Saya telah memilih tajuk di bawah beriman kepada Allah dan memilih ayat yang menyentuh beriman kepada Allah iaitu ayat 1 dalam Surah Al-Falaq. Selain itu juga, saya telah mencari tafsiran-tafsiran ulama’ muktabar dalam kitab-kitab yang telah ditetapkan pensyarah seperti Kitab Fi Zilalil Quran, Kitab Ibn Kathir, Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman dan Kitab Al-Azhar.
Justeru, di bawah ini adalah penerangan hasil kajian saya mengenai ayat 1 Surah Al-Falaq yang saya jumpai di dalam kitab tafsir yang telah saya terangkan tadi.
Surah Al-Falaq, ayat 1
Katakanlah (wahai Muhammad) aku pohon perlindungan pada Tuhan seluruh makhluk.
Demikian adalah tafsiran mengenai ayat ini di dalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman,
Surah ini mengajar kita memohon perlindungan kepada Allah SWT, dari bahaya yang datangnya dari segala jenis makhluk dan terutama dari bahaya :
Pertama – yang datangnya dari kejadian gelap: gelap malam yang menjadi peluang kepada sebahagian besar dari makhluk-makhluk jahat yang keluar dari tempat masing-masing melakukan kejahatannya.
Kedua – yang datangnya dari makhluk-makhluk yang berjiwa kotor, yang berusaha membuat fitnah, melonggarkan simpulan iktiqad, menghuraikan ikatan muhibbah, meruntuhkan rumah tangga, memecah belahkan perpaduan kaum kerabat dan merosakkan masyarakat. Mereka akan menjadi bahan bakaran api neraka kalau mereka tidak bertaubat dengan taubat nasuha’.
Ketiga – yang datangnya dari manusia yang jiwanya mempunyai hasad dengki dan menjalankan tipu daya dan angkaranya untuk menghapuskan sesuatu nikmat Tuhan dari seseorang yang beroleh nikmat itu kerana tidak senang melihat orang lain mendapat nikmat Tuhan dan selagi nikmat itu tidak hilang daripada orang yang mendapatnya.
Di dalam Tafsir Ibn Kathir pula menafsirkan ayat ini dengan ringkas sahaja iaitu seperti ayat di bawah,
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Jabir, dia mengatakan : “Al-Falaq bererti waktu Subuh” Iaitu demikian itu seperti firman-Nya yang lain : “Dia menyingsirkan pagi.”
Demikian pula di dalam Tafsir Fi Zilalil Quran menafsirkan ayat ini seperti berikut,
Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas merupakan satu arahan dari Allah mula-mula kepada Nabi s.a.w dan kemudian kepada para mukminin supaya memohon perlindungan dan naungan kepada Allah dari segala kejadian yang menakutkan sama ada sulit atau yang terang sama ada yang tidak diketahui atau yang diketahui. Oleh sebab itulah kedua-dua surah ini dimulai dengan arahan agar memohon perlindungan hanya kepada Allah SWT.
Mengenai kisah turunnya surah ini terdapat beberapa athar yang semuanya sesuai dengan bayangan yang kami telah nyatakan tadi. Dari keterangan athar-athar itu jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w telah memperlihatkan kegembiraannya yang mendalam terhadap turunnya surah ini. Dari ‘Aqabah Ibn ‘Amir r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda “Tidakkah engkau mengetahui ayat-ayat yang telah diturunkan pada malam ini, iaitu ayat-ayat yang tidak didapati seumpamanya iaitu: Qul a’uzubirabbil falaq dan Qul a’uzzubirabbin nas”
Dari Zarr Ibn Hubaysh katanya: Aku bertanya Ubay ibn Ka'b r.a. tentang Mu'auwizatayn (Qul a'uzubirabbil falaq dan Qul a'uzubirabbin nas) kataku: "Wahai Abu Munzir, saudaramu Abu Mas'ud telah berkata begini, begini, (mula-mula Ibn Mas'ud tidak mencatatkan kedua-dua surah ini dalam mashafnya, kemudian ia kembali mengikut fikiran jemaah sahabat lalu mencatatkan kedua-dua surah ini dalam mashaf). Lalu dia menjawab: "Aku telah bertanya Rasulullah s.a.w dan jawab beliau: “Aku diperintah berkata "Qul", lalu aku pun berkata. Dan kami pun berkata seperti Rasulullah s.a.w berkata."
(Dikeluarkan oleh an-Nasa'i)
Semua riwayat ini melahirkan bayangan-bayangan kasih mesra. Di dalam surah ini, Allah SWT menyebut diri-Nya dengan sifat-Nya yang boleh menjadi benteng yang melindungkan dari kejahatan-kejahatan yang disebut di dalam surah ini.
Di antara pengertian “ الفلق ” ialah “waktu pagi” dan “seluruh makhluk”. Pengertian ini ditujukan kepada segala kejadian yang dilahirkan ke alam al-wujud dan alam al-hayat sebagaimana diterangkan di dalam Surah Al-An’am;
Ayat 95 :
Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutuNya)?
Juga firman selanjutnya:
Ayat 96 :
Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.
Sama ada dipakai dengan pengertian “Aku pohon perlindungan pada Tuhan yang menjadikan waktu pagi yang memberi keamanan dengan cahaya siang dari segala kejahatan yang sulit dan tersembunyi” atau dipakai dengan pengertian “Aku pohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara seluruh makhluk yang memberi keamanan dari segala kejahatan makhluk”. Maka kedua-dua pengertian itu adalah sesuai dengan ayat yang kemudian.
Demikian pula tafsiran mengenai ayat ini di dalam Tafsir Al-Azhar,
Tuhan Allah adalah tempat kita berlindung. Nabi s.a.w. dan kita semuanya diperintahkan Tuhan agar berlindung dengan Allah. Setengah daripada kekuasaan Allah itu ialah bahawa Dia menciptakan dan membuat suasana cuaca Subuh. Dalam ayat ini aI-Falaq yang tertulis di hujung ayat kita artikan cuaca Subuh, iaitu ketika perpisahan di antara gelap malam dengan mulai terbit fajar hari akan siang. Dengan hikmah tertinggi Tuhan mewahyukan kepada Rasul-Nya akan kepentingan saat pergantian hari dari malam kepada siang itu. Waktu itu adalah hari yang baru, yang tengah kita hadapi. Dari permulaan Subuh itu Allah memberi kita waktu sebagai modal hidup sehari semalam 24 jam lamanya. Kita disuruh melindungkan diri, memohon perlindungan dan pernaungan kepada Tuhan yang menguasai cuaca Subuh itu. Berlindung kepada Tuhan agar terlepas dari segala bahaya yang ada di hadapan kita yang kita sendiri tidak tahu.
AI-Falaq ada juga diartikan dengan peralihan. Peralihan dari malam ke siang, peralihan dari tanah yang telah sangat kering kerana kemarau, lalu turun hujan, maka hiduplah kembali tumbuh-tumbuhan. Peralihan dari biji kering terlempar ke atas tanah, lalu timbul uratnya dan dia memulai hidup. Maka berselindunglah kita kepada Tuhan, dalam sebutan-Nya sebagai Rabb, yang berarti mengatur, mendidik dan memelihara supaya berkenanlah kiranya Tuhan melindungi kita dari kemungkinan-kemungkinan bahaya yang terkandung pada pergantian siang dan malam atau peralihan musim.
____________________________________________________________________
Rujukan :
1. Al-Quran
2. Kitab Fi Zilalil Quran
3. Kitab Ibn Kathir
4. Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
5. Kitab Al-Azhar
No comments:
Post a Comment