Followers

Tuesday 10 December 2013

Pengertian SALAFI [ Wahabi, Sesatkah Mereka ! ]

[ SALAFI ]

“Salafi bermaksud kembali kepada iman yang mudah, lunak dan tanpa pertelingkahan. Ia bukan jambatan bagi meningkatkan pengaruh setengah pendapat ataupun jaring yang dipasang oleh orang jahil dalam masyarakat bagi memerangkap orang yang tidak berpengalaman.”

(Syeikh Muhammad Al-Ghazali)


   Dari segi bahasa, salafi disandarkan ataupun berasal daripada perkataan salaf. Perkataan salaf pula adalah istilah yang penuh misteri. Menurut kamus, perkataan salaf bermaksud golongan yang terdahulu. Contoh ayat bahasa arab “Salafa insan min taqaddumihi bilmaut min aba’ihi wa qarabatihi,” iaitu berlalu manusia sebelumnya daripada bapa ataupun saudara-maranya yang meninggal dunia. Dalam Tajul Arus, salaf itu adalah, “…bapa dan saudara-mara kamu terdahulu yang lebih tua dan lebih baik daripada kamu.

   Perkataan salaf ini juga digunakan dalam ayat-ayat al-Quran. Contohnya, “Faja’alna hum salafan wa masalan lil akhirin,” yang bermaksud, “Maka Kami jadikan mereka contoh dan pengajaran bagi orang yang datang kemudian.” Begitu juga ayat al-Quran, “Wa la tankahu ma nakaha aba’ukum min nisa’i illa ma qad salaf,” yang bermaksud, “Dan janganlah kamu kahwini wanita-wanita yang diperisterikan oleh bapa kamu, kecuali apa yang berlaku pada masa lalu.”

   Dua contoh ayat daripada al-Quran dan ayat sebelum ini memberi maksud yang sama, iaitu perkara yang lepas atau perkara-perkara yang terdahulu sebelum kehidupan manusia sekarang. Daripada definisi itu, jelas perkataan salaf yang dimaksudkan dalam buku ini adalah amal soleh yang dilakukan oleh orang dahulu. Ia seperti penggunaan kata akar Qaradh yang bererti pinjaman dan kata sifat Iqradh Amwal, iaitu memberi pinjaman harta.


   Dari segi syarak pula, salaf adalah nama bagi individu yang mazhab agamanya ditiru dan pendapat-pendapatnya diikuti. Kadangkala maksud salaf meliputi setiap mujtahid. Daripada perkataan salaf, terbit perkataan salafi. Pada awal kemunculannya, perkataan salafus soleh digunakan untuk ahli hadis. Justeru, beberapa tokoh hadis dikenali sebagai salafi seperti Abu Bakar Abdul Rahman bin Abdillah bin Ahmad al-Sharkasi al Salafi al-Muhaddith dan Abu Fityan al-Rawasi al-Salafi.

  Definisi-definisi ini sekalipun banyak, tetap tidak dapat menghilangkan kekaburan makna perkataan salaf. Sekiranya kita bertanya, “Adakah benar salaf bermaksud mereka yang terdahulu?”

   Apa yang jelas, mengkhususkan kumpulan tertentu daripada ‘kumpulan-kumpulan yang terdahulu’ dengan istilah salafi, adalah tindakan tanpa hujah dan tidak dikuatkan dengan apa-apa dalil. Jadi, istilah ini masih kekal meliputi setiap orang yang mendahului zaman sebelum kita. Sekiranya kita memahami salaf sebagai yang berlalu dan menghuraikan kebanyakan definisi ini, jelas makna ini kurang tepat berbanding definisi-definisi lain.

   Dr.Muhammad Amarah berkata, “Segala amalan terdahulu yang diikuti masih tidak terbatas kerana ia sendiri ada versi yang berbagai-bagai. Adakah amalan itu daripada al-Quran, sunnah ataupun termasuk dalamnya nas-nas sahaja ataupun termasuk mazhab-mazhab generasi tabiin dan generasi tabi-tabiin?”

   Sekiranya kita katakan salaf adalah al-Quran dan sunnah, maka ada pelbagai kaedah para pentafsir yang perlu diikuti. Sekiranya dikatakan salaf adalah kata-kata sahabat dan tabiin, maka kata-kata mereka dan mazhab-mazhab mereka bukan satu, bahkan ada yang bertentangan antara satu sama lain. Oleh itu, tidak ada satu pun mazhab khusus yang boleh kita namakan dengan mazhab salafi.

   Selepas menghuraikan isu itu dengan panjang lebar, Dr. Muhammad Amarah menerangkan salafi muncul pada zaman Dinasti Abbasiyah. Ketika itu, aliran pemikiran yang dipimpin oleh Imam Ahmad bin Hanbal, iaitu pengasas kepada mazhab Hanbali tersebar di bawah naungan Dinasti Abbasiyah. Dr. Muhammad Amarah berpendapat, salafi adalah mazhab Ahmad bin Hanbal dan salafiah adalah mereka yang mengikuti mazhab Hanbali.

   Syeikh Muhammad Al-Ghazali pula mempunyai pandangan yang berbeza. Menurut beliau, salafi adalah aliran pemikiran dan perasaan yang berhubung kait dengan kurun yang baik, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada al-Quran dan sunnah serta mengumpulkan usaha-usaha umat, sama ada dari material ataupun spiritual bagi mengangkat kalimah Allah, tanpa membezakan warna kulit dan keturunan. Pengikut salafi bukan kumpulan khusus yang menghuni kawasan khusus di negara Arab ataupun hidup dengan cara yang khusus.

   Syeikh Muhammad Al-Ghazali menolak pandangan Dr. Muhammad Amarah. Beliau berkata, “Saya melihat orang yang memahami salafi sebagai aliran fiqah Ahmad bin Hanbal, adalah salah.” Beliau juga menolak fahaman salafi itu adalah aliran nas. Salafi juga bukan bermaksud kembali kepada zaman yang lama kerana banyak perkara yang remeh-temeh berakhir pada zaman itu juga. Salafi adalah nama yang besar untuk hakikat yang asasnya besar. 

   Salafi yang dimaksudkan Syeikh Muhammad al-Ghazali adalah akal yang bebas mengkaji dan aktif. Salafi adalah kembali kepada iman yang mudah dan jauh daripada tipu daya. Salafi bukan jambatan bagi melariskan ideologi ataupun perangkap yang dipasang oleh orang jahil untuk mereka yang tertipu.

   Syeikh Muhammad al-Ghazali melihat salafi sebagai suatu aliran pemikiran dan perasaan yang menjadikan al-Quran dan hadis sebagai sumber kekuatannya. Boleh dikatakan yang beliau tidak berseorangan dalam melihat salafi sebagai aliran pemikiran. Ramai yang lain, kebanyakannya daripada pemikiran Imam Muhammad Abduh dan muridnya, seperti Rasyid Rida, Muhammad al-Khudari, Mahmud Shaltut, Muhammad Abdullah Diraz, Muhammad al-Baki, Muhammad al-Madani, Imam Muhammad Abu Zahrah dan Dr. Muhammad Said Ramadan al-Buti yang bersependapat dengan beliau.

   Dr. Muhammad Said Ramadan al-Buti mengarang buku yang bertajuk, Al-Salafiyyah Marhalatun Zamaniyyatun Mubarakatun La Mazhaabun Islamiyyun, iaitu Salafi Fasa Zaman yang Berkat, Bukan Mazhab Islam. Beliau berpendapat, bermazhab dengan salafi sebagaimana yang dilakukan oleh para pengikut salafi adalah bidaah. Ini bererti, salafus soleh mempunyai mazhab khusus untuk mereka yang menerangkan peribadi mereka dan hakikat jemaah mereka.

   Meskipun aliran mereka dinamakan salafi, tetapi mereka memberikan banyak ruang kepada akal, berlainan dengan Salafiyah Nususiah, iaitu berasaskan teks. Ia diketuai oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, asy-Syaukani, as-San’any, Sadiq Hasan Khan, Syed Sabiq dan Syeikh Albani.

   Ada dua golongan yang mempunyai pandangannya masing-masing perihal salafi. Salafi pada pandangan Muhammad Abduh adalah aliran pemikiran yang bersandar pada al-Quran dan hadis sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh al-Ghazali. Manakala, salafi pada pandangan Ibnu Abdul Wahab, Sa’ani, Syaukani dan murid-muridnya adalah Salafiah Nususiah, iaitu salaf yang berpandukan pada nas dan teks.

   Setiap pandangan daripada kedua-dua pandangan itu mempunyai pandangan dan pemahaman yang khusus berkenaan salafi. Salafi pada pandangan murid Imam Muhammad Abduh adalah aliran akal yang berpandukan pada al-Quran dan sunnah Nabi sebagaimana pandangan Syeikh Muhammad al-Ghazali.

   Golongan kedua pula melihat salafi sebagai kembali kepada ajaran salaf dan zaman kegemilangan Islam. Salafi juga adalah akidah para salafus soleh yang mentauhidkan dengan Tauhid Rubbubiyah dan Uluhiyyah serta memfokuskan segala niat dan amal kepada Allah semata-mata. Salafi adalah lurus dan juga fitrah ciptaan Allah yang semula jadi sebagaimana disebut dalam surah ar-Rum, ayat 30 yang bermaksud “Sesuai dengan fitrah Allah disebabkan Dia menciptakan manusia menurut fitrah itu.”

   Berdasarkan definisi-definisi di atas, didapati mereka juga melihat salafi dari dimensi yang berlainan. Dr. Muhammad Amarah melihat pada akar umbi sejarah. Demikian juga Dr. Said Ramadan Al-Buti. Kedua-duanya berpandangan, salafi adalah fasa sejarah atau sekurang-kurangnya berkait dengan fasa sejarah sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr. Muhammad Amarah.

   Manakala pakar-pakar pendefinisi yang lain, mereka melihat salafi sebagai apa yang sepatutnya berlaku, bukan apa yang ada sekarang ini. Salafi pada pandangan pengikut aliran rasionalis perlu menjadi aliran rasionalis. Adapun pada pandangan aliran Salafi Nususiah, ia adalah mazhab Rasulullah dan sahabat-sahabatnya yang lurus dan definisi itu menyerupai definisi agama. Sebenarnya, kedua-dua pendapat itu adalah jauh daripada kenyataan. Mereka melihat salafi dengan pandangan idealisitik.

   Jelas, kedua-dua pendapat itu tidak memberikan definisi yang tuntas berkaitan salafi. Sekiranya ada pendapat mengatakan salafi adalah aliran pemikiran, maka kita perlu mengkaji hubungan pemikiran dengan mengkaji Nabi dan para sahabat. Sekiranya dikatakan salafi adalah mazhab Rasulullah dan para sahabat, kita perlu jelaskan apakah mazhab Rasulullah dan para sahabat itu? Adakah di sana wujud mazhab khas Rasulullah dan para sahabat?

   Adapun mereka yang mengatakan pendapat itu adalah satu peringkat sejarah ataupun pendapat mazhab Ahmad bin Hanbal, yang ada hubungannya dengan satu fasa sejarah yang khusus, mereka tidak memberikan penjelasan yang dapat diterima bagi keadaan salafi hari ini. Ini sebagaimana sebahagian aliran-aliran salafi masa kini yang memiliki kecenderungan dengan pemikiran yang tidak sesuai dengan mazhab Ahmad bin Hanbal. Kita perlu mencari definisi yang kuat bagi merungkai isu salafi ini. 

   Pada pandangan kami, salafi bukan hanya mazhab Ahmad bin Hanbal, seperti yang dikatakan oleh Dr. Muhammad Amarah. Ia juga bukan aliran pemikiran dan perasaan yang berkaitan dengan Khairul Kurun, iaitu kurun terbaik, seperti pendapat Syeikh Muhammad Al-Ghazali. Adapun yang mengatakan salafi itu adalah mazhab salaf ataupun satu zaman khusus salafus soleh hidup, itu adalah pendapat yang salah dan kabur. Sekiranya demikian, apakah itu salafi?

   Sekiranya kita mahu memberi definisi kepada apa-apa isu, kita patut memberi definisi yang diambil daripada kenyataan isu, dalam istilah bahasa Inggeris mission statement. Di sini, kita dapat memberikan definisi salafi ialah setiap aliran pemikiran sama ada aliran pemikiran fikah ataupun akidah yang menyeru supaya kembali kepada asas-asas murni Islam tanpa mengambil kira tafsiran, asas Islam dan prinsip Islam yang dikemukakan oleh aliran pemikiran.

   Oleh yang demikian, salafi pada zaman ini mencakupi banyak aliran. Mungkin sekali setiap aliran mempunyai fahamannya tersendiri dalam memahami prinsip-prinsip itu.


_______________________________________________________

Sumber :  Wahabi! Sesatkah Mereka ?



[Kerja Kursus Akidah Islamiyah] - Beriman Kepada Allah [Tafsiran Surah Al-Falaq Ayat 1]


[ BERIMAN KEPADA ALLAH ]




Saya telah memilih tajuk di bawah beriman kepada Allah dan memilih ayat yang menyentuh beriman kepada Allah iaitu ayat 1 dalam Surah Al-Falaq. Selain itu juga, saya telah mencari tafsiran-tafsiran ulama’ muktabar dalam kitab-kitab yang telah ditetapkan pensyarah seperti Kitab Fi Zilalil Quran, Kitab Ibn Kathir, Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman dan Kitab Al-Azhar.

Justeru, di bawah ini adalah penerangan hasil kajian saya mengenai ayat 1 Surah Al-Falaq yang saya jumpai di dalam kitab tafsir yang telah saya terangkan tadi.


Surah Al-Falaq, ayat 1





Katakanlah (wahai Muhammad) aku pohon perlindungan pada Tuhan seluruh makhluk.


Demikian adalah tafsiran mengenai ayat ini di dalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman,

Surah ini mengajar kita memohon perlindungan kepada Allah SWT, dari bahaya yang datangnya dari segala jenis makhluk dan terutama dari bahaya :

Pertama – yang datangnya dari kejadian gelap: gelap malam yang menjadi peluang kepada sebahagian besar dari makhluk-makhluk jahat yang keluar dari tempat masing-masing melakukan kejahatannya.

Keduayang datangnya dari makhluk-makhluk yang berjiwa kotor, yang berusaha membuat fitnah, melonggarkan simpulan iktiqad, menghuraikan ikatan muhibbah, meruntuhkan rumah tangga, memecah belahkan perpaduan kaum kerabat dan merosakkan masyarakat. Mereka akan menjadi bahan bakaran api neraka kalau mereka tidak bertaubat dengan taubat nasuha’.

Ketigayang datangnya dari manusia yang jiwanya mempunyai hasad dengki dan menjalankan tipu daya dan angkaranya untuk menghapuskan sesuatu nikmat Tuhan dari seseorang yang beroleh nikmat itu kerana tidak senang melihat orang lain mendapat nikmat Tuhan dan selagi nikmat itu tidak hilang daripada orang yang mendapatnya.


Di dalam Tafsir Ibn Kathir pula menafsirkan ayat ini dengan ringkas sahaja iaitu seperti ayat di bawah,

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Jabir, dia mengatakan : “Al-Falaq bererti waktu Subuh” Iaitu demikian itu seperti firman-Nya yang lain : “Dia menyingsirkan pagi.”


Demikian pula di dalam Tafsir Fi Zilalil Quran menafsirkan ayat ini seperti berikut,

Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas merupakan satu arahan dari Allah mula-mula kepada Nabi s.a.w dan kemudian kepada para mukminin supaya memohon perlindungan dan naungan kepada Allah dari segala kejadian yang menakutkan sama ada sulit atau yang terang sama ada yang tidak diketahui atau yang diketahui. Oleh sebab itulah kedua-dua surah ini dimulai dengan arahan agar memohon perlindungan hanya kepada Allah SWT.

Mengenai kisah turunnya surah ini terdapat beberapa athar yang semuanya sesuai dengan bayangan yang kami telah nyatakan tadi. Dari keterangan athar-athar itu jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w telah memperlihatkan kegembiraannya yang mendalam terhadap turunnya surah ini. Dari ‘Aqabah Ibn ‘Amir r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda “Tidakkah engkau mengetahui ayat-ayat yang telah diturunkan pada malam ini, iaitu ayat-ayat yang tidak didapati seumpamanya iaitu: Qul a’uzubirabbil falaq dan Qul a’uzzubirabbin nas”

Dari Zarr Ibn Hubaysh katanya: Aku bertanya Ubay ibn Ka'b r.a. tentang Mu'auwizatayn (Qul a'uzubirabbil falaq dan Qul a'uzubirabbin nas) kataku: "Wahai Abu Munzir, saudaramu Abu Mas'ud telah berkata begini, begini, (mula-mula Ibn Mas'ud tidak mencatatkan kedua-dua surah ini dalam mashafnya, kemudian ia kembali mengikut fikiran jemaah sahabat lalu mencatatkan kedua-dua surah ini dalam mashaf). Lalu dia menjawab: "Aku telah bertanya Rasulullah s.a.w dan jawab beliau: “Aku diperintah berkata "Qul", lalu aku pun berkata. Dan kami pun berkata seperti Rasulullah s.a.w berkata."

(Dikeluarkan oleh an-Nasa'i)

Semua riwayat ini melahirkan bayangan-bayangan kasih mesra. Di dalam surah ini, Allah SWT menyebut diri-Nya dengan sifat-Nya yang boleh menjadi benteng yang melindungkan dari kejahatan-kejahatan yang disebut di dalam surah ini.

Di antara pengertian “ الفلق ” ialah “waktu pagi” dan “seluruh makhluk”. Pengertian ini ditujukan kepada segala kejadian yang dilahirkan ke alam al-wujud dan alam al-hayat sebagaimana diterangkan di dalam Surah Al-An’am;

Ayat 95 :




Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutuNya)?

Juga firman selanjutnya:

Ayat 96 :




Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

Sama ada dipakai dengan pengertian “Aku pohon perlindungan pada Tuhan yang menjadikan waktu pagi yang memberi keamanan dengan cahaya siang dari segala kejahatan yang sulit dan tersembunyi” atau dipakai dengan pengertian “Aku pohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara seluruh makhluk yang memberi keamanan dari segala kejahatan makhluk”. Maka kedua-dua pengertian itu adalah sesuai dengan ayat yang kemudian.


Demikian pula tafsiran mengenai ayat ini di dalam Tafsir Al-Azhar,

Tuhan Allah adalah tempat kita berlindung. Nabi s.a.w. dan kita semuanya diperintahkan Tuhan agar berlindung dengan Allah. Setengah daripada kekuasaan Allah itu ialah bahawa Dia menciptakan dan membuat suasana cuaca Subuh. Dalam ayat ini aI-Falaq yang tertulis di hujung ayat kita artikan cuaca Subuh, iaitu ketika perpisahan di antara gelap malam dengan mulai terbit fajar hari akan siang. Dengan hikmah tertinggi Tuhan mewahyukan kepada Rasul-Nya akan kepentingan saat pergantian hari dari malam kepada siang itu. Waktu itu adalah hari yang baru, yang tengah kita hadapi. Dari permulaan Subuh itu Allah memberi kita waktu sebagai modal hidup sehari semalam 24 jam lamanya. Kita disuruh melindungkan diri, memohon perlindungan dan pernaungan kepada Tuhan yang menguasai cuaca Subuh itu. Berlindung kepada Tuhan agar terlepas dari segala bahaya yang ada di hadapan kita yang kita sendiri tidak tahu.

AI-Falaq ada juga diartikan dengan peralihan. Peralihan dari malam ke siang, peralihan dari tanah yang telah sangat kering kerana kemarau, lalu turun hujan, maka hiduplah kembali tumbuh-tumbuhan. Peralihan dari biji kering terlempar ke atas tanah, lalu timbul uratnya dan dia memulai hidup. Maka berselindunglah kita kepada Tuhan, dalam sebutan-Nya sebagai Rabb, yang berarti mengatur, mendidik dan memelihara supaya berkenanlah kiranya Tuhan melindungi kita dari kemungkinan-kemungkinan bahaya yang terkandung pada pergantian siang dan malam atau peralihan musim.


____________________________________________________________________

Rujukan :

1. Al-Quran
2. Kitab Fi Zilalil Quran
3. Kitab Ibn Kathir
4. Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman 
5. Kitab Al-Azhar

Saturday 24 August 2013

Bukankah Basyar Assad itu BUKAN SYIAH ?


PERSOALAN:

Bukankah basyar assad itu BUKAN SYIAH? Mereka ALAWI / NASRIAH yakni Syiah yang terkeluar dan tak diterima mazhab Syiah yang lain. Jadi kekejaman Basyar itu tidak boleh dikaitkan dengan Syiah.


JAWAPAN:

Statement itu benar. Tapi kenapa fraksi Syiah lain dari Iran, Iraq dan Hizbullat yang kononnya tidak mengiktiraf Syiah Alawi/Nasriah di Syria itu dengan terbuka mengisytihar membantu Basyar dari sudut ketenteraan dan sedaya upaya mempertahankan Basyar? Terserlah KEKANTOIAN disitu.

Lupakah kita Allah berfirman bahawa golongan kafir dan musyrikin mereka sanggup bersatu dalam hal MENENTANG ISLAM walaupun sesama mereka itu juga bermusuhan?

وَالَّذينَ كَفَرُواْ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ إِلاَّ تَفْعَلُوهُ تَكُن فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ

Artinya : “Adapun orang-orang yang kafir, sebagian mereka menjadi pelindung bagi sebagian yang lain. Jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, niscaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerusakan yang besar” (Qs.Al-Anfal, 8:73).


Masih TAKUT untuk menghadapi mereka?

Memang benar sabda Rasulullah :

“Nyaris orang-orang kafir menyerbu dan membinasakan kalian, seperti halnya orang-orang yang menyerbu makanan di atas piring.” Seseorang berkata, “Apakah karena sedikitnya kami waktu itu?” Beliau bersabda, “Bahkan kalian waktu itu banyak sekali, tetapi kamu seperti buih di atas air. Dan Allah mencabut rasa takut musuh-musuhmu terhadap kalian serta menjangkitkan di dalam hatimu penyakit wahn.” Seseorang bertanya, “Apakah wahn itu?” Beliau menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.” 

(HR. Ahmad, Al-Baihaqi, Abu Dawud No. 3745)

Basyar Assad tidak kejam ?

Di sini saya lampirkan bukti-bukti kekejaman Basyar Assad !

Bayi yg masih kecil kehilangan ayahnya akibat syahid mempertahankan
tempat kediaman.

Kanak2 yg mnjdi korban akibat keganasan rejim assad mengebom rumah2
puak2 Sunni
Mangsa serangan kimia pada 21/8/13
Bayi turut mnjadi mangsa kerakusan rejim Assad akibat letupan bom
Serangan kimia, bukan sekadar manusia, haiwan juga turut menjadi mangsa
Rakyat Syria setiap sehari pasti ada yg mnjadi mangsa rejim Assad
Kanak2 yg mnjadi mangsa pada 21/8/13 akibat serangan kimia dri rejim Assad
dan hmpir dlm 2200 rakyat syria trkorban dan 30% antaranya adalah kanak2
Keluarga yg kehilangan tempat tinggal dan ketenteraman
Tempat tinggal mereka d rampas
Kanak2 Syria kekurangan makanan akibat kurang mndpt bntuan
Bukti bumi Syams dimamah rakusnya Assad

Andai bukti-bukti ini tidak membuka mata kita lagi, maka periksalah hati. Mungkin hati terhijab akibat dek dosa yang banyak. Caknalah dengan isu umat Islam, sesungguhnya kita semua bersaudara di atas kalimah "Laaillahaillallah" iaitu Tiada Tuhan Selain Allah.

"Jangan letakkan diri kita di dalam golongan yang tidak peduli akan masalah umat Islam, yang terus lalai di belai manja asyiknya dunia" - A.P.



Monday 19 August 2013

Perempuan Tidak Berasal Daripada Tulang Rusuk

Kita sering mendengar cerita bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam. Sehingga terdapat
ungkapan yang mengatakan wanita dijadikan daripada tulang rusuk supaya yang dekat dengan hati dan supaya sering didampingi serta diingati dan bermacam-macam lagi. Begitu juga, hampir semua kitab-kitab tafsir menyebutkan kisah penciptaan Hawa dan menjadi asas kepada ulama tafsir ketika menjelaskan maksud ayat pertama surah al-Nisa’. (Sila lihat Tafsir at-Tabari, Tafsir al-Baidhawi, al-Kahzin dan lain-lain)

Kenyataannya ialah tidak ada satu pun ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. yang jelas menyebutkan hakikat kejadian Hawa. Al-Quran tidak menyebutkan Hawa dicipta daripada Adam tetapi manusia itu dicipta daripada jiwa yang satu. Apa yang disebutkan di dalam al-Quran ialah manusia itu diciptakan daripada jenis yang sama dengannya juga. Seorang manusia tentunya ibu bapanya manusia juga bukan makhluk yang lain.

Abu A`la al-Mawdudi menulis komen bagi ayat pertama surah al-Nisa’ ini: “Umumnya para pentafsir al-Quran menyebutkan Hawa dicipta daripada tulang rusuk Adam dan Bible juga menyebutkan perkara yang sama. Kitab Talmud pula menambah bahawa Hawa diciptakan daripada tulung rusuk Adam yang ketiga belas. Tetapi al-Quran tidak menyentuh langsung perkara ini dan hadis-hadis yang dipetik untuk menyokong pandangan ini mempunyai makna yang berbeza dari yang sering difahami. Oleh itu, perkara yang terbaik ialah membiarkan perkara yang tidak dijelaskan seperti yang terdapat dalam al-Quran dan tidak perlu membuang masa bagi menentukan perinciannya.” ( The Meaning of The Quran, jil. 2 hal. 94)

Menurut al-Mawdudi, hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tidak menyatakan perkara yang sebagaimana yang tersebar dalam masyarakat Islam iaitu sebenarnya tidak ada satu pun hadis Baginda s.a.w yang menerangkan asal- usul kejadian Hawa.

Kaedah yang sebenar ialah tidak perlu memberatkan diri dalam menentukan perkara yang Allah S.W.T. tidak menyatakan dengan terang dan jelas. Contohnya, apabila Allah S.W.T. menyebutkan cerita tentang bahtera Nabi Nuh tidak perlu bagi kita untuk menentukan apakah saiz dan kapasitinya atau bahan buatannya. Perincian itu bukan menjadi maksud penurunan al-Quran(Nuzul Al-Quran). Apa yang penting ialah menjadikan peristiwa tersebut sebagai iktibar dan pengajaran. Dengan kata lain, al-Quran bukan kitab sejarah atau sains tetapi kitab yang memberi panduan hidup kepada manusia supaya selamat di dunia dan akhirat.

Dalam hal ini Shah Waliyullah menyebutkan dengan jelasnya. Kata beliau ketika mengulas kisah-kisah yang diceritakan oleh al-Quran: “Bukanlah maksud cerita-cerita di dalam al-Quran untuk mengetahui cerita itu sendiri. Maksud sebenarnya ialah supaya pembaca memikirkan betapa bahayanya syirik dan kemaksiatan serta hukuman Allah hasil dari perbuatan syirik itu di samping menenangkan hati orang-orang yang ikhlas dengan tibanya pertolongan dan perhatian Allah kepada mereka” (al-`Fawz al-Kabir Fi Usul al-Tafsir, hal. 138)



Mengapa Berlaku Kekeliruan Tentang Kejadian Hawa Ini?

Ada beberapa faktor mengapa berlaku kekeliruan dalam memahami makna sebenar ayat ini:

1. Berpegang Dengan Riwayat Israiliyyat

Fasal yang kedua di dalam Sifr al-Takwin menyebutkan Hawa diciptakan daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam ketika baginda sedang tidur. (Tafsir al-Manar, jil. 4, hal. 268.) 

Disebabkan ada riwayat dalam kitab-kitab yang dahulu, ahli-ahli tafsir terus menganggap ia sebagai sokongan atau pentafsiran kepada al-Quran. Bagaimana mungkin ayat al-Quran ditafsirkan dengan riwayat Israiliyyat walhal penurunan kitab-kitab nabi terdahulu lebih awal lagi daripada al-Quran. Sepatutnya, kitab yang turun kemudianlah yang menjelaskan kitab-kitab yang terdahulu.

Hadis berkenaan perkara ini mempunyai beberapa versi. Antaranya ialah;

1. Perempuan itu diciptakan daripada tulang rusuk

2. Perempuan seperti tulang rusuk.

3. Perempuan adalah tulang rusuk.


2. Mengkhususkan Keumuman Hadis Tanpa Nas Yang Jelas

Antara kesilapan dan kekeliruan ialah mengkhususkan lafaz hadis yang menyebut perempuan kepada Hawa. Hadis-hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. semuanya dengan jelas menyatakan perempuan dalam bentuk tunggal atau jamak dan tidak ada yang menyebutkan Hawa secara khusus. Jelasnya, para pentafsir menyangka wanita dalam hadis tersebut adalah Hawa tanpa berdasarkan kepada nas yang lain yang menentukan makna yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. itu.

3. Kesilapan Memahami Kata Sendi Nama Min من

Walaupun perkataan min itu memberi erti “daripada”, “punca sesuatu perkara” atau “sebahagian”, kata sendi nama min juga mempunyai makna lain seperti “untuk menyatakan sebab” dan “menyatakan jenis sesuatu perkara”. Oleh itu, pemakaian huruf ini dalam bahasa Arab adalah luas dan tidak semestinya terikat dengan satu makna sahaja. (lihat, Ibn Hisyam, Mughni al-Labib, jil. 1, hal. 319)

Abu Muslim al-Asfahani mengatakan, maksud menciptakan daripadanya pasangannya ialah menciptakannya dari jenisnya. (lihat Hasyiah Zadah `Ala al-Baidhawi) 

Ini seperti ayat-ayat al-Quran berikut:

وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah al-Rum: 21)


فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الْأَنْعَامِ أَزْوَاجًا يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Dialah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi binatang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Surah al-Syura: 11)


وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ

Dan Allah telah menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagi kamu daripada pasangan-pasangan kamu anak-anak dan cucu dan memberikan rezeki kepada kamu daripada benda-benda yang baik. (Surah al-Nahl: 72)

Ayat-ayat ini tidak boleh difahami sebagai isteri-isteri kita itu diciptakan daripada diri atau jasad kita tetapi mestilah difahami sebagai “mereka itu dari jenis yang sama dengan kita”.


لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari jenis kamu, yang amat berat baginya kesusahan kamu, sangat berharap akan keimanan kamu dan sangat kasih serta menyayangi kepada orang-orang yang beriman. (Surah al-Taubah:128)


لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آَيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Sesungguhnya Allah S.W.T. telah memberikan kurniaan yang besar kepada orang-orang yang beriman ketika Dia mengutuskan seorang rasul kepada mereka dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan Kitab dan Hikmah. Sesungguhnya mereka sebelum itu berada di dalam kesesatan yang nyata. (Surah Ali Imran: 164.)


Kedua-dua ayat ini dengan jelasnya menyebutkan Rasulullah s.a.w. yang diutuskan kepada kita adalah dari kalangan manusia yang sama seperti kita bukan dari kalangan makhluk yang lain seperti malaikat

Dengan itu, hadis ini ditafsirkan sebagai sifat dan perasaan perempuan itu daripada jenis yang mudah bengkok.


عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فلا يؤذي جاره واستوصوا بالنساء خيرا، فإنهن خلقن من ضلع، وإن أعوج شيء في الضلع أعلاه، فإن ذهبت تقيمه كسرته، وأن تركته لم يزل أعوج، فاستوصوا بالنساء خيرا .

Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)


عن أبي هريرة: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: المرأة كالضلع، إن أقمتها كسرتها.

Perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. 
(Hadis riwayat al-Bukhari4889).


Hadis ini telah dikemukakan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Nikah bab berlembut dengan wanita. Tujuan Imam al-Bukhari mengemukakan hadis ini ialah untuk menyatakan sifat fitrah wanita bukannya hakikat kejadian mereka. Apakah tubuh atau jasad wanita akan mudah patah apabila dikasari oleh orang lain? Tentu sekali tidak.


عن أبي هريرة. قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن المرأة كالضلع. إذا ذهبت تقيمها كسرتها.

Sesungguhnya perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. (Hadis riwayat Muslim no: 1468.)

Hadis ini lebih jelas lagi menyatakan sifat perempuan itu seperti tulang rusuk bukan diciptakan daripada tulang rusuk. Penggunakan partikel kaf ك ini bagi menyatakan persamaan antara perempuan dan tulang rusuk. Sementara ayat yang kedua merupakan sudut persamaan antara kedua-duanya.


Kecenderungan Imam al-Bukhari ketika membuat Tarjamatul Bab di dalam Sahihnya, iaitu:


باب: المداراة مع النساء، وقول النبي صلى الله عليه وسلم: (إنما المرأة كالضلع .

Bab berlembut dengan wanita dan Sabda Nabi s.a.w.: Sebenarnya perempuan itu seperti tulang rusuk.

Dengan membuat tajuk begini Imam al-Bukhari tidaklah berpendapat bahawa Hawa itu dijadikan daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam.

Begitu juga di dalam al-Adab al-Mufrad, Imam al-Bukhari mengemukakan riwayat:


إن المرأة ضلع , وإنك إن تريد أن تقيمها تكسرها

Sesungguhnya perempuan itu tulang rusuk. Jika kamu mahu untuk meluruskannya maka kamu akan mematahkannya. (al-Adab al-Mufrad, no: 747)

Apakah hadis ini menyatakan hakikat perempuan itu sebenarnya tulang rusuk? Tentu sekali tidak. Hadis ini merupakan satu bentuk tasybih atau perumpamaan yang mempunyai nilai balaghah atau retorik yang tinggi di mana perkataan yang menyatakan persamaan tidak digunakan begitu juga sudut keserupaan tidak disertakan. Ayat yang kedua boleh juga dikatakan sebagai bukti bahawa perkataan tulang rusuk tidak difahami secara harfiah.


Sokongan Kepada Penafsiran Ini

Penafsiran min bukan dengan makna punca atau asal-usul sesuatu adalah sesuai hadis berikut:


عن أبي قلابة، عن أنس رضي الله عنه: أن النبي صلى الله عليه وسلم كان في سفر، وكان غلام يحدو بهن يقال له أنجشة، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (رويدك يا أنجشة سوقك بالقوارير). قال أبو قلابة: يعني النساء.

Daripada Abu Qilabah daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. berada dalam satu perjalanan. Ada seorang budak yang dikenali dengan Anjisyah menarik unta yang ditunggangi oleh wanita-wanita. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Wahai Anjisyah! Perlahankanlah kerana yang kamu tarik itu ialah botol-botol kaca. Perawi, Abu Qilabah, berkata: Maksudnya ialah wanita-wanita. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 5857.)

Rasulullah s.a.w. menggambarkan wanita sebagai golongan yang lembut dari segi perwatakan dan cukup sensitif. Baginda menyebutkan wanita seperti botol-botol kaca yang mudah pecah jika tidak dijaga dan diberi perhatian.


Kesimpulan

Hadis ini perlu difahami secara balaghah iaitu berdasarkan retorik bahasa Arab. Rasulullah s.a.w. menyampaikan pesanan ini dalam bentuk tasybih (perumpamaan) supaya maksud pesanan difahami dengan lebih mendalam. Tegasnya, supaya pendengar lebih peka dan prihatin bukan memberi perhatian kepada makna harfiah. Rasulullah s.a.w. membuat perumpamaan wanita seperti tulang rusuk bukan bermaksud untuk merendahkan kedudukan mereka tetapi sebagai peringatan kepada kaum lelaki supaya memberi perhatian kepada mereka, melayani mereka dengan baik, mendidik dan menjaga hati mereka. Sama seperti lelaki, wanita sama-sama berperanan untuk menegakkan agama dan menguruskan hal ehwal kehidupan.

Dengan pemahaman yang betul tentang hadis-hadis ini maka tertolaklah anggapan bahawa wanita adalah dari kelas kedua kerana kononnya dijadikan daripada orang lelaki iaitu Adam!


Petikan Artikel : Darul Kautsaroleh : Muhammad Hanief bin Awang Yahaya


Thursday 15 August 2013

BUKAN CINTA


Sejak aku masih berada di bangku sekolah lagi, aku sudah menyertai persatuan mahupun badan bukan kerajaan(NGO) Islamik. Saat itu aku masih berumur 13 tahun. Namun aku sudah bergiat aktif di dalam persatuan mahupun badan bukan kerajaan(NGO) Islamik itu hingga kini. Dengan segala gerak kerja dan ilmu yang aku perolehi daripada persatuan dan NGO yang aku sertai, begitu juga aku akui bahawa aku telah perolehi apa itu erti ‘CINTA’.

Cinta. Suatu perkataan subjektif yang biasa diungkapkan dengan kata-kata namun seringkali sukar untuk dilakukan dengan anggota(hati). Namun, cinta yang aku pernah kenal dahulu adalah hanya semata cinta monyet. Cinta monyet itu lebih kurang jika seorang lelaki itu suka pada seorang wanita, mereka akan berhubungan dalam masa yang sedemikian lalu jika hubungan mereka lerai, maka mereka boleh untuk mencari pasangan yang lain dan menjalinkan hubungan yang baru pula dan jika lerai lagi lalu cari lagi pasangan yang lain dan begitulah seterusnya.

Cinta juga menepati satu angka dari perangkaan fitrah manusia. Tanpa nilai cinta yang berdefinisi sebagai cetusan rasa dari orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya, maka ia akan mengganggu fitrah manusia.

Kesenian cinta yang didasari runtunan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat merupakan logo kedamaian, keamanan dan ketenangan. Namun cinta itu seringkali diperalatkan untuk melangsaikan keghairahan nafsu dan kebejadan Iblis laknatullah.

Tapi apa yang berlaku jika CINTA berubah menjadi FITNAH ?

Banyak perkara dan masalah yang seringkali berlaku di sekeliling kita iaitu mereka-mereka yang tidak meletakkan cinta itu di atas landasan dan syariat yang benar lalu berubahlah cinta itu kepada fitnah.

Ada kes, yang mana seorang muslimah sanggup murtad demi mempertahankan cinta. Terdapat juga kes-kes, yang mana manusia itu, sanggup membunuh diri hanya disebabkan putus cinta. Tidak kurang juga kejadian, di mana manusia sanggup menggadaikan maruah dan harga diri mereka, hanya atas harga cinta. Malah, yang turut menyedihkan juga terdapat peristiwa di mana para pendakwah, gugur dalam perjuangan dakwah mereka disebabkan cinta mereka tadi tidak berbalas.

Rugi bukan?

Apa puncanya?

Inilah kesannya apabila cinta itu tadi telah kita jadikan sebagai matlamat kita. Dan perkara-perkara yang menghalang cinta pula, mungkin telah kita lihat sebagai suatu ancaman yang harus disingkirkan.



Maka, marilah kita semua kembali kepada fitrah cinta yang sebenarnya. 

Fitrah cinta yang sebenar ? Apakah ia ?

Di sini aku ingin ceritakan sedikit perkongsian mengenai cinta yang aku kenal saat aku menyertai persatuan Islamik semasa berada di bangku sekolah hingga kini. Cinta yang aku kenal ini adalah cinta yang lebih suci dan murni. Cinta yang hadirnya di dalam hati lalu diterjemahkan di dalam diri melalui anggota badan dan menyerah sepenuhnya hanya kepada Ilahi. Itulah ia CINTA KEPADA ILAHI. Cinta ini adalah cinta yang sukar sekali untuk diperolehi andai tidak diselami dan difahami dengan sepenuh hati. Kerana cinta kepada Ilahi adalah cinta hamba kepada penciptaNya, itulah Dia ALLAH SWT yang Maha Agung lagi Maha Menguasai.

Namun, bukan setakat cinta kepada Allah sahaja, cinta kepada Rasulullah juga wajib dilangsaikan di dalam hati. Jika tidak, tidak berhaklah kita untuk menjadi dan mengaku sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. Cinta kepada Allah dan Rasulullah bukanlah setakat kita ucap di lisan semata-mata. Cinta itu perlu kita buktikan dengan perbuatan dan iktiqad di dalam hati. Bagaimana ?



Cinta kepada Allah itu terbukti dengan apabila kita sudah mengenali segala zat dan sifat-Nya, kita mengimani dan menyakini bahawa Allah itu Tuhan yang satu dan tidak ada Tuhan yang benar lagi di alam ini selain Allah SWT sahaja. Cinta kepada Allah juga termasuk kita percaya bahawa Allah bersifat dengan segala kesempurnaan, Maha Suci Allah daripada sifat kekurangan dan Dia tidak menyerupai sebarang sifat makhluk-Nya. Selain itu kita wajib menjauhi perkara syirik yang berlawanan dengan tauhid.
Seperti yang disebutkan di dalam hadis riwayat Ibn Jabir iaitu;

أوثق عرى الإيمان الحب في الله والبغض فى الله

“Tali iman yang paling kuat adalah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah.” (Hadis Riwayat Ibnu Jabir)

Malah, bagaimana pula cinta kepada Rasulullah? Iaitu dengan kita beriman dan meyakini bahawa Nabi Muhammad itu adalah Nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah dengan membawa ajaran Islam dan diberi kitab Al-Quran sebagai panduan semua umat manusia. Kita juga wajib percaya bahawa mereka dipilih dan dilantik dari sebaik-baik manusia yang sebaik-baik keturunan. Mereka bersifat dengan sifat-sifat yang baik seperti siddiq, amanah, tablighfatanah, maksum dan selamat dari sifat-sifat cacat dan tercela atau aib pada anggota badan dan fikiran. Kita juga wajib mengenali dan mengetahui sejarah perkembangan Nabi Muhammad s.a.w dengan sebaiknya, dengan itu barulah terbukti cinta kita kepada Rasulullah dan bukan dengan hanya kata-kata semata.


Cukup aku terangkan dua tuntutan cinta ini terlebih dahulu. Namun bukan dua cinta ini sahaja yang menjadi tuntutan kepada kita yang bergelar Muslim, tuntutan yang lain yan
g perlu kita cintai juga ialah cinta kepada Ibu bapa, Malaikat, kitab-kitab Allah, Qada’ dan Qadar, hari Kiamat dan segala ciptaan Allah sama ada di bumi mahupun di alam semesta. Tapi segala tuntutan cinta yang lain ini tidak aku tuliskan di sini,. Insya-Allah jika ada masa akan aku tuliskan mengenai tuntutan cinta yang lain ini.

Apa yang aku cuba bawakan di sini ialah, saat aku mengenal apa itu CINTA, aku mengerti bahawa cinta itu bukanlah segala-galanya. Cinta itu adalah satu alat untuk kita mencapai matlamat hidup kita. Tidaklah Allah mengurniakan cinta itu melainkan agar ia memudahkan kita mencapai matlamat hidup kita. Maka, apakah pula matlamat hidup kita ?

Persoalan ini sudah dijawab oleh Allah iaitu,

$tBur àMø)n=yz £`Ågø:$# }§RM}$#ur žwÎ) Èbrßç7÷èuÏ9 ÇÎÏÈ

"Dan tidak aku menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu." [Surah Adz-Dzariyat, 51: 56]

Ya. Itulah matlamat hidup kita. Beribadah kepada Allah dan menjadi hamba kepada Allah dan bukan menjadi hamba kepada Cinta.

BUKAN CINTA.

Panjang lebar aku terangkan apa itu cinta, namun cinta itu bukanlah segalanya. CINTA itu adalah ALAT untuk mencapai MATLAMAT.

Dan inilah fahaman aku mengenai CINTA.

Pada hari ini, siapakah yang tinggal untuk kembali memurnikan cinta? Siapa yang akan memperjuangkan agama dan meletakkan Allah sebagai matlamat utama?

Moga hati-hati kita, di dalam diam menjawab, "SAYA".

Insya-Allah.

Azree | 14.8.13 | 9.01 p.m

Sejauh Mana Nilai Persahabatan Kita ?


Dalam dunia ini kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri. Tetapi dalam kita bersendirian, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan keiklasan dan kejujuran seorang sahabat, begitulah juga dia. Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerangkan keadaannya. Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.

Kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita beri beribu alasan memaksa dia terima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita perasaannya? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa. Tetapi kita sering terlupa. Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa memahami, yang selalu berada disisi pada waktu kita memerlukannya.



Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan. Harapan dan impian juga kita luahkan.. Dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kita terlalu asyik menceritakan tentang diri kita hingga kadang-kadang kita terlupa sahabat kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita.

Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya sepertimana dia meniup semangat setiap kali kita rasa kecewa dan menyerah kalah?
Dapatkah kita yakinkan dia yang kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia bersandar harapan? Sesekali jadilah sahabat yang mendengar dari yang hanya bercerita.

Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat kerana dia juga seorang manusia. Dia juga ada rasa takut, ada rasa bimbang, sedih dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan memerlukan seorang sahabat sebagai kekuatan. Jadilah kita sahabatnya itu.

Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangkakan. Di sebalik senyumannya mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan. Di sebalik kesenangannya mungkin tersimpan seribu kekalutan. Kita tidak tahu. Tetapi jika kita cuba jadi sahabat sepertinya, mungkin kita akan tahu.

Bukankah telah disebut di dalam al-Quran bahawa:

$yJ¯RÎ) tbqãZÏB÷sßJø9$# ×ouq÷zÎ) (#qßsÎ=ô¹r'sù tû÷üt/ ö/ä3÷ƒuqyzr& 4 (#qà)¨?$#ur ©!$# ÷/ä3ª=yès9 tbqçHxqöè? ÇÊÉÈ

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara..” (Al-Hujurat 49 : 10)

Di dalam hadis pula telah menyebut bahawa:

Dari Abu Musa r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya seorang mukmin dengan mukmin yang lain bagaikan satu bangunan yang saling mengukuhkan satu sama lain.” (Riwayat Bukhari)



Andai kalam al-Quran dan kalam hadis sudah menyebutkan, maka peringkat nilai persaudaraan itu sudah dijamin Allah S.W.T. bahawa ia mempunyai nilai yang amat suci sekali di sisi Allah andai ia berlandaskan iman dan taqwa semata-mata kerana Allah S.W.T.

Nilai persahabatan itu hanya akan terungkap jika hati dan hati sudah berbicara, jika jiwa dan jiwa sudah mengenal lama, jika persahabatan itu disandarkan atas iman dan taqwa.

Lalu aku menulis sedikit kata-kata hikmah buat sahabat-sahabat aku, yang kadang aku terlupa mendengar coretan dan ceritamu, kadang aku terlupa kehadiran dan kehilanganmu, kadang aku lebih mementingkan aku dari kamu. Semoga kata hikmah ini sentiasa menjadi pedoman dan garis hidupku sepanjang bersahabat bersama kamu agar kali ini tidak lagi aku ulangi kesilapan yang sama dahulu.



“Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.”

“Sahabat yang baik adalah orang yang bercakap benar, dan bukannya hanya membenarkan kata-kata.”

“Jika anda bermusuhan dengan sahabat anda, maka bersiaplah untuk mengalah demi nilai persahabatan anda tersebut.”

“Selemah-lemah manusia ialah orang yang tidak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari.” ( Saidina Ali)

Semoga coretan dan nukilanku ini, menjadi landasan dan jalan untuk aku memperbaiki diri aku sepanjang bersahabat bersama kamu. Semoga juga aku bisa mengubati hati sahabat-sahabat aku yang terluka saat bersama aku. Semoga juga kamu membaca tulisan aku ini. Semoga nilai persahabatan kita bermakna buat selamanya berlandaskan atas dasar iman dan taqwa. Insya-Allah.


Azree | 15.8.2013 | 1.54 a.m