Followers

Tuesday 4 February 2014

Hasrat.

Semalam, ibu menghubungiku. Perhubungan merentasi sempadan membuatkan aku semakin sayang, untuk merindu pada keluarga.Perbualan panjang mengenai keadaan keluargaku, keadaan ayah dan ibu, keadaan semasa kampung halaman menjadi tajuk perbualan aku dan ibu. 

Setelah berbual mengenai keadaan di sana, aku memulakan bicara ingin melontar hasrat yang ada. Aku memberitahu pada ibu bahawa pada cuti semester kali ini aku mungkin tidak akan pulang ke Sabah. Selalu beriya-iya perasaanku apabila ada cuti semester walaupun cuti hanya satu bulan sahaja yang penting aku dapat pulang sabah berjumpa keluarga dan teman-teman. Tapi kali ini, cuti selama 2 bulan seperti tidak berbisa untuk melonjak perasaan aku untuk pulang.

Aku menyatakan hasrat aku kepada ibu kenapa aku tidak akan pulang kali ini kerana aku ingin menyumbang bakti untuk mengajar anak orang asli di Pusat Latihan Islamic Outreach Abim, Kok Lanas, Kelantan. Aku menunggu jawapan dari ibu. Terdiam seketika perbualan, lalu ibu berkata, "yelah, tidak mengapalah, yang penting adik tahu jaga diri, ikutlah apa yang adik rasa patut, selagi perkara tu baik, teruskan saja timba pengalaman sebanyaknya.."

Hati aku berasa senang, dalam masa yang sama, hati aku merasa seperti hasrat aku seakan menyembunyikan hasrat seorang ibu yang ingin berjumpa dengan anaknya, tapi aku merelakan kerana demi kepentingan buat keluarga juga khususnya sementelah hasrat pertama aku adalah ingin menyumbang tenaga seiring dengan citaku ingin menjadi seorang guru atau mendidik dengan kasih dan ilmu.

Setelah mendapat persetujuan dari ibu, hasratku semakin jelas untuk aku kecapi. Ingin benar aku tempuhi pengalaman mencabar ini. Mengajar bukanlah suatu perkara yang mudah apatah lagi mengajar kanak-kanak orang asli yang terpinggir dari dunia semasa sama ada dari sudut sosial, ekonomi dan pendidikan. Lagi mencabar, selama 60 hari itu aku berusaha untuk menyumbang bakti. Namun, panggilan untuk kembali ke sabah itu juga adalah suatu perkara yang aku perlu pertimbangkan. Kerana aku juga punya tugas dan matlamat di sana. 

Terkesan dengan sosok tubuh Aaron Swartz iaitu seorang pejuang aktivis internet yang berusaha untuk membebaskan ilmu agar semua golongan dapat menerima ilmu tersebut dan bukan untuk orang-orang tertentu sahaja. Beliau tidak mementingkan kekayaan material seperti yang diraih Mark Zuckerberg, beliau hanya berhasrat agar dunia ini lebih bebas, terbuka dan progresif dengan pemurnian ilmu. 

Swartz mempunyai sifat inkuiri yang tinggi, kreativiti dan kepintaran yang beliau ada mencerahkan dunia secara tidak langsung. Sifat empati, kecintaan terhadap masyarakat serta keengganan beliau untuk menerima ketidakadilan adalah komitmen beliau terhadap keadilan sosial.

Aku terpanggil, jika Aaron Swartz pada zaman usia mudanya sudah mempunyai kesedaran sedemikian, maka aku juga perlukan kesedaran tersebut. 

"Ilmu itu mencerahkan."


Hasrat aku juga adalah hasil suntikan daripada sebuah buku bertajuk 'Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang' tulisan karya Zul Fikri Zamir.

Buku ini menyentuh isu pendidikan yang lemah dianuti oleh masyarakat juga bagaimana langkah sebagai seorang mahasiswa itu bergerak dan bertindak untuk mengambil bahagian di dalam perkara ini. Mudah, curahkan ilmu yang ada. Ilmu itu bukan setakat formal seperti di sekolah-sekolah, ilmu informal itu juga adalah suatu ilmu yang perlu ada pada setiap insan.

Seandainya Zul Fikri Zamir mencadangkan agar memulakan dengan mengajar anak-anak yatim dan pelajar yang berada di kelas tercorot untuk memulakan langkah, aku bertindak untuk mengajar anak orang asli sebagai permulaan. Bagi aku, tidak ada perbezaan darjat antara manusia, yang membezakan adalah iman dan taqwa. Bagi aku, tidak ada seorang pun di dunia ini yang patut gagal dalam hidup, seandainya mereka diberi peluang, mereka akan kembali mencorak jalan. 

Ya, peluang. 
Itulah metodnya. 
Beri peluang kepada masyarakat untuk bersama nikmati keindahan hidup ini.


Semoga hasrat aku ini dipermudahkan.

----------

Azree,
Hasrat,
050214,
0207.

No comments:

Post a Comment