Followers

Friday 7 August 2015

KONVO, KIAS & Aku



Assalamualaikum.

Lama tak update blog, hampir berbulan lamanya tak timbul tulisan baharu di ruangan blog ni. Hmmm kebiasaan aku akan menulis jika aku nak sampaikan sesuatu atau khabarkan berita gembira, sedih, pengalaman, berkaitan hidup, pahit manis dan lain-lainnya. Tulisan tentang tu ada, cuma seperti biasa aku hanya tulis sekerat jalan dan tinggalkan ia menjadi sebagai draf sahaja. Kesalahan dan tabiat aku bila nak menulis macam ni la. Huhuks.

Kali ni aku nak sampaikan tentang hari Konvokesyen aku, KIAS dan kisah aku (sedikit saja, tak banyak).

Aku dah tamat pengajian secara rasminya dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Nilampuri, Kelantan, singkatannya KIAS. Hampir dalam 3 tahun aku berada di KIAS di dalam bidang Diploma Pengajian Islam dan selama tu jugalah aku banyak merasa banyak perkara, tak kira dalam aspek pelajaran, survive tuk hidup, aktiviti mahasiswa, politik, kemasyarakatan dan lain-lain perkara.

Aku nak bagitau bahawa aku bukanlah pelajar yang cemerlang, tapi cukuplah membuktikan dengan tamatnya pengajian aku di KIAS bahawa aku boleh menghabiskan pelajaran aku dengan baik walaupun aku ada mengulang satu semester lagi. Itu yang menjadikan aku mengambil bidang ni selama 3 tahun yang di mana sepatutnya kos pengajian ini hanyalah 2 tahun setengah saja. Well takpa, tu menunjukkan yang aku ni tak perfect mana pun.




Aku nak mengimbau semula kenapa aku pilih bidang ni sedangkan ada tawaran lain aku pernah dapat seperti UiTM & Politeknik ataupun aku berada saja di Pra-U yang dimana pengajiannya singkat dan mudah masuk ijazah selepas tu. Hmm. Bila fikir semula, aku ambil bidang ni kerana aku nak, aku minat, aku nak belajar lebih mendalam mengenai agama Islam. Tu hajat aku.

Aku pernah berkeras tak nak masuk Pra-U, disebabkan suasana sekolah dan persekitaran cara belajar yang sama. Tu aku tak nak. Aku nak suasana belajar yang berbeza. Aku dapat tawaran Politeknik dalam bidang Kejuruteraan Komputer, tapi aku kurang pasti nak ambil walaupun ia juga sebahagian daripada minat aku. So aku kiv dan letak tepi tawaran tu. Aku juga dapat tawaran UiTM dalam bidang Perakaunan, tapi aku tahu yang aku tak pasti boleh angkat sebab aku tak mendalami akaun semasa SPM. Lalu aku tinggalkan 2 tawaran ni. Aku nak juga ke KIAS disebabkan ada pengajian Diploma baru yang terbuka kepada pelajar lepasan SPM. So, aku berkeras nak masuk.

Ringkasnya, setelah aku dapat masuk KIAS, dapat belajar ilmu agama yang aku tak pernah dengar atau lihat atau sembang dengan kawan-kawan, aku makin suka. Tapi tu pun pada semester 1. Semangat belajar aku sungguh-sungguh. Sebab aku suka. Bila naik ke semester seterusnya, aku tak kata semangat belajar aku luntur, tapi pengaruh aktiviti mahasiswa mula perlahan-lahan memasuki dan menular dalam benak ku dan mempengaruhi aku. Teruja dengan title ‘Mahasiswa’, lihat aktiviti mahasiswa yang pelbagai, sejarah mahasiswa dll lagi, aku mula sedikit slow dalam pelajaran.

Berikutan perkara yang aku ikuti di luar bidang pelajaran aku, aku lihat HPNG aku tak konsisten. Aku perasan kerana aku terlalu libatkan diri dengan aktiviti kelab mahasiswa di kampus dan di luar kampus. Aku kurang cermat dalam menyeimbangkan antara aktiviti dakwah dan pelajaran. Banyak dugaan dan cabaran aku dapat. Sama ada ia bermula dari diri aku dan persekitaran aku. Kadang aku mudah terpengaruh dengan perkara yang bukan berkaitan pelajaran dan leka dengan aktiviti sana sini yang aku ikut bersama rakan-rakanku. Tapi aku tak rasa ia suatu perkara yang sia-sia, sekurang-kurangnya aku dapat timba pengalaman yang pelbagai dan aku anggap ia sebagai suatu kenangan bersama rakan-rakan kampus.

Sometimes aku tertekan, rasa give up, tak tahu nak buat apa. Tertekan dengan pelajaran yang aku tak dapat nak catch up, tertekan dengan karenah dan emosi manusia yang perlu kau layan di sekeliling, dll. Sometimes aku motivate diri sendiri, aku lihat semula niat aku belajar tuk apa, aku sanggup datang jauh dari Sabah tuk apa, kadang aku bangun dengan semangat yang baru jikalau ditambah motivate dari rakan-rakan terdekat. So aku teruskan saja.

Banyak benda aku belajar selama hidup di alam kampus ni lagi-lagi hidup jauh dari family. Aku kena berdikari. Aku harus tahu bagaimana nak survive di dalam pelajaran dan perjalanan hidup aku ni. Aku dah lalui bagaimana rasanya kawan yang kau percayai khianat kau, aku dah rasai bagaimana hidup susah seorang takda teman semasa di kampus, aku dah rasa bila kawan yang kau harapkan tinggalkan kau selama 1 semester, tak bertegur langsung, aku dah rasa bagaimana susahnya bila takda kewangan langsung, duit makan takda, aku pernah rasa susah dan give up dalam pelajaran, tak yakin dengan kebolehan diri sendiri dan lain-lain kesusahan aku dah rasa. Pada masa ni aku hanya berharap pada Tuhan saja sebab aku langsung tak tahu nak mengadu pada siapa.

Tapi di sebalik susahnya tu, banyak juga perkara manis yang aku pernah rasa. Seperti aku nak sangat berjumpa Allahyarham Tok Guru Nik Aziz di medan ilmu pada setiap hari jumaat. Pernah selepas ceramah Tok Guru, ada ceramah dari rakan Palestin nak minta sumbangan, kena buka tabung, berpusu-pusu orang ramai menderma. Aku lihat saja. Aku lihat ada kanak kecil pergi menderma duit syiling saja, ada orang tua menderma juga, ada oku pun menderma walau kecil duit mereka. Aku terdetik nak derma walaupun sedikit, aku hulurkan rm1. Lalu aku pergi dari situ. Dalam perjalanan nak balik, aku terjumpa rm100, subhanallah, aku rasa happy. Time tu baru la aku percaya frasa ‘orang yang menderma semakin kaya’.

Selain tu aku pernah kosong kewangan. Langsung takda duit makan. Aku tak minta parents aku. Aku sungguh-sungguh doa pada Tuhan. Selepas aku minta pada Tuhan, aku tawakal. Ada dua situasi pada hari yang berbeza. Situasi pertama yang dimana selepas aku dah isi borang zakat kat HEP dan aku berharap aku terpilih. Tak semua pelajar dapat, yang terpilih saja. So aku harap aku dapat. Akhirnya keesokan harinya aku kena call mengatakan yang aku tersenarai penerima zakat. Aku syukur benar time tu. Hanya terima kasih pada Allah.

Situasi kedua, pernah aku makan seorang kat kedai, ada makcik tu bersama familynya duk makan sekali. Dia asyik tengok aku, bila aku nak pi cuci tangan, makcik tu pun follow. Selepas aku selesai dan makcik tu pun selesai cuci tangan, dia hulurkan rm150 duit zakat fitrah katanya kat aku. Aku tak tahu nak kata apa. Aku terima saja dan kata terima kasih kat dia. Subhanallah. Masa ni aku tahu Allah nak ajar aku agar berharap padaNya, nanti Dia bantulah tu, yang penting solat dan tawakal. Terima kasih ya Allah.

Selain tu, perkara manis yang aku dapat ialah dimana aku turut serta dalam aktiviti kemasyarakatan. Edar risalah, jadi fasilitator, ajar kanak-kanak solat, bantu mangsa banjir, masuk ke perkampungan orang asli, dll lagi. Aku suka kepada aktiviti kemasyarakatan. Aku nak saja sumbangkan apa yang aku ada kat sesiapa yang boleh. Aku juga rasa beruntung berjumpa kawan-kawan yang cara berfikir mereka lain dan pelik. Mereka punya bidang masing-masing dalam politik, psikologi, kepimpinan dll. Mereka tak nak jadi pak turut kolej, mereka suka kritik bila perlu, ubah jika salah. Aku ikut mereka sedikit sebanyak perangai aku macam mereka. Tapi aku suka. Dan banyak lagi perkara manis yang aku rasa dan aku tak dapat nak tuliskan semuanya di sini.

Pengalaman manis dan pahit selama 3 tahun di Kelantan dan selama aku belajar tidak cukup untuk diceritakan semuanya di sini , cukup beberapa sahaja yang aku rasa aku hargai pengalaman tersebut dan aku ingat.

Kini aku dah tamat belajar. Apakah aku dah capai apa yang aku nak? Apakah aku benar mendalami ilmu Islam? Apa yang aku dapat? Apa maksudnya tamat belajar? Aku gembira ke dengan sijil tamat belajar ni? Apa aku boleh dapat dengan sijil ni? Sambung belajar lagi ke selepas ni? Kemana? Dimana? Persoalan-persoalan ni aku masih tercari-cari jawapannya. Ada beberapa persoalan tu dah ada jawapannya namun ia masih samar akibat persoalan lain yang masih tak jelas.

Persoalan hidup ni kena jawab dengan cara hidup, capaian dan usaha. Tak boleh nak jawab melalui lisan saja. So aku biarkan beberapa persoalan tu sangkut tanpa jawapan. Mungkin itulah caranya nak jawab persoalan ni kot.

Konvokesyen KIAS Kali ke-17, aku salah seorang daripada yang tersenarai berjaya untuk mengakhiri pengajian di KIAS dan bersedia untuk melangkah ke peringkat yang seterusnya pula. Berkata Prof Aziz, selaku Ketua Eksekutif (K.E) KIAS semasa ucapannya, “kalian semua sudah bersedia untuk bertebaran di muka bumi, kalian semua graduan yang disediakan dengan ilmu wahyu dari al-quran dan hadis, bergantung kepada kalian sama ada memanfaatkan ia atau tidak. Kalian harus tahu bahawa kalian semua adalah graduan pengajian Islam, yang bakal menjadi doktor ummah buat masyarat, maka curahkanlah ilmu dan bakti pada masyarakat kelak nanti..”
Aku mengangguk. Aku faham. Itulah yang sepatutnya di lakukan oleh para graduan iaitu menabur bakti semula kepada masyarakat lagi-lagi para graduan pengajian Islam. Para graduan perlu bercampur sosial dengan masyarakat, ubati jiwa yang sakit, beri panduan pada yang salah, tunjukkan jalan pada yang buta.

Selepas konvo, perkara biasa, soalan, “nak sambung mana lepas ni?”, “nak sambung belajar ke nak kerja terus?”, “ke nak kahwin lepas ni?”, dan lain-lain lagi soalan yang diajukan yang aku hanya jawab “entah” atau “tak tahulah”.

Tapi bila ditanya, “kau happy ke dengan konvo ni?”, aku diam, aku fikir semula. Aku gembira ke? Hmmm, tak. Aku tak happy, aku hanya anggap ia majlis biasa saja. Meraihkan tamatnya belajar para pelajar, si anak-anak, ambil sijil dan bergambar buat kenangan, ini aku lihat biasa, aku tak rasa apa. Tapi aku datang sebab aku nak raihkan saja. Cukuplah aku dapat sijil tamat belajar ni menunjukkan yang aku juga boleh menghabiskan pengajian dengan baik. Ilmu dan pengalaman yang aku dapat sepanjang belajar, itulah yang buat aku happy. Konvo ni umpama kau dah tak boleh ambil ilmu kat situ lagi dan tak boleh nak bina pengalaman kat tempat yang sama lagi. (Melainkan kalau kau sambung ijazah di tempat yang sama la) Kau kena bergerak ke tempat lain. Itulah makna konvo pada aku.

Perjalanan masih panjang. Pelajaran dan ilmu itu penting, survive diri pun penting, so aku kena bijak lepas ni sebab aku perlu tanggung diri sendiri. Aku ada family yang aku pernah bergantung pada mereka, kini aku perlu balas jasa mereka. Dengan cara apa, aku bekerja, hidup biasa, berharap pada Tuhan, pelajaran jangan tinggal, tetap cool bergaya. ;) Just live your life!

Jumpa lagi kawan-kawanku.

Aku nak juga tanya, “apa makna konvo pada kau? Kau rasa happy tak?”

*Belanja gambar :P













Monday 29 December 2014

Misi Bantuan Mangsa Banjir Bersama NGO ROYALTI Kelantan

Hari ini bergerak bersama aktivis Royalti Kelantan bagi mengagihkan barang keperluan kepada mangsa banjir.

Lokasi dipilih adalah lokasi sekitar Kuala Krai yang tempatnya terjejas teruk akibat banjir. Dengan berbekalkan 3 buah kenderaan hilux dan sebuah lori, kami para aktivis menuju ke destinasi dalam jam 12 tengah hari begitu.



Dalam perjalanan, ada juga berbelas kenderaan yang juga turut sama menuju ke destinasi yang kami tuju dengan membawa bekalan bantuan masing-masing, kelihatan lambang yang tertera adalah daripada NGO Mercy, Jabatan Penerangan Negeri Kelantan dan ahli PAS Pusat.

Perjalanan kami bukan mudah, hujan yang turun adalah cabaran pertama yang terpaksa dilalui kerana rata-ratanya para aktivis berada di belakang kenderaan menjaga bekalan.

Permandangan kami dihiasi dengan melihat kerosakan-kerosakan yang teruk di sepanjang jalan, kereta semua rosak, kedai-kedai tak berfungsi, rumah-rumah ada yang roboh dirempuh air banjir, tiang elektrik yang patah dan mungkin lambat untuk dibaiki, jalan yang rosak, sungai yang terhakis teruk, sekolah dijadikan sebagai tempat pemindahan,








raut wajah insan-insan yang ditimpa musibah sungguh menyedihkan apabila melihat kenderaan-kenderaan yang membawa bekalan bantuan seolah-olah berharap mereka mendapat bekalan bantuan, namun perjalanan kami masih panjang, rasa kasihan dan simpati kepada mereka, tapi kami hanya menjalankan tugas dan amanah yang diberi agar menghantar bekalan makanan ke tempat yang sepatutnya,

perkara lain yang menyedihkan apabila saat kami mengagihkan barang-barang bantuan kepada sekitar tempat Kuala Krai, mereka mengerumuni kenderaan kami lalu meminta bekalan yang ada, kerana bekalan juga terpaksa diagihkan ke tempat lain, kami terpaksa menyimpan sebahagian bekalan, dan mereka yang masih tidak dapat bekalan di tempat tersebut terpaksa kami hentikan agihan,

rayuan mereka terpaksa dihiraukan, dalam hati terasa sedih melihat situasi tersebut, tidak sanggup, tapi begitulah yang terpaksa dilakukan agar bekalan dapat diagihkan adil kepada tempat yang telah ditetapkan, hampir semua tempat yang kami singgah begitulah situasinya, hanya dapat menahan rasa simpati sahaja,

dalam perjalanan, hujan turun berkala menambahkan sedikit kesukaran kepada aktiviti yang dilakukan, para aktivis terpaksa mengharungi hujan disambil menjalankan tugas, sejuk yang teramat dapat dirasai, pucat lesu anggota badan beberapa aktivis,

selepas isyak begitu, aktiviti dihentikan, semua para aktivitis pun pulang, dalam keadaan kesejukan dan pucat yang terpaksa dirasai, mungkin begitulah rasanya mereka yang ditimpa musibah banjir ini, rumah yang dihanyutkan air, rosak segala peralatan rumah, tidak ada tempat berteduh,

jika meletakkan diri sebentar dan cuba merasai sekejap apa yang dirasai oleh mangsa banjir, mungkin sedikit rasa syukur itu timbul, kerana masih dikurnia kudrat dan keadaan yang baik-baik saja,

insyaAllah esok para aktivis R akan meneruskan aktiviti lagi, lokasi mungkin di tempat yang sama atau sebaliknya, bergantung kepada keputusan,

walaupun air banjir dah banyak yang surut, namun masalah yang lain pula akan menyusul, kerosakan rumah, elektrik, ubat-ubatan, bekalan makanan juga masih diperlukan dengan segera,

Info untuk bantuan boleh layari link tersebut :

https://www.facebook.com/NGO.Royalti/photos/a.539363902775046.1073741826.412096725501765/894133280631438/?type=1&theater

---

Berilah bantuan sekadar semampu anda,

barulah merasa nikmat suatu perkara setelah Allah tarik nikmat tersebut yang sebelumnya tak pernah pun terfikir untuk kita mensyukurinya.

Moga banjir di Kelantan semakin baik.

Doakan.

---

Azree,
Aktivis,
291214,
2343.

Wednesday 17 December 2014

ISC G 8.0

Assalamualaikum.

   Kali ini ingin aku berkongsi apa yang aku dapat daripada program ISC G 8.0 yang baru-baru ini diadakan di Permai D’Valley, Ratau, Kg.Tebobon, Menggatal, Sabah.

   ISC iaitu akronim kepada Islamic Summer Camp juga antara program tahunan bagi Persatuan Siswazah Sabah atau dikenali sebagai PSS.



   Lihat saja dari namanya, dapat diketahui ISC kali ini sudah pun berada pada generasi yang ke-8. Sudah lapan kali program ini diadakan bagi mencapai matlamat dan objektif program yang telah digariskan.

   Begitulah programnya ISC, peserta dan ajk dikumpulkan dari setiap cawangan kawasan PSS seluruh Sabah. Ada mereka yang datang dari Semporna, Beluran, Kota Belud, Kota Marudu, Weston, Beaufort dan lain-lain lagi cawangan yang rata-ratanya bukanlah jarak antara setiap cawangan ini dekat, malahan ada yang jauh jaraknya berbatu-batu, mengambil masa antara 8-9 jam perjalanan untuk berkumpul dalam program ISC ini.

   Lebih mengkagumkan, mereka-mereka yang datang ke program ISC tidak ditaja pun untuk pengangkutan masing-masing. Semua menggunakan wang saku sendiri. Ada yang pemurah sanggup untuk menyumbangkan wang dan kenderaan bagi memudahkan mereka yang lain, mana yang tidak punya wang juga tidak ketinggalan untuk menyumbangkan tenaga, daya usaha, buah fikiran, kenderaan dan bermacam cara yang ada semata-mata untuk mengambil bahagian di dalam program ini bagi menjayakan matlamat program ISC khususnya.

   Kali ini aku telah terpilih sebagai fasilitator dalam program ini. Namun, aku datang lewat pada waktu program. T.O.T yang sepatutnya dibuat pada 9 pagi pada 12 Disember juga tidakaku hadiri. Bukan aku saja-saja, tapi akibat kesihatan yang tidak mengizinkan, dengan kondisi ayah yang dimasukkan ke wad bagi menjalani pembedahan kepalanya juga berada pada tarikh yang sama, maka aku mengambil keputusan untuk hadir lewat ke tapak program. Tapi yang penting aku datang ke program bagi meraihkan dan memberi ilmu yang sedikit ada pada aku ini.


PESERTA

   Mengikut pengetahuan aku, para peserta yang hadir adalah mereka yang terpilih daripada cawangan masing-masing. Mereka adalah peserta yang memang sudah berjinak dan aktif mengikuti program-program anjuran PSS. Bahkan ada dari mereka ini yang sudah berpengalaman dalam memegang jawatan-jawatan penting dalam program, mereka sudah tahu menjalankan dan melancarkan suatu program, membina hubungan, mencari dana, berjumpa masyarakat, mereka hampir memenuhi kriteria-kriteria yang diperlukan sebagai seorang peserta ISC.

   Dengan melihat para peserta di bawah jagaan aku, cara mereka, kepimpinan mereka, gaya bahasa dan budi serta akhlak yang mereka tunjukkan sudah membuktikan bahawa para peserta yang hadir kali ini sememangnya layak terpilih untuk menghadiri program ISC kali ini. Aku menganggap mereka adalah orang yang hebat, orang yang perlu dibimbing dengan baik, mungkin dengan menyentuh sahaja bahu mereka dan berikan reaksi wajah yang baik, mungkin mereka sudah dapat memahami apa kehendak para fasilitator kepada mereka. Begitulah tanggapan aku kepada para peserta ISC yang hadir. Mereka peserta yang bukan biasa-biasa.

   Kali ini aku memegang satu kumpulan muslimin ditemani seorang fasi daripada PSS Semporna bagi membantu antara satu sama lain bagi menjayakan matlamat ISC yang ada. Memandangkan kali ini kesihatan aku tidak begitu mengizinkan untuk aku bergerak dan berkata dengan bebas, maka aku hanya menyerahkan sepenuh tugas untuk mengendalikan ahli kumpulan kepada rakan fasi aku iaitu Awang Radzi dari PSS Semporna. Namun dalam masa yang sama aku juga masih berusaha untuk berada bersama ahli kumpulan mengikut kemampuan aku.

   Dzul, Zul, Dany, Irfan, Shukri, Izam, Mojahidin, & Fikri. Kumpulan 4 dengan nama kumpulan Abu Bakar, merekalah kumpulan muslimin kali ini yang berada di bawah jagaan aku dan Awang Radzi. Dalam sesi ta’ruf sahaja, kebolehan mereka masing-masing sudah terserlah. Tidak perlu diterangkan begitu banyak kepada mereka apa itu Usrah, sebab mereka juga semua pernah mengikuti usrah. Rukun usrah sudah mereka hadam dengan baik. Perbincangan dalam LDK juga begitu mudah bagi kami fasilitator laksanakan kerana tidak perlu begitu banyak kami perkongsikan kerana kebolehan mereka masing-masing mengolah, memberi pendapat, mengulas isu, membicarakan tajuk yang diberi, mereka dapat olah dengan baik.

   Begitulah, dengan satu kumpulan kecil muslimin ini sahaja kebolehan para peserta dapat dilihat, apatah lagi dengan peserta kumpulan yang lain, tentu mereka juga sama hebatnya, ramailah mereka ini yang masih muda jiwanya dan suka niatnya kepada dakwah islamiah, ramailah pemuda hebat yang dapat dikader yang mungkin jika diasah dengan baik lagi maka istiqamah mereka kepada perjuangan menegakkan kebenaran yang dibawa Islam itu mungkin lebih baik. InsyaAllah.

   Jika terus diasah bakat dan diasuh jiwa mereka-mereka ini, sudah tentu mereka juga bisa menggantikan para fasilitator yang ada, mungkin lebih baik. Begitulah apa yang dapat aku lihat kepada para peserta ini. Semoga adik-adik semua terus istiqamah dan bisa menjadi muslim yang cemerlang dunia dan akhirat. Aamiin.


ORANG-ORANG HEBAT

   Suatu perkara yang mengkagumkan aku kali ini adalah aku dapat bertemu dengan ahli-ahli PSS seluruh kawasan yang ada. Bertemu mereka dan mengenali mereka yang membuatkan aku kagum. Ada yang memang aku sudah kagumi sebahagian mereka dengan hanya melihat aktiviti mereka dari alam maya, ada yang aku pernah kenali mereka semasa berada di negara jiran dan bila bertemu itulah yang membuatkan aku rasa senang saja.

   Mereka insan-insan biasa, tapi jiwa dan semangat mereka itu yang luar biasa. Bakat dan usaha mereka, semuanya aku kagumi. Sama ada mereka ini ahli fasilitator mahupun ahli ajk program, hampir separuh daripada mereka aku pernah bekerjasama di dalam program yang lain dan pernah aku kenali sifat dan cara kepimpinan mereka.

   Memegang jawatan yang hebat-hebat itu mungkin perkara biasa bagi mereka semua yang aku kenal, tapi itulah yang membuatkan mereka hebat. Perkara yang aku suka lagi, mereka semua boleh bekerjasama dengan baik walau berbeza cara dan kaedah, berbincang dengan baik, masih boleh tersenyum, tidak berwajah ketat setiap masa, riang-riang, tapi bila melakukan suatu pekerjaan mereka buat dengan sungguh-sungguh.

   Berjumpa dan bersama insan-insan hebat hanya membuatkan aku berdiam saja. Begitulah sifat aku. Aku berdiam bila aku marah, juga aku berdiam bila bersama orang yang lebih baik dari aku. Aku lebih senang memerhatikan setiap langkah dan gerak geri mereka, tingkah laku mereka, akhlak dan adab mereka, aku contohi setiap yang baik dari mereka. Begitulah cara pembelajaran dan pengajaran yang aku ambil jika bersama orang yang lebih baik dari aku.

   Aku tidak memuji berlebihan, tapi inilah yang aku rasa dan ingin luahkan. Berada di dalam organisasi yang matlamatnya Islam, sudah tentu orang-orang yang bersamanya adalah orang-orang yang hebat. Duduk bersama mereka sahaja sudah terasa kehebatan itu, maka terdoronglah juga diri untuk terus melakukan kebaikan. Semoga diri ini dan kita semua terus berada dalam satu jemaah.


SUATU KERUGIAN

   Suatu kerugian buat aku kali ini dalam program ISC kerana kesihatan yang tidak begitu baik membuatkan pergerakan dan lisanku terbatas. Terbatas untuk lebih berkenalan dengan para peserta dan para ahli ajk dan fasi dari setiap kawasan.

   Suatu kerugian juga buat aku bilamana aku tidak dapat berkongsi banyak kepada para peserta ahli kumpulan di bawah jagaan aku. Banyak benda nak kongsi, tapi tak terdaya nak bicara. Mungkin inilah kafarrah dosa yang aku dapat. Mungkin niat aku kurang baik. Sebab itu Allah beri aku sakit agar aku ingat semula kepada Dia agar sentiasalah merendah diri dan beringat batas diri berada di mana.

   Yang penting aku tetap bersyukur dapat menghadiri program ISC kali ini. Banyak benda aku belajar walau penglibatan aku bersama rakan-rakan ajk dan fasi tidak begitu banyak.


KELEBIHAN

   Apa kelebihan yang boleh diambil dalam program-program macam ni? Pernah tak dengar kata-kata dari kawan-kawan, guru-guru ke, ibu ayah ke yang kata macam ni,

“kau ikut program-program macam ni apa kau dapat? Dapat duit tak?”

“baik kau tumpu pelajaran daripada kau join program-program macam ni.”

“mak tengok kau ni asyik keluar pagi dan malam je, kau betul ke ni join program atau kau pergi tempat lain?”

“kalau program ni kalau boleh bawa duit takpa juga”

Dan pelbagai lain perkataan-perkataan atau sindiran yang kita dengar hanya kerana kita join program-program semacam ni. Takpa, mari kita clearify perkara ni.

Sebenarnya program macam ni banyak kelebihan yang boleh kita ambil dan manfaatkan.

SELAMAT

   Aku akui aku kurang memberikan kerjasama yang banyak dalam program kali ini. Aku turut serta dalam program kali ini pun kerana kebetulan aku sedang mengambil cuti belajar selama 2 minggu di Sabah. Maka aku ambil kesempatan ini bagi menyumbang tenaga dan kudrat yang ada bagi membantu gerakan kebaikan dan mencegah kemungkaran khususnya membantu para remaja kini agar menjadi insan yang baik dan berguna buat masyarakat dan keluarga.

   Aku tidak mengatakan yang para ajk dan fasi seterusnya mereka yang menganjurkan program ini adalah insan-insan yang maksum dan sempurna dari setiap sudut, tidak. aku dan kami semua juga ingin menjadi baik dan terus berusaha menjadi insan yang baik dengan cara mengajak orang lain membuat kebaikan dan tinggalkan keburukan yang boleh merosakkan amalan seharian.

   Ucapan selamat dari aku buat para peserta, ajk dan fasi yang aku kenali mahupun yang tidak aku kenali. Selamat menjalankan tugas dengan baik walau di mana saja kita berada, selamat menjadi insan yang terus melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran walau di mana saja kita di letakkan, selamat berusaha dan semoga selamat dalam menjalani kehidupan seharian kita semua.

   Selamat bertemu kembali wahai rakan-rakan yang aku sanjungi. Di atas jalan agama ini menyatukan jiwa dan raga kita. Semoga kita semua tetap bersaudara.

Selamat bertemu dan selamat berpisah semua. :)




Sunday 2 November 2014

Kenapa Masih Tetap Sama ?

Assalamualaikum.


Hari ini terasa pula untuk menulis mengenai sebab atau kenapa diri kita ini yang selalu mengikuti program-program Islamik, banyak mengikuti forum-forum, ceramah, seminar agama, kuliah, pernah menjadi naqib atau naqibah, murabbi, murabbiah, dan sebagainya.

Kita pernah lalui itu semua, tapi kenapa diri masih terasa sama ?
Masih terasa diri tidak mempuyai perubahan yang banyak walaupun segala perkara di atas kita sudah mengetahui.

Mungkin bagi mereka yang tidak merasai perkara ini, mungkin kerana anda masih berada di awal permulaan jalan dakwah ini, ataupun anda masih mempunyai semangat yang kental dan azam yang tekad untuk berada di jalan dakwah ini, ataupun anda mempunyai rahsia-rahsia tersendiri untuk mengekalkan momentum anda untuk terus berada dalam jalan dakwah walau pelbagai rintangan yang melanda.

Bagi mereka ini, saya ucapkan tahniah dan semoga teruskan dan kekalkan cara anda sedemikian. Semoga tetap thabat dalam jalan dakwah dan terus memberi manfaat kepada manusia sejagat.

Bagi mereka yang sudah merasa lelah dalam jalan dakwah, terasa 'kering' tarbiyah, terasa sudah tidak bermaya, bosan untuk meneruskan perjuangan, jangan berputus asa terlebih dahulu. Mari lihat apakah simptom yang menyebabkan kita menjadi seperti sedemikian.

Mungkin beberapa simptom yang saya senaraikan ini menyebabkan kita terasa sudah tidak bermaya lagi untuk meneruskan perjuangan di dalam jalan dakwah ini, ataupun diri masih tetap sama, tidak membawa perubahan pada diri.


1. Niat

Niat adalah perkara sinonim dalam hidup kita sebelum memulakan sesuatu perkara dalam kehidupan. Di mana-mana sahaja kita hendak pergi, hendak melakukan, hendak itu hendak ini, kita pasti akan berniat di dalam hati. Perkara yang kita niatkan itu sudah tentulah itu yang kita akan dapat. Pagi ini kita berniat hendak makan nasi ayam, makanya kita bangun pagi dan pergi ke restoran yang berdekatan dan kita pun meminta nasi ayam kerana itu yang kita niatkan ingin makan pada awal pagi ini.

Tapi tidak selalunya perkara yang kita niatkan akan kita dapat. Contoh kita ingin menderma hari ini di masjid sebanyak RM 5. Sampai sahaja di masjid, tetiba kita melihat wang yang ada di dalam saku hanya mempunyai RM 4 dan teruslah kita mendermakan duit RM 4 itu kepada masjid kerana duit tidak mencukupi. Walaupun niat kita ingin menderma sebanyak RM 5 tapi bukan selalu perkara yang kita niatkan kita akan dapat.

Begitulah dalam jalan dakwah ini, apa yang kita niatkan sebenarnya ?

Semasa baru mula kenal dakwah dan mula menjejakkan kaki di dalam jalan dakwah, apa yang kita niatkan ?

Apakah kita ingin merasa terkenal dengan berdakwah ?
Apakah ingin orang memuji kita kerana keilmuan agama kita ?
Apakah kita ingin mendapat gelaran dan pujian ?
Apakah itu yang kita niatkan ?

Jika itulah yang kita niatkan mahupun niat lain yang berkaitan di atas iaitu bukan niat selain berdakwah di jalan agama atau ingin mendapat keredhaan Allah semata-mata, maka ubahlah niat anda sekarang.

Ya,
Sekarang.

Tidak ada masa untuk menangguhkan niat yang salah. Risau belum sempat kita mengubah niat kita, nyawa kita sudah diambil Allah ataupun segala amalan baik kita sebelum ini tidak diterima Allah.

Rugi dan sia-sia segalanya jika niat tidak bersih.

Niat salah, maka amalan pun tidak diterima. Kerana kita berniat atas makhluk bukan kerana Al-Khaliq.

Akibat niat yang salah inilah diri kita akan cepat merasa bosan kepada jalan dakwah.

Walaupun banyak program Islamik yang telah kita ikuti, banyak bagi usrah dan sebagainya, lama-kelamaan diri merasa bosan dengan semuanya.

Ini kerana niat yang tidak ikhlas dan selalu ingin mendapat pujaan dan dambaan dari manusia. Jika manusia sudah tidak memandang kehebatan dan kemuliaan diri kita, mulalah kita pun merasa lemah dan dengan perlahan-lahan cuba untuk tidak melibatkan diri dalam jalan dakwah.

Adakah anda pernah merasa begini ?

Jika ya, silahlah ubah niat anda sekarang iaitu berdakwah di jalan Allah ataupun menimba ilmu hanyalah kerana Allah semata-mata bukan kerana manusia.


2. Rasa Hebat

Perasaan ini pasti akan hadir bagi mereka yang selalu aktif berpersatuan, kendalikan program, usrah, mukhayyam, ceramah, seminar, forum dan sebagainya. 'Hebat' apabila berada di hadapan khalayak ramai. Nama selalu dijulang kerana selalu menjadi orang yang aktif dan tidak pernah tidak hadir dalam mana-mana aktiviti.

Ya,
Perasaan ini pasti akan hadir.
Dan, apakah salahnya jika perasaan ini hadir ?

Tidak ada salahnya bagi saya,
Perasaan tetap perasaan, kita berhak merasa sedemikian, tapi merasa diri sudah hebat adalah senjata terbaik bagi syaitan mencucuk jarumnya untuk menimbulkan rasa riak dan takbur dalam diri.

Risau apabila syaitan sudah menang mencucuk jarum 'manisnya' kepada kita, maka timbullah sifat takbur dan riak dalam diri kita. Semoga kita dijauhkan dari sikap sedemikian.

Menurut firman Allah SWT dalam surah al-'A'raaf, ayat 40 :


Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.

Begitulah amaran keras daripada Allah untuk menegur kita supaya tidak merasa hebat dan takbur kepada diri sendiri. Yang merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Semoga kita tidak termasuk dalam kalangan mereka yang takbur.

Kita kena ingat, walaupun kita sudah banyak mengendalikan program atau usrah, itu bukanlah menunjukkan diri kita ini sudah sempurna atau lebih hebat dari orang lain. Itu adalah salah satu pencapaian perubahan dalam hidup kita.

Bersyukurlah kerana diberi peluang sedemikian, dapat merubah hidup memberi sumbangan di jalan dakwah dengan banyak mengendalikan program ataupun mengikuti program-program Islamik dan sebagainya.

Gunakanlah kemampuan yang ada ataupun bakat yang terserlah di dalam jalan dakwah dengan baik. Gunakanlah ia dengan memberi sumbangan yang bermanfaat kepada masyarakat, keluarga dan negara.

Bukan dengan kita merasa kita hebat, kita sudah ikut itu ikut ini, orang lain yang baru mengenal dakwah kita perlekehkan, pandangan orang lain yang berbeza dari kita terus dicantas tanpa perlu ada sesi soal jawab, menginginkan jawatan yang tinggi sahaja di dalam organisasi kerana merasa diri tidak layak memegang jawatan yang remeh seperti AJK Masakan atau AJK Jemputan di dalam program atau organisasi.

Inilah akibatnya apabila kita merasa kita adalah 'orang hebat'.

Akhirnya, apabila kita diletakkan di dalam ajk yang tidak kita senangi, tidak diterima pandangan kita, tidak didengar nasihat kita, tidak dilihat usaha kita, maka bermulalah pemberontakan secara senyap dalam diri, mulalah futur dalam jalan dakwah.

Kita mula merasa lemah, tidak bermaya, tidak banyak perubahan dalam diri kita. Diri tetiba menjadi malas dan mula memberi alasan dalam jalan dakwah.

Dan, elakkan merasa 'hebat' berlebihan. Jangankan perasaan tersebut memakan diri sendiri. Elakkan perasaan merasa diri hebat menenggalamkan niat yang suci dalam diri.

Berdakwahlah kerana Allah.

Jangan meminta selain itu.


3. Kurang Disiplin Diri

Kurang disiplin diri dalam dakwah dan study dapat menjejaskan prestasi diri kita. Kesilapan pendakwah sekarang, mereka terlalu mementingkan dakwah berlebihan dan ditinggalkan pelajaran kemudian. Mereka menganggap turun ke medan lapangan untuk berdakwah adalah segala-galanya.

Ini adalah kesilapan bagi para pendakwah masa kini. Jangan terlalu gopoh untuk mencurahkan segala apa yang kita baru pelajari.

Persoalannya,
Dan apa yang kita nak curahkan kepada masyarakat sekiranya kita tak study ?
Ilmu apa yang kita nak beri jika pelajaran pun lintang pukang ?
Bagaimana kita nak disiplin diri dalam dakwah sedangkan disiplin dalam study pun tak terjaga ?

Begitulah,
Dakwah dan study bukanlah dua perkara yang berbeza. Jangan bezakan dua perkara ini, jangan tinggalkan antara satu dari dua perkara ini.

Jika dakwah seimbang, maka study juga perlu seimbang.

Jangan terlalu gopoh, Pelajaran di dalam kelas adalah pelajaran yang perlu kita sampaikan kepada masyarakat di luar sana. Maknanya pelajaran di dalam kelas juga adalah salah satu dakwah yang perlu kita tunaikan. Tingkatkan ilmu di dalam kelas di dalam masa yang sama jangan lupa memberi apa yang kita sudah pelajari. Sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit, Biar perlahan yang penting niat benar dan ikhlas.

Akibat kurang disiplin diri ini juga dapat menjejaskan prestasi kita.

Disiplin dalam dakwah harus juga kita penuhi.
Dalam usrah kita menyuruh adik-adik usrah agar membaca al-Quran satu lembar satu hari, tapi kita sendiri pun tidak membaca al-Quran, Sepatutnya sebagai seorang naqib/bah kita perlu membaca lebih dari satu lembar ataupun membaca satu juzuk al-Quran sehari.

Bagaimana kita hendak mendisiplinkan diri jika diri sendiri tidak melaksanakan perkara yang kita katakan ?

Lupakah kita pada firman Allah SWT, dalam surah as-Saff, ayat 2-3 :


Maksudnya : "Wahai orang-orang beriman mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan."

Kita hebat berbicara di hadapan khalayak ramai, dakwah itu dakwah ini, program sana sini kita ikuti, 2 hari, 3 hari hatta seminggu pun kita masih bersemangat dan sanggup untuk berprogram. Tapi bila pulang program, diri tetiba menjadi malas, berjumpa dengan assignment terasa berat dan beban untuk membuatnya, tidak aktif dalam mengulangkaji, lambat datang kelas, kadang merasa berat untuk pergi kuliah dan sebagainya.

Bagaimana untuk kita memberi qudwah yang baik kepada masyarakat ? Adik-adik usrah ? Kawan-kawan ? Keluarga ? Guru-guru ?

Jika study pun tidak berapa memuaskan, tapi sibuk dengan program-program Islamik.

Risaukan kita hanya membawa sebahagian daripada fitnah kepada agama Islam.

Masyarakat sekarang tidak melihat bagaimana kita hebat dalam berdakwah dan sebagainya, mereka melihat prestasi study kita terlebih dahulu, Jika pelajaran kita baik, maka mereka akan mempercayai setiap kata-kata kita.

Pentingnya di sini, dakwah dan study kena seimbang. Tingkatkan prestasi disiplin diri mengenai dua perkara ini. InsyaAllah diri kita akan lebih terbimbing dan layaklah kita menjadi qudwah hasanah kepada orang lain dengan cara kita memperbaiki terlebih dahulu diri kita.

---

Kita sangka kita sudah tahu apa itu tarbiyah, kita rasa kita sudah mengetahui segalanya.
Kita sangka dengan banyaknya program Islamik yang kita ikuti mahupun program yang pernah kita kendalikan sendiri, kita sangka kita sudah sempurna dan hebat.

Sedangkan itu hanyalah pencapaian buat memperbaiki diri kita seadanya, menjadi manusia yang lebih berguna serta mengeluarkan kebolehan dan kelebihan yang ada pada diri kita untuk disumbangkan kembali kepada manusia lain.

Rasanya, tiga simptom di atas terlebih dahulu yang ingin saya jelaskan.

Yang lain mungkin akan saya tulis kemudian.

Tiga simptom di atas adalah perkara yang saya pernah saya rasa sendiri. Dan tiga perkara ini pun sudah cukup untuk menjatuhkan semangat juang yang hadir dalam diri kita sebagai pendakwah. Jika kita lalai dan terus tenggelam oleh 3 simptom di atas, boleh jadi kita akan tenggelam dalam dunia sendiri, yang aku panggil 'SS' iaitu 'syok sendiri'. Asyik mencari populariti dalam dakwah, dan bila ditinggalkan manusia, mulalah mundur dan tak bermaya.

Elakkan diri daripada termasuk dalam sifat-sifat orang munafik, iaitu salah satu ciri daripadanya ialah merasa malas untuk beribadah bila berseorangan, merasa semangat beribadah bila berada di khalayak ramai. Semoga kita tidak tergolong dalam ciri-ciri ini.

---

Dan, itu sahajalah yang ingin saya kongsikan bersama. Moga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita semua, terutamanya kepada diri saya sendiri.

Orang yang menulis serupa seperti orang yang bercakap, kerana mereka mengajak kepada kebaikan. Maka saya juga tidak terlepas daripada amaran Allah dalam surah as-saff ayat 2-3 di atas.

Semoga dengan perkongsian ini saya dan anda semua yang membaca mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

Jika tidak dapat semua, cukup sedikit tapi berkesan dan menyentuh di hati itu sudah memadai.

Itu menandakan bahawa hati kita masih hidup dan masih mempunyai api iman di dalam hati.

Tidaklah saya menulis jika bukan kerana ingin mendapat redha Allah semata-mata.

Allah juga berpesan di dalam surah adz-Zariyat, ayat 55.


Dan dengan sebab itu saya menulis kerana ingin menunaikan rasa tanggungjawab ini serta berkongsi perasaan dan rasa kepada semua kawan-kawan sepanjang pengalaman saya di dalam medan dakwah hingga kini.

InsyaAllah selepas ini saya akan terus menulis mengenai kisah-kisah yang boleh saya kongsikan buat rakan-rakan semua.

Pesanan terakhir,



Azree.