak dapat
mencapai seperti mana para sahabat mendapatkan martabat ikhlas tersebut,
sekurang-kurangnya kita terus berusaha untuk mencapai martabat ikhlas dengan
cara yang telah ditetapkan melalui al-Quran, as-Sunnah dan kata-kata dari para
sahabat.
Sepertimana di dalam firman Allah S.W.T:
“..maka siapa yang mengharap akan menemui Tuhannya, maka hendaklah
dia mengerjakan pekerjaan yang baik dan janganlah mempersekutukan dalam
menyembah Tuhannya (peribadatan) dengan siapa pun.”[12]
Ayat ini turun mengenai orang yang beramal kerana Allah dan ingin
mendapatkan kepujian dari orang lain.
Firman Allah lagi,
“Kecuali orang-orang yang kembali (taubat), mengadakan perbaikan,
berpegang erat kepada Allah dan tulus ikhlas kerana Allah semata-mata dalam agamanya..”[13]
Nabi S.A.W bersabda:
“Ikhlaskanlah amal itu, nescaya mencukupilah bagi engkau oleh
sedikit daripadanya.”[14]
Jelaslah ayat Allah yang menyuruh kita sebagai hambaNya agar tidak
mencari kepujian ataupun kemasyhuran di dalam melakukan amal ibadat sebaliknya
hendaklah kita melakukan ia dengan penuh ikhlas dan hanyalah semata-mata keranaNya.
Baginda S.A.W juga menyarankan kepada kita perkara yang sama agar kita sentiasa
ikhlas dalam melakukan apa jua amal ibadah.
Namun, tidak dinafikan bahawa godaan syaitan itu sentiasa ada dan
tidak ada seorang manusia pun yang akan terlepas daripadanya. Maka, hendaklah
kita sentiasa bermunajat memohon pertolongan dan perlindungan daripada Allah
sentiasa agar kita dilindungi daripada tipu daya syaitan yang licik dan agar
segala amal ibadat yang kita lakukan bukanlah berunsur daripada segala perkara
yang keji dan dengki kerana hasutan syaitan.
Moga-moga kita semua dilindungi Allah daripada terjerumus ke dalam
lembah fitnah yang dicipta oleh syaitan. Semoga kita semua dapat mencapai taraf
ikhlas yang sebenarnya agar segala amalan kita diterima oleh Allah kelak dan
rugilah kita jika segala amalan yang kita lakukan hanya sia-sia jika kita tidak
ikhlas dalam melakukannya.
-----
Rujukan
1.
Imadu
al-Din Muhammad bin al-Husain, Kehidupan Hati, cetakan ke-I,
Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd, tahun 2005.
2.
Ibnu
‘Ataillah As-Sakandari, Syarah Al-Hikam Al-‘Ataiyyah, cetakan
ke-I, Selangor, Berlian Publication Sdn Bhd, tahun 2008.
3.
Abdul
Aziz Ismail, Jika Allah Mencintai Hambanya, Tahukah Kita Membalasnya,
cetakan ke-I, Selangor, Pustaka Ilmuwan, tahun 2010.
4.
Mohd
Sulaiman Haji Yasin, Mengenal Ilmu Tasawwuf, cetakan ke-I, Kuala
Lumpur, Bahagian Hal Ehwal Islam, tahun 1984.
5.
Sayyid
Sabiq, Islamuna, cetakan ke-I, Dar al-Kutub al-Islamiyah, Beirut,
tahun 1982.
6.
Al-Imam
an-Nawawi, Syarah Matan Al-Arba’in an-Nawawiyah, Indonesia, Haq
Jakarta, tahun 2006.
7.
Al-Imam
al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin, cetakan ke-VII, Singapura,
Pustaka Nasional Pte Ltd, tahun 2013.
[1] Syarah
Matan Al-Arba’in an-Nawawiyah, hlm 9.
[2] Sayid
Sabiq: “Islamuna”, hlm 36.
[3] Surah An-Nahl, ayat 66.
[4] Mengenal
Ilmu Tasawwuf, Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin.
[5] Kehidupan Hati, Imadu al-Din
Muhammad bin al-Husain, hlm 294.
[6] Surah Al-Bayyinah, ayat 5.
[7] Surah Az-Zumar, ayat 3.
[8] Kehidupan
Hati, Imadu al-Din Muhammad bin al-Husain, hlm 295.
[9] Kehidupan
Hati, Imadu al-Din Muhammad bin al-Husain, hlm 296.
[10] Jika Allah Mencintai Hambanya,
Tahukah Kita Membalasnya, hlm 40.
[11] Ihya’ Ulumuddin, hlm 657.
[12] Surah Al-Kahfi, ayat 110.
[13] Surah An-Nisa’, ayat 146.
[14] Dirawikan Abu Mansur Ad-Dailami dari
Mu’adz, hadith putus sanadnya.
Tuesday, 4 February 2014
Hasrat.
Semalam, ibu menghubungiku. Perhubungan merentasi sempadan membuatkan aku semakin sayang, untuk merindu pada keluarga.Perbualan panjang mengenai keadaan keluargaku, keadaan ayah dan ibu, keadaan semasa kampung halaman menjadi tajuk perbualan aku dan ibu.
Setelah berbual mengenai keadaan di sana, aku memulakan bicara ingin melontar hasrat yang ada. Aku memberitahu pada ibu bahawa pada cuti semester kali ini aku mungkin tidak akan pulang ke Sabah. Selalu beriya-iya perasaanku apabila ada cuti semester walaupun cuti hanya satu bulan sahaja yang penting aku dapat pulang sabah berjumpa keluarga dan teman-teman. Tapi kali ini, cuti selama 2 bulan seperti tidak berbisa untuk melonjak perasaan aku untuk pulang.
Aku menyatakan hasrat aku kepada ibu kenapa aku tidak akan pulang kali ini kerana aku ingin menyumbang bakti untuk mengajar anak orang asli di Pusat Latihan Islamic Outreach Abim, Kok Lanas, Kelantan. Aku menunggu jawapan dari ibu. Terdiam seketika perbualan, lalu ibu berkata, "yelah, tidak mengapalah, yang penting adik tahu jaga diri, ikutlah apa yang adik rasa patut, selagi perkara tu baik, teruskan saja timba pengalaman sebanyaknya.."
Hati aku berasa senang, dalam masa yang sama, hati aku merasa seperti hasrat aku seakan menyembunyikan hasrat seorang ibu yang ingin berjumpa dengan anaknya, tapi aku merelakan kerana demi kepentingan buat keluarga juga khususnya sementelah hasrat pertama aku adalah ingin menyumbang tenaga seiring dengan citaku ingin menjadi seorang guru atau mendidik dengan kasih dan ilmu.
Setelah mendapat persetujuan dari ibu, hasratku semakin jelas untuk aku kecapi. Ingin benar aku tempuhi pengalaman mencabar ini. Mengajar bukanlah suatu perkara yang mudah apatah lagi mengajar kanak-kanak orang asli yang terpinggir dari dunia semasa sama ada dari sudut sosial, ekonomi dan pendidikan. Lagi mencabar, selama 60 hari itu aku berusaha untuk menyumbang bakti. Namun, panggilan untuk kembali ke sabah itu juga adalah suatu perkara yang aku perlu pertimbangkan. Kerana aku juga punya tugas dan matlamat di sana.
Terkesan dengan sosok tubuh Aaron Swartz iaitu seorang pejuang aktivis internet yang berusaha untuk membebaskan ilmu agar semua golongan dapat menerima ilmu tersebut dan bukan untuk orang-orang tertentu sahaja. Beliau tidak mementingkan kekayaan material seperti yang diraih Mark Zuckerberg, beliau hanya berhasrat agar dunia ini lebih bebas, terbuka dan progresif dengan pemurnian ilmu.
Swartz mempunyai sifat inkuiri yang tinggi, kreativiti dan kepintaran yang beliau ada mencerahkan dunia secara tidak langsung. Sifat empati, kecintaan terhadap masyarakat serta keengganan beliau untuk menerima ketidakadilan adalah komitmen beliau terhadap keadilan sosial.
Aku terpanggil, jika Aaron Swartz pada zaman usia mudanya sudah mempunyai kesedaran sedemikian, maka aku juga perlukan kesedaran tersebut.
"Ilmu itu mencerahkan."
Hasrat aku juga adalah hasil suntikan daripada sebuah buku bertajuk 'Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang' tulisan karya Zul Fikri Zamir.
Buku ini menyentuh isu pendidikan yang lemah dianuti oleh masyarakat juga bagaimana langkah sebagai seorang mahasiswa itu bergerak dan bertindak untuk mengambil bahagian di dalam perkara ini. Mudah, curahkan ilmu yang ada. Ilmu itu bukan setakat formal seperti di sekolah-sekolah, ilmu informal itu juga adalah suatu ilmu yang perlu ada pada setiap insan.
Seandainya Zul Fikri Zamir mencadangkan agar memulakan dengan mengajar anak-anak yatim dan pelajar yang berada di kelas tercorot untuk memulakan langkah, aku bertindak untuk mengajar anak orang asli sebagai permulaan. Bagi aku, tidak ada perbezaan darjat antara manusia, yang membezakan adalah iman dan taqwa. Bagi aku, tidak ada seorang pun di dunia ini yang patut gagal dalam hidup, seandainya mereka diberi peluang, mereka akan kembali mencorak jalan.
Ya, peluang.
Itulah metodnya.
Beri peluang kepada masyarakat untuk bersama nikmati keindahan hidup ini.
Semoga hasrat aku ini dipermudahkan.
----------
Azree,
Hasrat,
050214,
0207.
Subscribe to:
Posts (Atom)






