Followers

Tuesday 10 December 2013

Pengertian SALAFI [ Wahabi, Sesatkah Mereka ! ]

[ SALAFI ]

“Salafi bermaksud kembali kepada iman yang mudah, lunak dan tanpa pertelingkahan. Ia bukan jambatan bagi meningkatkan pengaruh setengah pendapat ataupun jaring yang dipasang oleh orang jahil dalam masyarakat bagi memerangkap orang yang tidak berpengalaman.”

(Syeikh Muhammad Al-Ghazali)


   Dari segi bahasa, salafi disandarkan ataupun berasal daripada perkataan salaf. Perkataan salaf pula adalah istilah yang penuh misteri. Menurut kamus, perkataan salaf bermaksud golongan yang terdahulu. Contoh ayat bahasa arab “Salafa insan min taqaddumihi bilmaut min aba’ihi wa qarabatihi,” iaitu berlalu manusia sebelumnya daripada bapa ataupun saudara-maranya yang meninggal dunia. Dalam Tajul Arus, salaf itu adalah, “…bapa dan saudara-mara kamu terdahulu yang lebih tua dan lebih baik daripada kamu.

   Perkataan salaf ini juga digunakan dalam ayat-ayat al-Quran. Contohnya, “Faja’alna hum salafan wa masalan lil akhirin,” yang bermaksud, “Maka Kami jadikan mereka contoh dan pengajaran bagi orang yang datang kemudian.” Begitu juga ayat al-Quran, “Wa la tankahu ma nakaha aba’ukum min nisa’i illa ma qad salaf,” yang bermaksud, “Dan janganlah kamu kahwini wanita-wanita yang diperisterikan oleh bapa kamu, kecuali apa yang berlaku pada masa lalu.”

   Dua contoh ayat daripada al-Quran dan ayat sebelum ini memberi maksud yang sama, iaitu perkara yang lepas atau perkara-perkara yang terdahulu sebelum kehidupan manusia sekarang. Daripada definisi itu, jelas perkataan salaf yang dimaksudkan dalam buku ini adalah amal soleh yang dilakukan oleh orang dahulu. Ia seperti penggunaan kata akar Qaradh yang bererti pinjaman dan kata sifat Iqradh Amwal, iaitu memberi pinjaman harta.


   Dari segi syarak pula, salaf adalah nama bagi individu yang mazhab agamanya ditiru dan pendapat-pendapatnya diikuti. Kadangkala maksud salaf meliputi setiap mujtahid. Daripada perkataan salaf, terbit perkataan salafi. Pada awal kemunculannya, perkataan salafus soleh digunakan untuk ahli hadis. Justeru, beberapa tokoh hadis dikenali sebagai salafi seperti Abu Bakar Abdul Rahman bin Abdillah bin Ahmad al-Sharkasi al Salafi al-Muhaddith dan Abu Fityan al-Rawasi al-Salafi.

  Definisi-definisi ini sekalipun banyak, tetap tidak dapat menghilangkan kekaburan makna perkataan salaf. Sekiranya kita bertanya, “Adakah benar salaf bermaksud mereka yang terdahulu?”

   Apa yang jelas, mengkhususkan kumpulan tertentu daripada ‘kumpulan-kumpulan yang terdahulu’ dengan istilah salafi, adalah tindakan tanpa hujah dan tidak dikuatkan dengan apa-apa dalil. Jadi, istilah ini masih kekal meliputi setiap orang yang mendahului zaman sebelum kita. Sekiranya kita memahami salaf sebagai yang berlalu dan menghuraikan kebanyakan definisi ini, jelas makna ini kurang tepat berbanding definisi-definisi lain.

   Dr.Muhammad Amarah berkata, “Segala amalan terdahulu yang diikuti masih tidak terbatas kerana ia sendiri ada versi yang berbagai-bagai. Adakah amalan itu daripada al-Quran, sunnah ataupun termasuk dalamnya nas-nas sahaja ataupun termasuk mazhab-mazhab generasi tabiin dan generasi tabi-tabiin?”

   Sekiranya kita katakan salaf adalah al-Quran dan sunnah, maka ada pelbagai kaedah para pentafsir yang perlu diikuti. Sekiranya dikatakan salaf adalah kata-kata sahabat dan tabiin, maka kata-kata mereka dan mazhab-mazhab mereka bukan satu, bahkan ada yang bertentangan antara satu sama lain. Oleh itu, tidak ada satu pun mazhab khusus yang boleh kita namakan dengan mazhab salafi.

   Selepas menghuraikan isu itu dengan panjang lebar, Dr. Muhammad Amarah menerangkan salafi muncul pada zaman Dinasti Abbasiyah. Ketika itu, aliran pemikiran yang dipimpin oleh Imam Ahmad bin Hanbal, iaitu pengasas kepada mazhab Hanbali tersebar di bawah naungan Dinasti Abbasiyah. Dr. Muhammad Amarah berpendapat, salafi adalah mazhab Ahmad bin Hanbal dan salafiah adalah mereka yang mengikuti mazhab Hanbali.

   Syeikh Muhammad Al-Ghazali pula mempunyai pandangan yang berbeza. Menurut beliau, salafi adalah aliran pemikiran dan perasaan yang berhubung kait dengan kurun yang baik, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada al-Quran dan sunnah serta mengumpulkan usaha-usaha umat, sama ada dari material ataupun spiritual bagi mengangkat kalimah Allah, tanpa membezakan warna kulit dan keturunan. Pengikut salafi bukan kumpulan khusus yang menghuni kawasan khusus di negara Arab ataupun hidup dengan cara yang khusus.

   Syeikh Muhammad Al-Ghazali menolak pandangan Dr. Muhammad Amarah. Beliau berkata, “Saya melihat orang yang memahami salafi sebagai aliran fiqah Ahmad bin Hanbal, adalah salah.” Beliau juga menolak fahaman salafi itu adalah aliran nas. Salafi juga bukan bermaksud kembali kepada zaman yang lama kerana banyak perkara yang remeh-temeh berakhir pada zaman itu juga. Salafi adalah nama yang besar untuk hakikat yang asasnya besar. 

   Salafi yang dimaksudkan Syeikh Muhammad al-Ghazali adalah akal yang bebas mengkaji dan aktif. Salafi adalah kembali kepada iman yang mudah dan jauh daripada tipu daya. Salafi bukan jambatan bagi melariskan ideologi ataupun perangkap yang dipasang oleh orang jahil untuk mereka yang tertipu.

   Syeikh Muhammad al-Ghazali melihat salafi sebagai suatu aliran pemikiran dan perasaan yang menjadikan al-Quran dan hadis sebagai sumber kekuatannya. Boleh dikatakan yang beliau tidak berseorangan dalam melihat salafi sebagai aliran pemikiran. Ramai yang lain, kebanyakannya daripada pemikiran Imam Muhammad Abduh dan muridnya, seperti Rasyid Rida, Muhammad al-Khudari, Mahmud Shaltut, Muhammad Abdullah Diraz, Muhammad al-Baki, Muhammad al-Madani, Imam Muhammad Abu Zahrah dan Dr. Muhammad Said Ramadan al-Buti yang bersependapat dengan beliau.

   Dr. Muhammad Said Ramadan al-Buti mengarang buku yang bertajuk, Al-Salafiyyah Marhalatun Zamaniyyatun Mubarakatun La Mazhaabun Islamiyyun, iaitu Salafi Fasa Zaman yang Berkat, Bukan Mazhab Islam. Beliau berpendapat, bermazhab dengan salafi sebagaimana yang dilakukan oleh para pengikut salafi adalah bidaah. Ini bererti, salafus soleh mempunyai mazhab khusus untuk mereka yang menerangkan peribadi mereka dan hakikat jemaah mereka.

   Meskipun aliran mereka dinamakan salafi, tetapi mereka memberikan banyak ruang kepada akal, berlainan dengan Salafiyah Nususiah, iaitu berasaskan teks. Ia diketuai oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, asy-Syaukani, as-San’any, Sadiq Hasan Khan, Syed Sabiq dan Syeikh Albani.

   Ada dua golongan yang mempunyai pandangannya masing-masing perihal salafi. Salafi pada pandangan Muhammad Abduh adalah aliran pemikiran yang bersandar pada al-Quran dan hadis sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh al-Ghazali. Manakala, salafi pada pandangan Ibnu Abdul Wahab, Sa’ani, Syaukani dan murid-muridnya adalah Salafiah Nususiah, iaitu salaf yang berpandukan pada nas dan teks.

   Setiap pandangan daripada kedua-dua pandangan itu mempunyai pandangan dan pemahaman yang khusus berkenaan salafi. Salafi pada pandangan murid Imam Muhammad Abduh adalah aliran akal yang berpandukan pada al-Quran dan sunnah Nabi sebagaimana pandangan Syeikh Muhammad al-Ghazali.

   Golongan kedua pula melihat salafi sebagai kembali kepada ajaran salaf dan zaman kegemilangan Islam. Salafi juga adalah akidah para salafus soleh yang mentauhidkan dengan Tauhid Rubbubiyah dan Uluhiyyah serta memfokuskan segala niat dan amal kepada Allah semata-mata. Salafi adalah lurus dan juga fitrah ciptaan Allah yang semula jadi sebagaimana disebut dalam surah ar-Rum, ayat 30 yang bermaksud “Sesuai dengan fitrah Allah disebabkan Dia menciptakan manusia menurut fitrah itu.”

   Berdasarkan definisi-definisi di atas, didapati mereka juga melihat salafi dari dimensi yang berlainan. Dr. Muhammad Amarah melihat pada akar umbi sejarah. Demikian juga Dr. Said Ramadan Al-Buti. Kedua-duanya berpandangan, salafi adalah fasa sejarah atau sekurang-kurangnya berkait dengan fasa sejarah sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr. Muhammad Amarah.

   Manakala pakar-pakar pendefinisi yang lain, mereka melihat salafi sebagai apa yang sepatutnya berlaku, bukan apa yang ada sekarang ini. Salafi pada pandangan pengikut aliran rasionalis perlu menjadi aliran rasionalis. Adapun pada pandangan aliran Salafi Nususiah, ia adalah mazhab Rasulullah dan sahabat-sahabatnya yang lurus dan definisi itu menyerupai definisi agama. Sebenarnya, kedua-dua pendapat itu adalah jauh daripada kenyataan. Mereka melihat salafi dengan pandangan idealisitik.

   Jelas, kedua-dua pendapat itu tidak memberikan definisi yang tuntas berkaitan salafi. Sekiranya ada pendapat mengatakan salafi adalah aliran pemikiran, maka kita perlu mengkaji hubungan pemikiran dengan mengkaji Nabi dan para sahabat. Sekiranya dikatakan salafi adalah mazhab Rasulullah dan para sahabat, kita perlu jelaskan apakah mazhab Rasulullah dan para sahabat itu? Adakah di sana wujud mazhab khas Rasulullah dan para sahabat?

   Adapun mereka yang mengatakan pendapat itu adalah satu peringkat sejarah ataupun pendapat mazhab Ahmad bin Hanbal, yang ada hubungannya dengan satu fasa sejarah yang khusus, mereka tidak memberikan penjelasan yang dapat diterima bagi keadaan salafi hari ini. Ini sebagaimana sebahagian aliran-aliran salafi masa kini yang memiliki kecenderungan dengan pemikiran yang tidak sesuai dengan mazhab Ahmad bin Hanbal. Kita perlu mencari definisi yang kuat bagi merungkai isu salafi ini. 

   Pada pandangan kami, salafi bukan hanya mazhab Ahmad bin Hanbal, seperti yang dikatakan oleh Dr. Muhammad Amarah. Ia juga bukan aliran pemikiran dan perasaan yang berkaitan dengan Khairul Kurun, iaitu kurun terbaik, seperti pendapat Syeikh Muhammad Al-Ghazali. Adapun yang mengatakan salafi itu adalah mazhab salaf ataupun satu zaman khusus salafus soleh hidup, itu adalah pendapat yang salah dan kabur. Sekiranya demikian, apakah itu salafi?

   Sekiranya kita mahu memberi definisi kepada apa-apa isu, kita patut memberi definisi yang diambil daripada kenyataan isu, dalam istilah bahasa Inggeris mission statement. Di sini, kita dapat memberikan definisi salafi ialah setiap aliran pemikiran sama ada aliran pemikiran fikah ataupun akidah yang menyeru supaya kembali kepada asas-asas murni Islam tanpa mengambil kira tafsiran, asas Islam dan prinsip Islam yang dikemukakan oleh aliran pemikiran.

   Oleh yang demikian, salafi pada zaman ini mencakupi banyak aliran. Mungkin sekali setiap aliran mempunyai fahamannya tersendiri dalam memahami prinsip-prinsip itu.


_______________________________________________________

Sumber :  Wahabi! Sesatkah Mereka ?



[Kerja Kursus Akidah Islamiyah] - Beriman Kepada Allah [Tafsiran Surah Al-Falaq Ayat 1]


[ BERIMAN KEPADA ALLAH ]




Saya telah memilih tajuk di bawah beriman kepada Allah dan memilih ayat yang menyentuh beriman kepada Allah iaitu ayat 1 dalam Surah Al-Falaq. Selain itu juga, saya telah mencari tafsiran-tafsiran ulama’ muktabar dalam kitab-kitab yang telah ditetapkan pensyarah seperti Kitab Fi Zilalil Quran, Kitab Ibn Kathir, Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman dan Kitab Al-Azhar.

Justeru, di bawah ini adalah penerangan hasil kajian saya mengenai ayat 1 Surah Al-Falaq yang saya jumpai di dalam kitab tafsir yang telah saya terangkan tadi.


Surah Al-Falaq, ayat 1





Katakanlah (wahai Muhammad) aku pohon perlindungan pada Tuhan seluruh makhluk.


Demikian adalah tafsiran mengenai ayat ini di dalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman,

Surah ini mengajar kita memohon perlindungan kepada Allah SWT, dari bahaya yang datangnya dari segala jenis makhluk dan terutama dari bahaya :

Pertama – yang datangnya dari kejadian gelap: gelap malam yang menjadi peluang kepada sebahagian besar dari makhluk-makhluk jahat yang keluar dari tempat masing-masing melakukan kejahatannya.

Keduayang datangnya dari makhluk-makhluk yang berjiwa kotor, yang berusaha membuat fitnah, melonggarkan simpulan iktiqad, menghuraikan ikatan muhibbah, meruntuhkan rumah tangga, memecah belahkan perpaduan kaum kerabat dan merosakkan masyarakat. Mereka akan menjadi bahan bakaran api neraka kalau mereka tidak bertaubat dengan taubat nasuha’.

Ketigayang datangnya dari manusia yang jiwanya mempunyai hasad dengki dan menjalankan tipu daya dan angkaranya untuk menghapuskan sesuatu nikmat Tuhan dari seseorang yang beroleh nikmat itu kerana tidak senang melihat orang lain mendapat nikmat Tuhan dan selagi nikmat itu tidak hilang daripada orang yang mendapatnya.


Di dalam Tafsir Ibn Kathir pula menafsirkan ayat ini dengan ringkas sahaja iaitu seperti ayat di bawah,

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Jabir, dia mengatakan : “Al-Falaq bererti waktu Subuh” Iaitu demikian itu seperti firman-Nya yang lain : “Dia menyingsirkan pagi.”


Demikian pula di dalam Tafsir Fi Zilalil Quran menafsirkan ayat ini seperti berikut,

Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas merupakan satu arahan dari Allah mula-mula kepada Nabi s.a.w dan kemudian kepada para mukminin supaya memohon perlindungan dan naungan kepada Allah dari segala kejadian yang menakutkan sama ada sulit atau yang terang sama ada yang tidak diketahui atau yang diketahui. Oleh sebab itulah kedua-dua surah ini dimulai dengan arahan agar memohon perlindungan hanya kepada Allah SWT.

Mengenai kisah turunnya surah ini terdapat beberapa athar yang semuanya sesuai dengan bayangan yang kami telah nyatakan tadi. Dari keterangan athar-athar itu jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w telah memperlihatkan kegembiraannya yang mendalam terhadap turunnya surah ini. Dari ‘Aqabah Ibn ‘Amir r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda “Tidakkah engkau mengetahui ayat-ayat yang telah diturunkan pada malam ini, iaitu ayat-ayat yang tidak didapati seumpamanya iaitu: Qul a’uzubirabbil falaq dan Qul a’uzzubirabbin nas”

Dari Zarr Ibn Hubaysh katanya: Aku bertanya Ubay ibn Ka'b r.a. tentang Mu'auwizatayn (Qul a'uzubirabbil falaq dan Qul a'uzubirabbin nas) kataku: "Wahai Abu Munzir, saudaramu Abu Mas'ud telah berkata begini, begini, (mula-mula Ibn Mas'ud tidak mencatatkan kedua-dua surah ini dalam mashafnya, kemudian ia kembali mengikut fikiran jemaah sahabat lalu mencatatkan kedua-dua surah ini dalam mashaf). Lalu dia menjawab: "Aku telah bertanya Rasulullah s.a.w dan jawab beliau: “Aku diperintah berkata "Qul", lalu aku pun berkata. Dan kami pun berkata seperti Rasulullah s.a.w berkata."

(Dikeluarkan oleh an-Nasa'i)

Semua riwayat ini melahirkan bayangan-bayangan kasih mesra. Di dalam surah ini, Allah SWT menyebut diri-Nya dengan sifat-Nya yang boleh menjadi benteng yang melindungkan dari kejahatan-kejahatan yang disebut di dalam surah ini.

Di antara pengertian “ الفلق ” ialah “waktu pagi” dan “seluruh makhluk”. Pengertian ini ditujukan kepada segala kejadian yang dilahirkan ke alam al-wujud dan alam al-hayat sebagaimana diterangkan di dalam Surah Al-An’am;

Ayat 95 :




Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutuNya)?

Juga firman selanjutnya:

Ayat 96 :




Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

Sama ada dipakai dengan pengertian “Aku pohon perlindungan pada Tuhan yang menjadikan waktu pagi yang memberi keamanan dengan cahaya siang dari segala kejahatan yang sulit dan tersembunyi” atau dipakai dengan pengertian “Aku pohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara seluruh makhluk yang memberi keamanan dari segala kejahatan makhluk”. Maka kedua-dua pengertian itu adalah sesuai dengan ayat yang kemudian.


Demikian pula tafsiran mengenai ayat ini di dalam Tafsir Al-Azhar,

Tuhan Allah adalah tempat kita berlindung. Nabi s.a.w. dan kita semuanya diperintahkan Tuhan agar berlindung dengan Allah. Setengah daripada kekuasaan Allah itu ialah bahawa Dia menciptakan dan membuat suasana cuaca Subuh. Dalam ayat ini aI-Falaq yang tertulis di hujung ayat kita artikan cuaca Subuh, iaitu ketika perpisahan di antara gelap malam dengan mulai terbit fajar hari akan siang. Dengan hikmah tertinggi Tuhan mewahyukan kepada Rasul-Nya akan kepentingan saat pergantian hari dari malam kepada siang itu. Waktu itu adalah hari yang baru, yang tengah kita hadapi. Dari permulaan Subuh itu Allah memberi kita waktu sebagai modal hidup sehari semalam 24 jam lamanya. Kita disuruh melindungkan diri, memohon perlindungan dan pernaungan kepada Tuhan yang menguasai cuaca Subuh itu. Berlindung kepada Tuhan agar terlepas dari segala bahaya yang ada di hadapan kita yang kita sendiri tidak tahu.

AI-Falaq ada juga diartikan dengan peralihan. Peralihan dari malam ke siang, peralihan dari tanah yang telah sangat kering kerana kemarau, lalu turun hujan, maka hiduplah kembali tumbuh-tumbuhan. Peralihan dari biji kering terlempar ke atas tanah, lalu timbul uratnya dan dia memulai hidup. Maka berselindunglah kita kepada Tuhan, dalam sebutan-Nya sebagai Rabb, yang berarti mengatur, mendidik dan memelihara supaya berkenanlah kiranya Tuhan melindungi kita dari kemungkinan-kemungkinan bahaya yang terkandung pada pergantian siang dan malam atau peralihan musim.


____________________________________________________________________

Rujukan :

1. Al-Quran
2. Kitab Fi Zilalil Quran
3. Kitab Ibn Kathir
4. Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman 
5. Kitab Al-Azhar