Followers

Wednesday 11 April 2012

KESINAMBUNGAN PEMIMPIN & KEPIMPINAN


Kesinambungan Pemimpin dan Kepimpinan

Kehidupan manusia sejak zaman berzaman tidak dapat dipisahkan dengan salah satu elemen terpenting iaitu kehidupan berkomuniti. 

Melalui kehidupan berkomuniti ini lahirnya bentuk penyatuan komuniti seperti adanya keluarga, kabilah, puak, perkampungan, daerah, wilayah, negara dan empayar. Dari sekecil komuniti seperti keluarga hinggalah kepada pembentukan empayar, ia harus mempunyai ketua – yakni seorang pemimpin yang akan membentuk budaya, aspek pemikiran, penyatu kepada pelbagai bangsa dan ideologi, menegak dan melaksana undang-undang, ketua tentera dan pelbagai peranan lagi.

Dalam dunia moden hari ini, terdapat pelbagai organisasi samada ia berbentuk formal atau bukan formal atau yang berbentuk perniagaan, kumpulan seminat (NGO), badan kerajaan yang diketuai oleh pemimpin yang diberi pelbagai jenis gelaran seperti Presiden, Perdana Menteri, CEO, Naib Canselor, Menteri, Pengarah dan lain-lain.

Kepelbagaian organisasi dan pemimpin ini telah mendorong banyak para pengkaji sains sosial dan ahli akademik untuk membuat kajian bagi melihat dinamika sesebuah organisasi dan gaya pemimpin atau adakalanya ditakrifkan sebagai kepimpinan dan bagaimana kedua aspek ini mempunyai saling kaitan antara satu sama lain.

PEMIMPIN

Mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga Tahun 2000 menyatakan, pemimpin adalah orang yang memimpin dan difahamkan bertindak sebagai juru tunjuk. Wikipedia (Ensiklopedia Bebas) Edisi Bahasa Melayu mentakrifkan Pemimpin merupakan individu yang boleh memberi pengaruh kepada individu lain di dalam satu pertubuhan.

Secara umumnya Pemimpin boleh ditakrifkan sebagai individu yang dilantik secara formal atau tidak formal oleh satu kumpulan orang atau organisasi yang berusaha menjayakan matlamat atau objektif yang dipersetujui bersama. Pemimpin ini diberikan mandat untuk memandu arah kumpulan atau organisasi yang melantiknya bagi mencapai objektif dan matlamat penubuhan kumpulan atau organisasi tersebut.


KEPIMPINAN

Kamus Dewan Edisi Ketiga Tahun 2000 menyatakan secara ringkas, Kepimpinan adalah keupayaan memimpin melalui teladan. Secara umumnya Kepimpinan ditakrifkan sebagai satu seni atau pendekatan bagi mempengaruhi orang lain di dalam kumpulan atau organisasi agar mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang di arahkan secara rela bagi mencapai matlamat kumpulan atau organisasi.

Ralph M. Stoghill pula menyatakan bahawa kepimpinan dalam pengurusan adalah sebagai proses mengarah dan mempengaruhi aktiviti-aktiviti para anggota yang berkaitan dengan tugas.

Harold Koontz & Heinz Weihrich pula mendefinisikan kepimpinan sebagai satu pengaruh seni atau proses mempengaruhi orang lain supaya mereka akan berjuang dengan rela hati dan penuh semangat ke arah pencapaian matlamat kumpulan dan definisi ini dipersetujui bersama oleh Cyril O’Donnel.

Manakala Robert Tannenbaum, Irving R. Weschler dan Fred Massarik melihat Kepimpinan sebagai satu pengaruh antara personal yang dilaksanakan dalam sesuatu situasi menerusi proses komunikasi ke arah pencapaian satu matlamat yang khas.


ORGANISASI

Kamus Dewan Edisi Ketiga Tahun 2000 mendefinisikan Organisasi sebagai satu kesatuan yang terdiri dari bahagian-bahagian dalam sesuatu pertubuhan (perkumpulan, perbadanan dan lain-lain) untuk tujuan tertentu (kepentingan bersama dan sebagainya). Secara umumnya Organisasi dapat didefinisikan sebagai satu perkumpulan bersifat sosial yang mana ahlinya akan melakukan aktiviti bersama dan saling bergantungan dan bekerjasama bagi mencapai matlamat yang dipersetujui bersama.

Chester I.Barnard telah memberi definisi yang mudah tentang maksud Organisasi - "Organisasi adalah sistem kerja yang dianggotai oleh dua orang atau lebih." 

James D. Mooney mentakrifkan Organisasi sebagai sebarang bentuk permuafakatan atau kerjasama untuk mencapai tujuan bersama.

Manakala Max Weber pula mendefinisikan Organisasi sebagai satu pendekatan bagi perhubungan sosial yang bersifat tertutup dan tidak terbuka secara meluas kepada semua orang untuk menganggotainya melalui peraturan keanggotaan yang telah digariskan terlebih dahulu.

Wan Azmi Ramli mentakrifkan Organisasi atau pertubuhan ditubuhkan untuk kepentingan masyarakat dan ia dikelolakan dengan rapi, tersusun dengan baik, teratur agar perhubungan dan tindakan mudah dilaksanakan.


KONSEP PEMIMPIN & KEPIMPINAN

Apabila kita memperkatakan tentang Pemimpin dan Kepimpinan secara umumnya kita memahami bahawa Pemimpin ini haruslah memimpin suatu kelompok manusia dan ia melibatkan paling kecil pihak kedua sehinggalah kepada kumpulan atau kelompok yang lebih besar.

Apabila Pemimpin dilantik oleh kelompok atau kumpulan, ia akan diberikan kuasa ataupun mandat bagi memudahkannya memimpin dan mandat ini biasanya diberikan dalam bentuk kuasa menggubal dan menguatkuasakan perintah, peraturan dan undang-undang.

Dengan adanya kuasa ini, Pemimpin akan dapat mengawal dan mempengaruhi subordinatnya secara rela-paksa dan subordinat haruslah menuruti arahan dan kehendak pemimpin selagi ia tidak melanggar peraturan teras atau kadangkala ia disebut perlembagaan yang dipersetujui bersama sebelum itu.

Kepimpinan ataupun disebut ‘the way to lead’ secara asasnya mempunyai tiga (3) komponen utama iaitu 
sifat, perilaku dan kebolehan menghadapi perkara-perkara luar jangka. 

Memandangkan kebiasaannya di dalam organisasi , para Pemimpin diletakkan di puncak hierarki sesebuah organisasi, maka Pemimpin haruslah mempunyai perawakan yang ‘extra-ordinary’ berbanding individu lain di dalam sesebuah organisasi.

Antara perawakan yang bersifat asas tetapi wajib dihayati dan diamalkan oleh Pemimpin adalah seperti butiran berikut:-

1. Kemampuan untuk menggunakan kuasa dengan berkesan dan dengan cara bertanggungjawab.

2. Berkemampuan untuk memahami bahawa manusia mempunyai kuasa dorongan yang berlainan pada masa-masa yang berlainan dan dalam situasi yang berlainan – pemahaman tentang perawakan manusia.

3. Kemampuan untuk memberikan inspirasi dan mampu diteladani – Keupayaan Memotivasi.

4. Kemampuan untuk bertindak dengan berdasarkan pengetahuan, bakat, keterbukaan dan kemahuan pemimpin itu sendiri untuk mewujudkan suasana yang memberi ruang kepada sebarang maklum-balas dan ruang runding-cara dengan para pengikut – komunikasi dalam konotasi positif.




- Semoga mendapat manfaatnya -

~ KITA SEBENARNYA ~



Kita Sebenarnya ..
  • Kita sebenarnya lebih gembira meyambut 1 Januari daripada 1 Muharram.
  • Kita sebenarnya lebih tahu apa itu 14 Februari daripada 12 Rabiulawal.
  • Kita sebenarnya lebih membesarkan hari Sabtu dan Ahad daripada hari Jumaat.
  • Kita sebenarnya lebih khusyuk mendengar lagu daripada mendengar Azan.
  • Kita sebenarnya lebih suka lepak, tidur, tengok TV daripada Solat dan Mengaji.
  • Kita sebenarnya lebih tahu tentang Artis Pujaan kita daripada nama Nabi.
  • Kita sebenarnya lebih suka menyebut Hello! dan Hi! daripada Assalamualaikum.
  • Kita sebenarnya lebih suka Menyanyi daripada Berwirid atau Bertahmid.
  • Kita sebenarnya lebih suka Memuji manusia daripada Tuhan kita sendiri.
  • Kita sebenarnya lebih suka Membaca majalah hiburan daripada Buku Agama.
  • Kita sebenarnya lebih suka ke Konsert, Karaoke daripada ke Ceramah Agama.
  • Kita sebenarnya lebih suka Memaki, Mengumpat orang daripada Memuji mereka.
  • Kita sebenarnya lebih suka Mencarut, daripada menyebut MasyaAllah.
  • Kita sebenarnya lebih suka Kemungkaran daripada membuat Kebaikan.
  • Kita sebenarnya lebih Bangga dengan Kejahilan kita daripada Bersyukur dengan Keimanan kita.
  • Kita sebenarnya lebih Cintakan Dunia daripada urusan Akhirat.
  • » » TETAPI bila orang tanya arah tujuan kita, kita pasti akan jawab bahawa ..
  •  KITA SEBENARNYA ingin menuju ke Syurga daripada ke Neraka ..
  • » Layakkah kita dengan Syurga milik Allah Swt?? Fikir-fikirkan lah ?



Masalah Komunikasi Pembunuh Senyap ??


Masalah Komunikasi Pembunuh Senyap ?

Di antara masalah yang sering dihadapi oleh sesebuah organisasi adalah masalah komunikasi antara pihak pengurusan dan subordinat.

Punca-punca berlaku masalah komunikasi tersebut mungkin kerana gaya kepimpinan atau kurang kemahiran berkomunikasi. Gaya kepimpinan yang lemah, autoritarian dan ortodoks boleh menghalang proses komunikasi yang lebih terbuka.

Manakala kelemahan kemahiran interpersonal juga merupakan satu ‘penyakit’ yang menjadi pembunuh senyap kepada kedinamikan organisasi.

HUBUNGAN MANUSIA DENGAN ORGANISASI

1. Banyakkan interaksi antara pemimpin dan pimpinan. Kurangkan mengguna memo apabila memberi arahan kepada pimpinan.

2. Sesekali bertanya khabar,  berbual-bual dengan pimpinan atau ambil tahu hal pimpinan bagi mengurangkan tembok pemisah antara pihak pemimpin dan pimpinan.

3. Luangkan masa sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan untuk berbincang dengan pimpinan berkaitan masalah dalam organisasi, prestasi pimpinan atau penambahbaikan yang boleh dilakukan. Beri ruang kepada pimpinan meluahkan permasalahan, kritikan atau pendapat tanpa memarahi mereka.

4. Komen prestasi pimpinan dalam suasana yang peribadi seperti di luar mahupun secara bersendirian dan bersemuka. Bersikap terbuka dan profesional serta beri peluang pimpinan memberi penjelasan berkaitan prestasinya.

5. Beri ganjaran dalam bentuk pujian atau pengiktirafan di atas kerja-kerja yang berjaya dilaksanakan dengan baik dan cekap.

Kesemua langkah di atas dapat menghasilkan dalam organisasi yang kondusif dan profesional kerana wujud komunikasi yang terbuka antara pemimpin dan pimpinan.

Sebagaimana yang diketahui, ‘office politic’ atau politik pejabat boleh membunuh mood bekerja seseorang pekerja dan akhirnya sumber manusia yang baik akan disia-siakan hanya kerana suasana komunikasi yang terbatas menguasai organisasi.